Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin negara, masyarakat dan tokoh seni tempatan ratapi pemergian Sarkasi Said

Para pemimpin negara, masyarakat dan seni tempatan termasuk PM Lee dan Presiden Halimah ratapi pemergian tokoh batik ikonik, Sarkasi Said, dan menganggapnya sebagai suatu kehilangan besar bagi Singapura. Ini sanjungan yang mereka berikan kepada Allahyarham...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin negara, masyarakat dan tokoh-tokoh seni tempatan hari ini (15 Okt) meratapi pemergian tokoh batik ikonik, Sarkasi Said, dan menganggapnya sebagai suatu kehilangan besar bagi Singapura.

Dalam ucapan takziahnya kepada keluarga Allahyarham menerusi Facebook, Presiden Halimah Yacob mengatakan Encik Sarkasi "akan diingati kerana keghairahan dan azamnya" memperjuangkan seni batik.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pula melahirkan "kesedihan mendalam" dan "amat terkesan" dengan berita pemergian Encik Sarkasi juga menerusi media sosial.

"Beliau adalah pengasas seni batik di Singapura, dan karya-karyanya telah dipamerkan di banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Brunei, dan Indonesia.

"Pak Sarkasi tidak pernah lupa asal usulnya, dan berusaha sedaya upaya untuk memupuk barisan pelapis penggiat seni batik di kalangan generasi seterusnya. Beliau komited untuk membangunkan landskap kesenian dan kebudayaan tempatan kita," tulis PM Lee memberi sanjungan kepada ikon batik itu.

PAK SARKASI SESAK NAFAS SEBELUM MENINGGAL DUNIA

Allahyarham Sarkasi Said meninggal dunia lewat malam semalam (14 Oktober) di rumahnya di Bishan akibat kegagalan kedua-dua ginjalnya. Jenazahnya disolatkan di rumahnya hari ini sebelum disemadikan pada 11 pagi tadi di Pusara Abadi.

Anak lelaki Pak Sarkasi, Ika Zahari Sarkasi berkongsi dengan BERITAmediacorp saat-saat sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Dalam sekitar pukul 9.00 malam semalam, kita sudah nampak (beliau) sesak nafas. Kita keluarga semua ada. Kita boleh nampak air matanya keluar. Kita berasa sedih kehilangan ayah.

"Saya rasa beliau dah buat yang terbaik untuk masyarakat," kata Encik Ika.

UCAPAN TAKZIAH BERPULANGNYA IKON BATIK NEGARA DATANG MENCURAH

Ucapan takziah di atas berpulangnya ikon batik itu datang mencurah-curah di media sosial sejak malam semalam lagi (14 Oktober) dari pelbagai lapisan masyarakat demi mengenang ketokohannya.

Pada Jumaat, sebilangan pemimpin masyarakat dan tokoh-tokoh seni turut hadir di tanah perkuburan demi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara mereka termasuklah Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

"Saya bagi mewakili Anggota Parlimen dan Menteri Masagos dan Menteri Maliki ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga beliau," kata Dr Wan Rizal.

"Kami semua sedia maklum almarhum merupakan tokoh budaya di Singapura dan di bahagian dunia ini dan saya rasa seni beliau dalam batik ini satu seni yang sangat luar biasa."

YATIMAN YUSOF: ALLAHYARHAM BERSIFAT RENDAH DIRI, TIDAK LOKEK ILMU

Antara teman yang paling rapat dengan Allahyarham Sarkasi sejak dari usia remaja lagi ialah mantan Anggota Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kanan Penerangan, Perhubungan dan Kesenian (MICA), Yatiman Yusof.

Menurut Encik Yatiman, sejak dari dulu, Pak Sarkasi berpegang teguh kepada nilai-nilai murni seperti hormat kepada orang tua, sifat merendah diri dan kebiasaan melakukan kebaikan.

"Sehingga sekarang pun Allahyarham masih merupakan seorang yang ringkas, seorang yang merendah diri, seorang yang tidak pernah bercakap tinggi dan sedia pula berkongsi ilmunya dengan sesiapa sahaja, kanak-kanak, orang dewasa atau orang tua. Sedia untuk menolong pertubuhan-pertubuhan Islam dan bukan Islam kita untuk mengumpul dana dengan menggunakan lukisannya," ujar Encik Yatiman semasa ditemui di blok rumah Allahyarham di Bishan.

Ramai yang melahirkan rasa kagum dengan keperibadian Pak Sarkasi. Bahawa walaupun diiktiraf sebagai seniman gergasi dalam dunia batik tempatan dan memberikan sumbangan luar biasa kepada landskap seni tempatan selama lebih 60 tahun, keperibadiannya yang selalu merendah diri merupakan satu lagi ciri yang menjulang ketokohannya.

"Saya rasa semua yang kenal ayah, kenal ayah. Memang orangnya pelembut. Bila dia bicara dengan keluarga pun begitu lembut dan kita dapat memikir apa yang beliau nak katakan," kata Encik Ika.

SUMBANGAN SARKASI SAID MENJANGKAUI SENI LUKISAN BATIK

Yang pasti, sumbangan Sarkasi Said bukan sekadar dalam negeri, tetapi juga di pentas antarabangsa. Demikian menurut seorang mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar, Zainul Abidin Rasheed.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan yang sungguh besar. Kita akan merindui beliau. Tapi hasil kerja tangan batik Almarhum Sarkasi Said akan kekal dengan kita di pemikiran. Bukan sahaja di Singapura, malah di nusantara dan juga seluruh dunia," kongsi beliau kepada kami.

"Sumbangan Almarhum bukan sahaja untuk batik atau kerja tangan tetapi juga dari segi bidang seni budaya kita."

Tokoh batik tersohor itu meninggalkan seorang balu dan empat orang anak, kesemuanya pelukis batik.

KETOKOHAN DIAKUI RAKAN SENIMAN

Dengan semua pencapaian yang diraih, tidak hairanlah seniman ini juga disegani tokoh-tokoh seni tempatan.

Antaranya termasuk seorang veteran artis generasi ketiga Singapura, Abu Jalal Sarimon. Pak Sarkasi katanya, satu tokoh yang cukup hebat dan "tidak pernah lokek ilmu".

"Setiap apa yang beliau hasilkan, contohnya penubuhan warna yang baru atau cara-cara melukis coretan atau garis yang begitu halus - bagaimana ia dilakukan, beliau akan kongsi," kata Abu Jalal.

"Tidak banyak pelukis-pelukis yang mahu berkongsi ilmu sebegitu kerana pada mereka itulah senjata mereka yang tidak mahu dikongsikan. Tapi lain dengan Sarkasi," tambah beliau.

Encik Abu Jalal juga menyifatkan Almarhum Sarkasi sebagai seorang tokoh yang amat disenangi oleh semua orang.

Pak Sarkasi tambah beliau seorang "tokoh yang cukup bersahaja dan suka berjenaka, berborak".

"Dan walaupun saya seorang pelukis muda, bila saya dapat bersama dengan beliau tidak pernah meninggi diri malahan beliau banyak memberi tunjuk ajar dengan secara halus," tekan Encik Abu Jalal.

Tokoh tembikar yang cukup disegani dalam persada seni Singapura, Iskandar Jalil, turut menyifatkan Pak Sarkasi sebagai seseorang yang tidak boleh ditukar ganti.

"Legasinya hilang. Kita perlu menjaga (legasi itu) dengan betul," ujar Iskandar Jalil semasa ditemui BERITAmediacorp pada hari Pak Sarkasi dikebumikan.

"Motif (lukisannya) saya ingat. Cara batiknya asli. Saya suka apa yang beliau hasilkan. Asli."  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan