Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin negara dan masyarakat sanjung sumbangan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, penerima Anugerah Warisan PERGAS

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin negara dan masyarakat menyanjung sumbangan tokoh agama, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan yang diberi pengiktirafan Anugerah Warisan PERGAS di majlis Gema Kesyukuran pada (3 Mac).

Ini merupakan kali pertama pengiktirafan sedemikian diberikan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS).

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan dan khidmat beliau kepada masyarakat termasuk pembangunan para asatizah dan pendidikan Islam di Singapura.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menyampaikan surat kepada Ustaz Hasbi, yang dibacakan oleh tetamu terhormat majlis, Menteri Kanan Teo Chee Hean dalam ucapannya.

"Kepada Ustaz Hasbi, terima kasih atas khidmat unggul anda untuk masyarakat Islam Singapura. Sepanjang tiga dekad, anda menyumbang dengan besar bukan sahaja kepada masyarakat Muslim tetapi juga di peringkat nasional.

Berkenaan isu-isu nasional yang menjadi keprihatinan masyarakat Muslim, anda berterus terang dan bertimbang rasa dalam menyampaikan pandangan anda, selalu menghargai konteks masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Singapura. Anda perjuangkan isu-isu seperti pendidikan Islam dan pemakaian tudung dengan secara ikhlas dan sensitif, bekerjasama dengan pemerintah dan membimbing masyarakat untuk mencapai hasil yang praktikal dan memuaskan.

Rakan-rakan kerja saya dan saya sendiri telah meraih banyak manfaat daripada perspektif dan pandangan anda. Terima kasih Ustaz Hasbi atas khidmat anda kepada masyarakat Muslim dan Singapura selama berdekad-dekad lamanya. Saya ucapkan anda diberi kesihatan yang baik dalam anda terus memberi bimbingan dan beri inspirasi kepada generasi Muslim akan datang menerusi kata-kata dan tindakan anda dalam tahun-tahun mendatang. Yang benar, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura," kongsi Encik Teo.

Beliau juga merakamkan penghargaannya buat Ustaz Hasbi atas sumbangannya.

USTAZ HASBI TERUSKAN SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT MESKI DIUJI DALAM KESIHATAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Meskipun diuji dari segi kesihatan dan perlu menjalani dialisis setiap hari, Ustaz Hasbi masih lagi terus menyumbang kepada masyarakat dan aktif sebagai Pengerusi Masyaikh PERGAS dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada generasi pemimpin PERGAS seterusnya.

"Beliau seorang yang bijak, berani dan adalah contoh teladan yang cemerlang bagi semua asatizah muda kita. Beliau telah banyak menyumbang kepada pembinaan persefahaman bersama, keharmonian dan kestabilan Singapura. Saya pasti bahawa setiap asatizah yang hadir hari ini telah meraih manfaat dari satu segi atau yang lain, daripada usaha-usaha murni Ustaz Hasbi selama ini," ujar Encik Teo.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Asatizah kita memainkan peranan penting dalam membentuk nilai dan pandangan masyarakat Islam kita. Asatizah kita membantu mengukuhkan persefahaman dan keharmonian antara agama, dalam konteks masyarakat kita yang berbilang agama. Saya gembira melihat Ustaz Hasbi terus membimbing dan menjadi mentor kepada generasi asatizah dan pemimpin masa depan masyarakat Islam kita. Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hasbi kerana perkhidmatannya kepada masyarakat dan Singapura sepanjang empat dekad lama," tambahnya.

KUATKAN SEMANGAT DAN KESABARAN - NASIHAT USTAZ HASBI KEPADA ASATIZAH MUDA

Ustaz Hasbi mula berkhidmat dalam PERGAS sejak 1986 lagi. Selain itu, antara sumbangan utama beliau termasuk memulakan Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) sebagai pengasas bersama dengan Allahyarham Ustaz Ali dan menganggotai Jawatankuasa Fatwa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PERGAS atas pengiktirafan tersebut. Bahkan, pengiktirafan seperti ini sewajarnya diberikan kepada semua asatizah yang telah berusaha untuk memajukan Islam dan memajukan negara kita dan menjaga keharmonian Islam sendiri dan keharmonian negara kita di Singapura ini," kongsi penerima Anugerah Warisan, Ustaz Hasbi kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Asatizah memainkan peranan yang penting. Jadi mudah-mudahan insya-Allah ini memberikan dorongan dan rangsangan kepada kesemua asatizah untuk terus berbakti di jalan Allah," tambah beliau.

Malah, Ustaz Hasbi berkata, beliau akan terus membimbing para asatizah muda sebaik mungkin menerusi peranannya sebagai Pengerusi Masyaikh PERGAS.

"Insya-Allah kita akan terus membimbing mereka dengan apa cara sekalipun sebagai mana kita masih hidup, tenaga masih ada, fikiran kita masih waras. Insya-Allah kita akan terus membimbing asatizah kita ke jalan yang diredhai Allah," ujar Ustaz Hasbi.

"Nasihat saya kepada para asatizah kita supaya kuatkan semangat, tingkatkan kesabaran sebab itulah antara dua perkara penting untuk kita berjuang di jalan Allah dan memajukan Islam dan negara kita insya-Allah," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut adiknya, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan pula, Ustaz Hasbi sentiasa mengutamakan masyarakat.

"Ustaz Hasbi sentiasa ada masyarakat dalam hati beliau. Terutamanya sentiasa pada masyarakat dan ini saya dapat fahami kerana inilah yang diturunkan kepada kedua ibu bapa kami. Selalu masyarakat pertama dahulu. Jadi jiwa untuk masyarakat, rasa kasih dan berkorban untuk masyarakat. Ini memang sebati dalam jiwa Ustaz Hasbi dan itu memang turunan kepada kedua ibu bapa kami," kongsi Ustaz Dr Hannan yang juga merupakan Timbalan Mufti.

"Kalau boleh yang saya kenang dan saya rasa bangga adalah sumbangannya dalam pendidikan dan mendidik pemimpin-pemimpin masa hadapan," tambahnya.

ANUGERAH OBOR UMMAH & ANUGERAH ASATIZAH CEMERLANG TURUT DIBERIKAN

Dalam acara yang sama, lagi dua anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Obor Ummah dan Anugerah Asatizah Cemerlang.

Anugerah Obor Ummah diberikan kepada asatizah yang berusia 50 tahun ke atas untuk mengiktiraf sumbangan mereka dalam membentuk landskap dakwah dan berkhidmat kepada masyarakat Islam menerusi pelbagai platform.

Ia diberikan kepada Ustazah Habsah Senin kali ini.

Ini menjadikan beliau penerima wanita pertama anugerah itu.

Anugerah Asatizah Cemerlang pula diberikan kepada para asatizah di bawah usia 50 tahun, untuk meraikan dan mengiktiraf usaha serta sumbangan asatizah berpotensi tinggi dalam bidang masing-masing.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Antara penerimanya ialah Ustaz Fathurrahman Dawoed, 45 tahun yang meninggalkan kesan dalam landskap pendidikan Islam privet dengan usahanya meluaskan Jabatan Pendidikan di Andalus Corporation.

"Anugerah ini sebagai tanda bahawa golongan asatizah memberikan kepercayaan kepada saya dan juga memberikan tanda bahawa saya perlu bergiat lebih baik dan lebih keras untuk memikul tanggungjawab ini dan ia sedikit sebanyak memberikan saya suntikan semangat dan pada masa yang sama, ia memberikan saya dorongan untuk terus memberikan khidmat saya kepada masyarakat dan juga membuat lebih baik dari apa yang saya sudah lakukan untuk masyarakat khususnya dalam pendidikan Islam," kongsi Ustaz Fathurrahman.

PENDIDIKAN AGAMA PENTING LEBIH-LEBIH HIDUP DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Bagi Ustaz Fathurrahman, yang merupakan Pengarah Eksekutif Andalus Corporation, pendidikan agama dianggap penting lebih-lebih lagi untuk masyarakat Singapura yang berbilang agama dan latar belakang.

"Secara peribadi, saya melihat bahawa pendidikan agama ataupun pendidikan secara umum kepada masyarakat itu adalah asas yang sangat penting. Ia dapat membangunkan bukan sahaja satu individu tetapi masyarakat secara umum dan bagaimana pendidikan Islam jika difahami dengan betul, dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat yang lebih luas khususnya di Singapura dalam konteks kita sebagai minoriti Muslim," ujar Ustaz Fathurrahman.

"Pada waktu yang sama, kita tahu bahawa kita hidup dalam masyarakat ataupun konteks kehidupan yang pelbagai latar belakang. Jadi pendidikan sangat penting dan saya fikir bahawa apa yang telah saya lakukan sebelum ini di Andalus, kita ada sekitar 17,000 pelajar dan saya yakin, ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada cara orang Islam kita berfikir dan melakukan tindakan dalam konteks kita ini di Singapura," tambahnya.

TANGGUNGJAWAB UNTUK TERUS BIMBING ADIK-ADIK DAN GRADUAN BAHARU

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Seorang lagi yang penerima anugerah itu ialah Ustaz Muhammad Nuzhan Abdul Halim, 38 tahun.

"Tentu sahaja sebagai seorang asatizah, apabila kita ingin lakukan sesuatu itu, kita tidak pernah mengharapkan apa-apa pengiktirafan. Apa-apa yang kita lakukan tentu sahaja untuk menghilangkan kejahilan dan membimbing masyarakat tetapi bila kita dianugerahkan seperti ini, ia sebagai satu beban dan tanggungjawab tetapi sekaligus kita berharap kita boleh menjadi lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan diri kita ini," kongsi Ustaz Nuzhan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Kita rasa kita perlu terus sentiasa mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada sepupu asatizah kita yang telah banyak berjasa dan berjuang. Itu yang kami rasakan dan dalam masa yang sama, ia seolah-olah menjadikan satu tanggungjawab untuk diri kita terus membimbing adik-adik dan graduan yang baharu sahaja selesai daripada pengajian mereka untuk mereka bertanya hala tuju dan pengalaman, semampunya apa yang mampu kita kongsi. Harap-harap itu menjadi inspirasi buat mereka juga," tambahnya.

Ustaz Nuzhan dikenali dengan cara dakwahnya yang kreatif menerusi pelbagai kerja-kerja inovatif seperti inisiatif masyarakat, pendekatan digital media dan platform keusahawanan.

"Wadah digital adalah satu wadah yang paling mudah diakses. Hampir setiap orang setiap hari melihat kandungan-kandungan yang ada. Jadi kita mengambil peluang daripada kandungan-kandungan yang bukan sahaja bermanfaat tetapi juga yang relevan mengikut konteks supaya mudah untuk merujuk kepada para asatizah," jelas Ustaz Nuzhan.

"Tidak ada jurang kerana kadang kala mereka berasa jauh dengan para asatizah ataupun golongan ilmuwan. Jadi dengan wadah seperti ini, ia bukan hanya dapat memanfaatkan mereka dengan cara mudah malah dapat mendekati mereka dengan permasalahan seharian mereka yang mereka ingin utarakan, dengan lebih mesra dan lebih akrab," tambahnya.

Ustaz Nuzhan juga sering menyampaikan syarahan menerusi platform digital termasuk podcast dan merupakan pengasas bersama Nuns Production, platform inovatif yang menampilkan seminar dan ceramah berhubung perkahwinan dan kehidupan keluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan