Skip to main content

Singapura

Pemimpin politik Melayu harap masyarakat beri tumpuan kepada isu jangka panjang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam Singapura mencatat pelbagai kemajuan pada 2023 termasuk dalam bidang pendidikan, keluarga dan pesalah bentan.

Para pelajar Melayu/Islam misalnya mencatat pencapaian cemerlang dalam pendidikan dengan jumlah penerima Anugerah MENDAKI tahun ini melonjak lebih 45 peratus dalam masa sedekad.

Kadar kebentanan 2 tahun pesalah Melayu pula merosot ke paras terendah iaitu 24.7 peratus bagi kohort 2020.

Ini di samping kemajuan-kemajuan lain yang dipacu M³ menerusi lima bidang tumpuannya.
Namun begitu, masih terdapat perkara-perkara lain yang membelenggu masyarakat dan jika tidak ditangani dengan segera, ia boleh menjejas masyarakat dalam jangka panjang.

Dalam sidang media bersama wartawan, pemimpin politik Melayu menggariskan cabaran-cabaran tersebut termasuk pekerjaan dan kesihatan.

Kadar perokok dalam masyarakat Melayu/Islam misalnya ialah 19.5 peratus, jauh lebih tinggi berbanding kadar nasional iaitu 9 peratus.

Kes kencing manis dalam masyarakat Melayu juga meningkat seganda kepada sekitar 14 peratus dalam masa 15 tahun.

Jumlah kes pesakit Melayu yang mengalami tekanan darah tinggi pula adalah 1.5 kali lebih tinggi berbanding 2017.

Bagi menangani isu itu, bidang tumpuan kelima M³ mengumumkan lima tumpuan baharu.

Lima tumpuan itu ialah:
  1. Sokong penuaan sihat - galak warga emas sertai gerakan SG Lebih Sihat,
  2. Perbaiki kadar saringan kesihatan - pengesanan awal penyakit bagi rawatan berkesan
  3. Dakapi gaya hidup sihat - galak masyarakat sertai program Saham Kesihatan dan program lain bagi tangani kadar kegemukan
  4. Kurangkan kadar perokok - tingkatkan kesedaran tentang bahaya rokok dan 'vape'
  5. Perbaiki kesejahteraan mental - guna dan perhalusi model M³@Jalan Besar iaitu Bangkit Bersama
Related article image
Cik Rahayu berkongsi lima tumpuan bagi perkukuh kesihatan masyarakat. (Gambar: Izwan Ohtman)

Usaha ini diterajui Setiausaha Parlimen Kanan, Rahayu Mahzam dan beliau berharap ia dapat terus disokong masyarakat kerana masalah kesihatan boleh menjejas dan meninggalkan kesan yang berpanjangan pada masyarakat.

Beliau juga berharap masyarakat tidak akan mengabaikan isu-isu ini sehingga terus terkesan oleh kejadian di luar negara.

"Secara jujur saya rasa sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kerana ini membuat masyarakat kita mungkin kurang fokus atau mungkin merasakan sesuatu itu lebih penting daripada isu-isu jangka masa panjang," jelas Cik Rahayu.

"Sebenarnya saya rasa usaha ini adalah kami memberitahu anda semua dan masyarakat apa yang sedang menyibukkan kita masa ini kerana sebagai pemerintah dan juga pemimpin memang menjadi keprihatinan kami, apa yang akan memberi kesan kepada mereka pada jangka masa panjang. Bukan sahaja isu yang meletup sekali-sekala. Jadi walaupun kita harus prihatin tentang isu-isu itu dan tanganinya, pada masa yang sama kita juga harus sibuk dan teruskan usaha dalam memastikan rangka kerja, aktiviti terus berjalan," tambahnya.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli juga berharap masyarakat dapat kekal bersatu dan tidak membiarkan isu-isu luar dan dalam negara meretakkan perpaduan kita.

"Dalam masyarakat kita sendiri, akan ada isu dan masalah yang sangat unik bagi masyarakat kita. Kami sedar, pemimpin masyarakat, pemimpin agama dan pemimpin politik juga sedar. Namun walau apa pun yang berlaku, kita mesti terus bersatu dan tidak berpecah belah," katanya.

Dalam pada itu, Encik Masagos juga menaruh harapan agar masyarakat dapat memperkukuhkan lagi tiga aspek Masyarakat Gemilang iaitu Keperibadian (Character), Keupayaan (Capability) dan Kewarganegaraan (Citizenry).

"3 'C' itu akan terus dibangunkan. Saya fikir Kewarganegaraan adalah satu bidang yang kami fikirkan penting dalam Masyarakat Gemilang ini kerana kita bukan sahaja mahu jadi baik untuk diri kita tapi baik untuk orang lain. Kita selalu fikirkan perkara yang boleh kita lakukan bersama untuk Singapura dan ini semangat Melakar Hala Tuju Singapura," jelas Encik Masagos.

PENUBUHAN WAKAF MASYARAKAT SINGAPURA HAMPIR SELESAI

Antara usaha bagi memperkukuhkan aspek Kewarganegaraan itu ialah menerusi penubuhan Wakaf Masyarakat Singapura.

Memberi kemas kini tentang usaha itu, Encik Masagos berkata ia hampir selesai dan pindaan pada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) juga bakal dilaksanakan.

Related article image
Enam pemimpin politik Melayu beri kemas kini mengenai kemajuan M3 di bawah bidang tumpuan masing-masing. (Gambar: Izwan Ohtman)
"Insya-Allah tahun depan kita sudah akan memulakan proses untuk menggubal AMLA, membolehkan MUIS untuk mewujudkan masyarakat Singapura dan membolehkan kita memberikan sumbangan kepada mereka yang mahu menyumbang pada aset masyarakat akan datang sekali gus mendapat pahala Insya-Allah selamanya bila mereka meninggal dunia nanti," kongsi Encik Masagos.

WMS akan digunakan bagi menyokong pembangunan masyarakat Melayu/Islam dalam jangka panjang.

"Kita telah membina aset dalam masyarakat kita sendiri. Umpamanya kita lihat dari segi zakat, setiap tahun lebih kurang S$70 juta telah dikutip melalui zakat. Ini membayangkan kalau kita nak tahu berapa aset cair yang kita ada di masyarakat kita, ia berjumlah lebih S$2 bilion," terang Encik Masagos.

Semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri pada April lalu, Encik Masagos mengumumkan meskipun belum selesai ditubuhkan, beberapa individu sudah tampil mengikrarkan sokongan kepada WMS.

Antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties, Salleh Marican yang mengikrarkan lebih S$2 juta.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita