Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin masyarakat SG perlu sentiasa bersiap siaga hadapi serangan pengganas, meski keadaan aman: Masagos

Pemimpin masyarakat di Singapura perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi serangan pengganas, termasuk pada masa aman, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Sabtu (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemimpin masyarakat di Singapura perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi serangan pengganas, termasuk pada masa aman, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli pada Sabtu (19 Okt).

Encik Masagos menukil seorang superintenden polis dari New Zealand di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) bagi masyarakat minoriti Muslim global yang diadakan di Singapura pada awal minggu ini, yang berkata pihak berkuasa "tidak menyesal" bersiap sedia meskipun mereka percaya serangan sedemikian "tidak sepatutnya berlaku".

Pegawai polis itu juga berkata menyatupadukan masyarakat merupakan kunci yang bantu mereka mengharungi serangan tembakan di sebuah masjid Christchurch pada 2019, kata Encik Masagos.

Lebih 50 orang terbunuh selepas seorang individu bersenjata melepaskan tembakan di dua masjid pada Mac 2019, iaitu serangan tembakan besar-besaran paling dahsyat di New Zealand.

"Kini kami lebih yakin bahawa para pemimpin masyarakat harus sentiasa bersiap siaga, bersedia dengan langkah-langkah pemulihan jika kejadian sedemikian berlaku," kata Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

"Namun paling penting sekali, sentiasa berusaha untuk memupuk kepercayaan terhadap ikatan dalam masyarakat antara satu sama lain, hargainya dan memperdalamkannya."

Encik Masagos berkata demikian kepada para wartawan di luar acara Meja Bundar Respons Masyarakat (CRRT) di Tampines, di mana para anggota berkumpul untuk membincangkan dan menyemak pelan masing-masing semasa berlaku krisis untuk memastikan ia kekal relevan dan terkini.

Acara itu berlaku sehari selepas ia diumumkan bahawa seorang rakyat Singapura berusia 17 tahun yang menjadi radikal sendiri diberkas kurang sebulan sebelum dia merancang untuk melaksanakan serangan di satu kawasan perumahan awam di Tampines.

Remaja itu yang tinggal dekat dengan kawasan terbuka yang dipilih untuk melakukan serangan itu, merancang untuk menggunakan pisau dapur atau gunting yang diambil dari rumahnya untuk menikam lelaki bukan Muslim semasa cuti sekolah September lalu.

Setelah dia diberkas pada Ogos lalu, remaja itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Encik Masagos yang merupakan Anggota Parlimen GRC Tampines berkata beliau bersyukur kerana pihak berkuasa berjaya mematahkan percubaan melancarkan serangan itu.

"Untuk sekian lama, pihak akar umbi, masyarakat, kita sentiasa bekerjasama, pertama sekali untuk menjalin hubungan dan memupuk kepercayaan antara pelbagai masyarakat menerusi aktiviti-aktiviti bagi memastikan, jika sesuatu berlaku di Tampines, Singapura dapat memberi respons sewajarnya kerana kita sudah bersiap sedia," katanya.

Beliau juga berkata "secara kebetulan" sesi meja bundar itu diadakan tidak lama selepas percubaan serangan pengganas itu diumumkan.

"Ia adalah sesi kedua menyusuli sesi sebelumnya yang diadakan pada Mac lalu dan ia berlangsung sehari selepas pengumuman itu dibuat. Saya difahamkan daripada para peserta bahawa mereka kini lebih bersemangat untuk mengambil lebih serius usaha ini," kata Encik Masagos.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan