Pemimpin pengasas SG tidak sesekali korbankan kepentingan negara, pemimpin seterusnya teguhkan iltizam: SM Lee
SINGAPURA: Bapa pengasas Singapura memperoleh hak untuk mentadbir Singapura kerana rakyat negara ini yakin bahawa Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew dan pasukannya tidak boleh ditakut-takutkan sehingga sanggup berkompromi kepentingan Singapura.
Ini merupakan satu pengajaran penting daripada penggabungan Singapura dan akhirnya perpisahan dari Malaysia, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong semasa melancarkan pameran dan penerbitan Fail Albatross pada Ahad (7 Dis) di Perpustakaan Negara.
Beliau menarik perhatian bahawa Encik Lee Kuan Yew dan pasukannya tidak gentar atau ditindas oleh pemimpin-pemimpin persekutuan, terutamanya oleh anggota radikal Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang juga dikenali sebagai "ultras".
"(Rakyat Singapura) menyedari bahawa beliau bersedia untuk mempertahankan segala-galanya, termasuk nyawanya, untuk menjamin masa depan mereka. Melalui pengalaman penggabungan diikuti dengan perpisahan inilah Encik Lee (Kuan Yew) dan PAP (Parti Tindakan Rakyat) mengukuhkan sokongan mereka dalam kalangan generasi perintis kita," kata SM Lee.
Beliau menambah bahawa para pengganti Encik Lee Kuan Yew tidak melupakan pengajaran ini dan tiada perdana menteri Singapura "yang pernah membenarkan mana-mana kuasa atau kekerasan, sama ada di dalam atau luar negara, untuk menakut-nakutkan kita sehingga menggugat kepentingan negara atau kedaulatan kita".
FAIL ALBATROSS
Pada 2023, pemerintah bersetuju untuk mendedahkan dokumen dalam "Fail Albatross" Dr Goh Keng Swee.
Dr Goh adalah menteri yang merundingkan perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965. Fail Albatross merupakan himpunan dokumen, nota tulisan tangan dan kertas kerja Kabinet yang disimpan oleh mendiang Dr Goh menjelang perpisahan tersebut.
Ia dinamakan sedemikian kerana Dr Goh merasakan Malaysia ibarat masalah besar yang tidak dapat dielakkan Singapura (albatross around Singapore's neck) - yang merujuk kepada puisi Samuel Taylor Coleridge, The Rime of the Ancient Mariner.
Fail itu pada mulanya hilang sebelum ditemui di bilik stor Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada tahun 1980-an, dan orang ramai mula mengetahui tentang fail itu pada 1996.
SM Lee berkata bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau memutuskan bahawa fail sulit itu harus didedahkan dan diterbitkan, beserta sedutan-sedutan yang relevan daripada sejarah lisan orang-orang utama yang terlibat dalam perpisahan tersebut.
Ini bagi "menghimpunkan dan mencatat rekod laporan awam penuh yang mendokumenkan peristiwa penting ini dalam perjalanan kemerdekaan kita".
Turut hadir semasa pelancaran itu ialah Encik Ong Pang Boon, salah seorang daripada 10 menteri Singapura yang menandatangani Perjanjian Perpisahan tersebut, dan Encik Ng Kah Ting. Encik Ong dan Encik Ng adalah dua Anggota Parlimen Singapura yang masih hidup dan mereka telah menghadiri sidang pertama Parlimen pada Disember 1965.
ALMARHUM OTHMAN WOK ANTARA YANG DITAMPILKAN
Anggota keluarga tokoh-tokoh politik lain yang menandatangani dokumen tersebut turut hadir.
Antaranya ialah anak kepada salah seorang Bapa Pengasas Singapura, Almarhum Othman Wok, Cik Lily Othman.
"Saya sangat bangga kerana Almarhum bapa saya tidak teragak-agak untuk menandatangani dokumen untuk berpisah dari negara Malaysia. Beliau tetap percaya kepada visi mantan Perdana Menteri, Encik Lee Kuan Yew untuk menubuhkan negara Singapura sebagai negara berbilang kaum, bangsa dan agama," kongsi Cik Lily kepada pihak media.
Mengenang kembali tempoh perpisahan itu, Cik Lily yang pada ketika itu berusia lapan tahun, turut berkongsi pengorbanan yang dilakukan bapanya itu.
"Beliau tidak kerap ada di rumah dan itu ialah salah satu pengorbanan yang bapa saya lakukan. Namun, beliau dan ibu saya membuat kami memahami bahawa membina Singapura yang baharu sangat penting dan kami sebagai anaknya, perlu menerima hakikat bahawa ketiadaan beliau itu akan menjadi sesuatu yang kerap dan kami menerimanya dengan hati terbuka," ujar beliau.
Cik Lily, 69 tahun yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik, turut mengalu-alukan pelancaran pameran dan buku Fail Albatross.
"Pameran dan buku ini sangat menarik dan penting kerana ia mengandungi informasi yang terperinci seperti apa, bila dan mengapa negara Singapura harus berpisah dari negara Malaysia," ujar Cik Lily.
"Masyarakat Singapura yang lalu, sekarang dan generasi yang akan datang serta warga tetap dan warga baharu harus tahu bagaimana Singapura bermula dan siapakah menteri-menteri yang berperanan dalam kabinet Encik Lee Kuan Yew," tambahnya.
JANGAN SESEKALI PANDANG RINGAN KEHARMONIAN KAUM, AGAMA SG
SM Lee menekankan satu lagi pengajaran daripada perpisahan itu: jangan sesekali memandang ringan terhadap keharmonian kaum dan agama di Singapura.
Dari September 1963, apabila PAP memenangi ketiga-tiga kerusi majoriti Melayu dalam pilihan raya umum, ultras UMNO berhasil menghasut "sikap tidak percaya yang mendalam antara orang Melayu dengan Cina". Ini membawa kepada rusuhan kaum pada 1964.
Encik Lee Kuan Yew pernah meluahkan rasa "sedih dan kecewa" bahawa usaha selama bertahun-tahun untuk menyatukan kaum boleh musnah dengan sekelip mata.
“Apabila saya melihat estet-estet perumahan baharu di mana kita menggabungkan dan menyatukan semuanya, saya tidak pernah membiarkan diri saya lupa bahawa semangat harmoni dan kepercayaan antara kaum ini sangat rapuh,” kata perdana menteri pengasas ketika itu.
“Ia boleh terputus, musnah, dihancurkan. Dinamik politik perkauman atau berpolitik berdasarkan kaum akan menjejas akal fikiran dan logik.”
SM Lee berkata pada Ahad (7 Dis) bahawa Singapura berpisah daripada Malaysia disebabkan oleh politik identiti yang berdasarkan kaum dan agama.
“Kita tidak akan sesekali membenarkan kaum atau agama memecahbelahkan Singapura,” tegasnya.
ADAKAH SG DISINGKIRKAN DARI MALAYSIA?
Satu persoalan utama tentang perpisahan itu adalah sama ada Singapura telah disingkirkan dari Malaysia, atau sama ada ia mahu berpisah.
SM Lee menarik perhatian bahawa pandangan sedia ada ialah Singapura disingkirkan dari Malaysia.
Tunku Abdul Rahman, perdana menteri Malaysia ketika itu, berkata pada masa itu bahawa keputusan untuk menggugurkan Singapura dari Malaysia adalah keputusan yang dibuat oleh dirinya sendiri.
Namun, ini bukanlah satu-satunya punca perpisahan itu berlaku. Ada "banyak faktor" yang memaksanya dan menyebabkan Tunku membuat kesimpulan bahawa perpisahan Singapura adalah pilihan terbaik untuknya dan Malaysia.
Antara lain, ia termasuk kempen politik Encik Lee Kuan Yew untuk "Malaysian Malaysia" (Malaysia untuk rakyat Malaysia).
SM Lee menarik perhatian kepada ucapan penting di parlimen Malaysia pada 27 Mei 1965, di mana Encik Lee Kuan Yew berucap dalam Bahasa Melayu dengan fasih.
Tunku kemudiannya menyifatkan ucapan itu sebagai "tindakan yang menyebabkan keputusan besar itu dibuat".
"Keadaan pada masa itu sangat tegang," kata SM Lee. "Encik Lee (Kuan Yew) sedar bahawa pihak berkuasa persekutuan sedang menimbangkan untuk memberkasnya, dan beliau dalam keadaan yang berbahaya."
Pada ketika itu, SM Lee berumur 13 tahun.
“Pada suatu hari, di padang golf Istana, beliau memberitahu saya bahawa jika apa-apa berlaku padanya, saya harus menjaga ibu dan adik-adik saya,”menurut SM Lee.
Mujur Perdana Menteri Britain ketika itu, Harold Wilson, memberi amaran kepada Tunku bahawa Britain mungkin akan menimbangkan semula hubungannya dengan Malaysia jika beliau memberkas Encik Lee Kuan Yew.
Menjelang hujung Jun 1965, Tunku memutuskan bahawa adalah lebih baik untuk "mengembalikan Singapura kepada Lee Kuan Yew".
Keputusan inilah yang membawa kepada perbincangan antara timbalan Tunku, Tun Razak, dengan Dr Goh sejak pertengahan Julai.
Encik Lee Kuan Yew mengarahkan Encik E W Barker untuk melakar dokumen perpisahan sejurus selepas pertemuan pertama itu, dan matlamat Encik Lee Kuan Yew adalah untuk mengukuhkan kedudukan Singapura secara politik dan memaksa pemerintah persekutuan memberikan lebih banyak autonomi kepada Singapura.
Beliau mengarahkan Dr Goh untuk mendesak penyusunan semula perlembagaan yang lebih fleksibel di Malaysia, dan perpisahan itu hanya akan dijadikan pilihan hanya jika Singapura tidak dapat mencapai persetujuan.
Sungguhpun demikian, Dr Goh melaporkan bahawa Tun Razak mahukan "perpisahan mutlak".
Sehingga hujung hayatnya, Encik Lee Kuan Yew "berbelah bahagi" tentang perpisahan itu, kata SM Lee.
Beliau teringat pada 3 Ogos, enam hari sebelum kemerdekaan Singapura, beliau sedang bercuti bersama keluarganya di Cameron Highlands apabila bapanya menerima panggilan daripada Dr Goh.
"Pada ketika itu, panggilan ke Cameron Highlands perlu melalui operator, yang kebanyakannya tidak bertutur dalam Bahasa Cina. Jadi Dr Goh dan Encik Lee bercakap dalam Bahasa Mandarin," kata SM Lee.
"Saya ingat panggilan telefon itu. Saya berada di dalam bilik di Cluny Lodge, dan bapa saya menjawab panggilan tersebut pada petang itu.
"Saya terdengar beliau memberitahu Dr Goh dalam Bahasa Mandarin: 'Ini keputusan yang besar, biar saya fikirkannya'." Saya tidak tahu apa maksudnya ketika itu, tetapi ia menjadi jelas tidak lama kemudian ... ini berlaku kurang seminggu sebelum hari perpisahan."
Pada 7 Ogos, meskipun selepas perjanjian itu dimuktamadkan, Encik Lee bertemu Tunku sekali lagi untuk bertanya sama ada peluang untuk persekutuan, atau gabungan, yang lebih fleksibel, tetapi cadangan itu ditolak.
"Saya ingat saya sedang tidur malam itu ... di atas lantai di sudut bilik tidur ibu bapa saya di Temasek House di Kuala Lumpur, sebelum keluarga saya memandu pulang ke Singapura pada keesokan harinya," kata SM Lee.
"Bapa saya terbangun berulang kali sepanjang malam untuk menulis nota kepada dirinya.
"Ini memberikan gambaran tentang perasaan Encik Lee semasa perpisahan, dan mengapa semasa sidang media pada 9 Ogos beliau menitiskan air mata, dan berkongsi tentang saat yang menyedihkan itu.
"Ibu saya berkata bahawa sepanjang hidupnya, itulah saat yang perasaannya paling terganggu."
Singapura akhirnya mentadbir rakyatnya sendiri, dan "kita tidak lagi terbelenggu," kata SM Lee.
"Seperti yang digambarkan oleh ramai tokoh sejarah sejak itu, perpisahan itu adalah hasil yang dirundingkan bersama."
Dan meskipun perpisahan bukanlah hasil yang diinginkan Encik Lee Kuan Yew, beliau berusaha sedaya upaya untuk memujuk semua menterinya supaya menandatangani Perjanjian Perpisahan, supaya Kabinet tidak berpecah belah, dan Singapura yang merdeka dapat mengorak langkah dengan pasukan kepimpinan yang kukuh dan bersatu padu.
“Di peringkat strategik, tekanan politik yang dihadapi Encik Lee, kedudukan antarabangsa yang dibinanya, serta keberanian dan kepimpinan yang dipamerkannya, yang mendorong Tunku untuk melepaskan Singapura,” kata Encik Lee Hsien Loong.
KEMERDEKAAN 'TIDAK DATANG BERGOLEK'
Hanya beberapa dekad kemudian, pada 1994, apabila Encik Lee Kuan Yew mendapat kebenaran untuk membaca sejarah lisan Dr Goh, beliau mendapati bahawa bertentangan dengan arahannya, Dr Goh mengusahakan perpisahan mutlak sejak awal, dan tidak pernah cuba untuk merundingkan sebuah persekutuan yang lebih fleksibel.
Ini menunjukkan bahawa Dr Goh, dan bukan Tun Razak, yang menyarankan perpisahan itu. Ini sangat mengejutkan Encik Lee Kuan Yew sehingga beliau mencatatkan masa dan tarikh tepat beliau pertama kali mendapat tahu perkara ini.
Dalam masa beberapa tahun selepas perpisahan, semua pemimpin pengasas Singapura membuat kesimpulan bahawa perpisahan itu adalah perkara terbaik yang pernah berlaku kepada Singapura.
"Sempena tahun SG60 ini, kami sangat bersyukur kerana Dr Goh berbuat demikian. Singapura berkembang maju dan makmur menjangkaui apa yang dibayangkan oleh bapa pengasas kita," kata SM Lee.
"Tetapi ia bukanlah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bahawa peristiwa tersebut akan berlaku seperti ini.
"Kemungkinan besar, jika perpisahan tidak dicapai pada 9 Ogos 1965, lambat-laun perpisahan mungkin akan terjadi, tetapi kemungkinan besar tidak seaman itu.
"Percanggahan antara kedua-dua masyarakat begitu mendalam sehingga tidak dapat dihuraikan tanpa perpisahan."
Ia "bukannya jelas" yang Singapura harus merdeka, dan pemimpin pengasas Singapura mahupun rakyatnya tidak dapat jangkakan sama ada Singapura dapat bertahan atau berkembang maju seperti ini.
"Seperti yang pernah dikatakan oleh Encik Lee, beliau bersyukur kerana tidak perlu sekali lagi melalui pengalaman 23 bulan dari detik penggabungan hingga ke perpisahan," kata SM Lee.
"Beliau tidak pasti kita akan begitu bernasib baik untuk bangkit semula daripada zaman yang mengerikan itu."
Kandungan sulit Fail Albatross yang didedahkan sudah diterbitkan dalam bentuk senaskah buku.
SM Lee menggalakkan semua rakyat Singapura untuk mendapatkan buku itu dan mengunjungi pameran tersebut untuk mempelajari bagaimana Singapura menjadi sebuah negara yang berdaulat, demokratik dan merdeka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.