Skip to main content

Singapura

Pemimpin negara, masyarakat iktiraf sumbangan Riz Sunawan lestarikan bahasa Melayu, sokong golongan kurang upaya

Pemergian mantan wartawan dan penyampai berita, Mohammad Asri Sunawan, atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan pada Rabu (8 Feb) diratapi ramai bukan sahaja oleh rakan-rakan media tanah air, malah juga oleh para pemimpin negara, politik dan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemergian mantan wartawan dan penyampai berita, Mohammad Asri Sunawan, atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan pada Rabu (8 Feb) diratapi ramai bukan sahaja oleh rakan-rakan media tanah air, malah juga oleh para pemimpin negara, politik dan masyarakat.

Mereka semua menyanjung kecekalan dan kekuatan Allahyarham dalam perjuangan melawan penyakit Motor Neuron (MND) selain memuji cinta dan semangat Allahyarham terhadap bahasa Melayu.

Pemergian Allahyarham dianggap sebagai suatu kehilangan besar.

PRESIDEN HALIMAH, PEMIMPIN MELAYU UCAP TAKZIAH

Dalam ucapan takziah menerusi Instagram, Presiden Halimah Yacob berkata bahawa Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu melalui penglibatannya dengan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Puan Halimah juga mengiktiraf usaha Allahyarham dalam membantu menubuhkan Persatuan Penyakit Saraf Motor Singapura (MNDa) selain menjadi penyokong kuat golongan kurang upaya.

Beliau turut mencungkil detik-detik pertemuan dengan Allahyarham di Istana pada tahun lalu semasa majlis pelancaran buku tulisan Allahyarham yang bertajuk 'My Name is Riz. I have Motor Neurone Disease'.

Pemergian Allahyarham, menurut Puan Halimah, merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut berkongsi rasa dukacita beliau atas pemergian Allahyarham.

Encik Masagos memuji tekad dan semangat yang "begitu tinggi dan tidak lentur" Allahyarham untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Dalam catatan beliau menerusi Facebook, Encik Masagos berkata: "Kecekalan, sikap positif dan sumbangan Allahyarham sangat dihargai dan akan dikenang sebagai sumber inspirasi buat kita semua untuk teruskan usaha menyumbang kepada masyarakat dan negara."

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.

Beliau yang juga menyandang jawatan pengerusi MBMS menyanjung sumbangan "tanpa jemu" Allahyarham sebagai Duta Bahasa selama 13 tahun dan ahli Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) selama 7 tahun.

"Cinta Riz terhadap bahasa Melayu, dedikasi kepada masyarakat Melayu dan komitmen terhadap misi MBMS tiada tandingannya," kata Dr Faishal dalam catatan menerusi Facebook.

Menurut Dr Faishal, Allahyarham telah menyumbang "dengan sepenuh hati" kepada inisiatif Bulan Bahasa, terutamanya untuk sambutan 30 tahun Bulan Bahasa pada tahun 2018.

Sumbangan Allahyarham selama ini, sangat terasa meskipun perlu melawan penyakit MND, ujar Dr Faishal.

Beliau berkata: "Walaupun beliau harus bertarung dengan penyakit kronik sejak beberapa tahun ini, Riz tetap tabah. Keazaman beliau tidak pudar dan beliau terus menyumbang secara meluas kepada Bulan Bahasa dan MBMS, walaupun dari jauh."

Semangat Allahyarham amat kuat dan masyarakat amat terkesan dengan ketabahan Allahyarham, tambah Dr Faishal.

Menurut beliau, Allahyarham telah meninggalkan legasi yang amat besar dan akan sentiasa kekal dalam hati ramai orang sebagai seorang pejuang yang berani.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita