Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin Melayu/Islam meratapi pemergian tokoh batik S'pura Sarkasi Said

Pemergian tokoh batik Singapura, Sarkasi Said cukup dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Melayu/Islam meratapi pemergian tokoh batik S'pura Sarkasi Said

(Gambar: Facebook/Dr Maliki Osman)

SINGAPURA: Pemergian tokoh batik Singapura, Sarkasi Said cukup dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat tempatan.

Allahyarham Sarkasi Said meninggal dunia pada usia 81 tahun pada Khamis (14 Okt) setelah mengalami sakit berat kerana kerosakan ginjal.

Beberapa pemimpin Melayu/Islam mengutuskan takziah kepada keluarga Allahyarham menyusuli khabar duka itu.

ANTARA PERINTIS DAN PENGGIAT SENI BATIK S'PURA YANG AMAT DISEGANI: MASAGOS

Dalam catatan Facebook hari ini(15 Okt), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyifatkan Allahyarham sebagai "antara perintis dan penggiat seni batik Singapura yang amat disegani".

Menurut Encik Masagos, Allahyarham sudah berkecimpung dalam bidang seni selama hampir 60 tahun. Bakatnya dalam seni batik terkenal di peringkat antarabangsa dan juga di Singapura.

"Saya yakin ramai di kalangan kita pernah menikmati karyanya yang dipamerkan di merata Singapura seperti di Istana, Bangunan Parlimen, pejabat Pemerintah, kedutaan dan hospital.

"Saya dan rakan-rakan Menteri Kabinet dan Anggota Parlimen pula berkesempatan memakai baju batik yang direka dan dilukis khas oleh Almarhum untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2018," kata Encik Masagos.

Sehubungan itu, Allahyarham juga merupakan penerima Anugerah Jauhari Perintis Berita Harian pada 2015 dan Pingat Budaya Presiden pada 2020.

Selain daripada berbakti dalam bidang seni batik, Allahyarham Sarkasi Said turut menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

Selain mendermakan hasil kerja seni kepada rumah-rumah kebajikan, Allahyarham turut bergiat sebagai seorang guru seni sukarela.

Encik Masagos berkongsi bahawa Allahyarham bergiat sebagai guru seni sukarela di Penjara Changi, Pusat Pemulihan Dadah Sembawang dan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma'wa.

"Ternyata, sumbangan Almarhum menjadi inspirasi bagi kita semua untuk terus berusaha agar saling membantu sesama kita, khususnya golongan yang lebih memerlukan," kata Encik Masagos.

SENIMAN NEGARA YANG BERDEDIKASI, DIHORMATI RAMAI: DR MALIKI

Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman juga antara pemimpin Melayu/Islam yang cukup terkesan oleh pemergian Allahyarham.

Dalam catatan Facebooknya hari ini, Dr Maliki berkata bahawa Singapura sudah kehilangan seorang ikon kebangsaan.

"Almarhum merupakan seorang seniman negara yang sangat berdedikasi dan dihormati ramai.

"Sumbangan beliau dalam arena seni lukis batik diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sukar untuk dibandingi.

"Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada masyarakat dan negara dan pasti akan dirindui semua," kata Dr Maliki sebelum mengakhiri catatannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan