Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin negara anggap pemergian Suratman Markasan ibarat gugurnya permata dalam dunia sastera Nusantara

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pemimpin negara, masyarakat dan tokoh-tokoh persuratan tanah air meratapi pemergian sasterawan mapan, Allahyarham Suratman Markasan dan menganggapnya sebagai suatu kehilangan besar bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Menurut anaknya, Dr Suriani Suratman, Allahyarham Suratman Markasan meninggal dunia pada usia 93 tahun di Hospital Alexandra dini pagi tadi akibat komplikasi kesihatan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 12.00 tengah hari tadi (27 Feb) selepas disolatkan di kolong blok rumahnya di Choa Chu Kang.
Gambar: Nurhelmy Hakim/BERITA Mediacorp
Perjalanan terakhirnya dikenang keluarga dan sahabat handai yang meratapi permata persuratan yang sukar dicari ganti itu.

SEKITAR 100 ORANG HADIR BERIKAN PENGHORMATAN TERAKHIR

Semasa wartawan Nurhelmy Hakim mengunjungi rumah Allahyarham di Choa Chu Kang, sekitar 100 orang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Gambar: Nurhelmy Hakim/BERITA Mediacorp
"Hari ini kita mengucapkan selamat tinggal kepada seorang manusia pejuang yang kita anggap sebagai ikon dalam perjuangan bahasa sastera dan masyarakat Melayu. Allahyarham sudah lama menyumbang lebih setengah abad dari Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS50), sehingga Kongres Persuratan sehingga Majlis bahasa Melayu Singapura (MBMS) sehingga MENDAKI, beliau bangun dan menyumbang."

"Kita sama-sama kehilangan dan kita mahukan semangat juang beliau itu dapat bercambah dalam sanubari anak-anak kita dan meneruskan perjuangan ini demi kemaslahatan masyarakat,' tambah beliau.

"Allahyarham sungguh istimewa, seorang insan mulia dan banyak menyumbang dari segi pergolakan, perkembangan, kemajuan masyarakat Melayu, bukan sahaja dalam bidang penulisan, kesusasteraan dan pembukuan pengalaman beliau tetapi juga dalam pembangunan masyarakat," kata seorang lagi mantan AP yang hadir, Zainul Abidin Rasheed.

Beliau mengenang bagaimana Almarhum sering memberi inspirasi dan mengingatkan tentang peranan untuk pembangunan masyarakat Melayu.

Encik Zainul Abidin berkata, "Semangat yang ditunjukkan Allahyarham sangat istimewa dan akan meninggalkan kesan bukan sahaja sekarang tetapi saya harap buat generasi akan datang."
Gambar: Nurhelmy Hakim/BERITA Mediacorp
Turut meratapi pemergiannya ialah AP Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang juga mantan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Beliau juga mengenang pengalaman beliau bekerjasama dengan Allahyarham.

"Saya juga bekerjasama dengan beliau untuk membangunkan wadah-wadah bagi bahasa, budaya dan kesusasteraan di Singapura. Apabila saya menjadi Pengerusi MBMS, beliau mencetuskan idea untuk membangunkan semula Jurnal Sekata, saya bekerjasama dengan beliau dan ahli literati yang lain tentang bagaimana kita boleh membukukan satu Jurnal setiap tahun yang unik, bukan sahaja dari segi aspek akademik tetapi bahasa, budaya dan kesusasteraan," kata Dr Faishal.

"Saya rasa sedih atas pemergiannya dan saya harap kita dapat meneruskan kerja-kerja beliau, terutama sekali bagaimana beliau mempunyai semangat kental dan membangun dalam aspek budaya, bahasa dan kesusasteraan di negara dan rantau," tambah beliau lagi.

Dalam catatan Facebook juga, Dr Faishal menggariskan bagaimana karya-karya Allahyarham antara lain memberi fokus kepada perjuangan masyarakat yang terpinggir, sekaligus mencerminkan sikap empatinya yang mendalam terhadap masyarakat.

AP Fahmi Aliman yang mengambil alih tanggungjawab selaku Pengerusi MBMS, menyifatkan beliau sebagai pejuang yang selalu memikirkan apa yang lebih baik dan perlu dipertingkat untuk bangsa dan bahasa, kesusasteraan Melayu.

GUGURNYA SEBUAH PERMATA

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Maliki Osman menganggap pemergian sasterawan unggul itu sebagai gugurnya sebutir permata.

Dalam catatan di Instagram, Dr Maliki berkata ia juga satu kehilangan bagi dunia kesusasteraan di rantau ini.

Tokoh pendidik dan pengkaji bahasa dan budaya Melayu, Dr Hadijah Rahmat pula mengiktiraf usaha dan dedikasi Allahyarham dalam dunia persuratan.

Dr Hadijah berkata, "Hari ini satu hari amat sedih. Beliau bukan sahaja penulis dan peminat bahasa dan sastera, beliau pejuang sastera, pejuang bahasa dan budaya, pejuang agama, dan pejuang kemanusiaan yang tidak ada ganti. Saya harap, masyarakat akan terus mendapat inspirasi daripada perjuangan yang hebat beliau"

Perjalanan panjang Allahyarham Suratman dalam dunia persuratan tidak ternilai dan dikenang dengan pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Tun Sri Lanang (pada 1999) serta Anugerah Pingat Budaya pada 2010.

Allahyarham juga merupakan penulis tanah air pertama yang menjadi penulis jemputan di Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia pada 1991.

Antara karya yang beliau terbitkan sejak 1950an termasuk novel-novel seperti 'Subuh Hilang Senja' pada 1989 dan 'Di bumi mana' pada 1998.

Secara keseluruhan, Allahyarham menghasilkan lebih 20 naskhah buku novel, kompilasi cerpen dan puisi.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan