Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin pertahanan ASEAN tegaskan komitmen perkukuhkan kerjasama serantau

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin pertahanan ASEAN tegaskan komitmen perkukuhkan kerjasama serantau

Gambar: MINDEF

Diterbitkan : 23 Jun 2022 08:42AM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 08:42AM

SINGAPURA: Para menteri pertahanan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengesahkan komitmen mereka untuk mengukuhkan kerjasama serantau pada Rabu (22 Jun).

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) Singapura dalam satu kenyataan media.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berada di Phnom Penh, Kemboja, untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang ke-16.

Ia adalah ADMM yang pertama diadakan secara bertemu muka setelah dua tahun bersidang secara maya. 
Para menteri pertahanan ASEAN itu juga mengadakan mesyuarat tidak rasmi dengan China dan Jepun serta turut bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

Bercakap selepas mesyuarat itu, Dr Ng berkata perbincangan tersebut beransur produktif serta merangkumi pelbagai isu keselamatan semasa termasuk ancaman dalam bidang siber dan maklumat.

Mesyuarat itu menggunakan Terma Rujukan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat ADMM (ACICE) yang dianjurkan Singapura.

Pusat itu ditubuhkan tahun lalu untuk meningkatkan kerjasama serantau bagi menentang ancaman dalam bidang siber dan maklumat.

Dr Ng menambah bahawa ADMM sudah mengeluarkan Deklarasi Bersama yang substantif bagi menggesa agar Kod Tatalaku di Laut China Selatan dimuktamadkan lebih awal. 

Beliau juga menekankan usaha ASEAN untuk membawakan peralihan ke kehidupan secara normal secara aman damai di Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, yang dipersetujui semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada April 2021.

Namun demikian, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata pada Januari 2022 bahawa belum ada "sebarang kemajuan ketara" dalam pelaksanaan Konsensus tersebut.

Semasa lawatannya, Dr Ng juga bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Pertahanan Negara Teh Banh.

"Kedua-dua pihak menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang muhibah antara Singapura dengan Kemboja serta kepentingan pemusatan dan perpaduan ASEAN di tengah-tengah perkembangan geopolitik," menurut MINDEF.

ADMM ke-16 menerapkan deklarasi yang mengesahkan komitmen negara-negara untuk "meningkatkan dialog strategik dan kerjasama pertahanan praktikal" melalui ADMM serta ADMM-Plus.

Ia menekankan "kepentingan pemusatan ASEAN dalam menegakkan perintah serantau berasaskan peraturan yang berpaksikan undang-undang antarabangsa", tambah MINDEF.

ADMM-Plus adalah sebuah wadah bagi ASEAN dan lapan rakan kongsi dialognya iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Para menteri itu juga mengamalkan Visi Phnom Penh mengenai Peranan Pertubuhan Pertahanan dalam Menyokong Pemulihan COVID-19, yang ditaja bersama oleh Kemboja dan Singapura.

Ia mengiktiraf sumbangan ADMM terhadap usaha dalam pandemik COVID-19, termasuk melalui Rangkaian Pakar Pertahanan Kimia, Biologi dan Radiologi (CBR) ASEAN serta Pusat Perubatan Tentera ASEAN.

"Ia berikrar untuk meneruskan kerjasama bagi menyokong pemulihan rantau ini daripada pandemik tersebut, seperti memanfaatkan Rangkaian Pakar Pertahanan CBR ASEAN untuk bertukar-tukar maklumat dan pengajaran yang dipelajari bagi memerangi pandemik itu," menurut MINDEF.

Sumber : CNA/KF/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa