Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin masyarakat prihatin isu wanita, perubahan iklim dan daya kerja

Daya kerja golongan penduduk tempatan serta isu mengenai kewarganegaraan dan tanggungjawab rakyat Singapura kepada negara mendapat perhatian dalam satu lagi sesi dialog Melakar Hala Tuju SG anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) pada Rabu malam (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Daya kerja golongan penduduk tempatan serta isu mengenai kewarganegaraan dan tanggungjawab rakyat Singapura kepada negara mendapat perhatian dalam satu lagi sesi dialog Melakar Hala Tuju SG anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) pada Rabu malam (15 Mac).

Sesi tersebut bertujuan menyediakan wadah bagi pemimpin masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan dan saranan mereka, yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kompak sosial negara.

Sesi itu dipimpin oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman serta Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan Toa Payoh, Saktiandi Supaat dan AP GRC Ang Mo Kio, Nadia Ahmad Samdin.

'

Sesi dialog Melakar Hala Tuju SG yang diadakan semalam (15 Mac) merupakan sesi kedua selepas sesi bersama para belia diadakan minggu lalu.

Dr Maliki berkata, "Pada minggu lalu, kita mendekati para belia, mendapatkan pandangan mereka mengenai Melakar Hala Tuju SG, tentang isu-isu masa depan yang menjadi keprihatinan. Sebagai warga muda, mereka prihatin tentang isu-isu kemampanan, ekonomi, kerja masa depan mereka."

"Untuk sesi kedua ini, kita mendekati mereka yang berusia lebih pertengahan. Mereka juga prihatin tentang isu-isu seperti isu kaum wanita, bagaimana kaum wanita memerlukan lebih banyak sokongan sebagai penjaga. Kita juga lihat mereka juga memikirkan tindakan kerana mereka tahu apakah cabaran hari ini, dan bersedia untuk mengajukan cadangan-cadangan untuk mengatasi cabaran-cabaran itu," tambah beliau lagi.

Sesi tersebut dihadiri sekitar 100 peserta termasuk para pemimpin badan-badan Melayu/Islam, masjid-masjid serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

'

Ada dalam kalangan peserta juga membangkitkan isu mengenai perubahan iklim.

Encik Saktiandi Supaat berkata: "Ada saranan tentang bagaimana Singapura harus menangani isu perubahan iklim pada masa depan dari segi isu daya bingkas daya tenaga. Ada yang umpamanya menanyakan mengapa Singapura tidak menggunakan daya tenaga nuklear. Ini menunjukkan masyarakat kita menitikberatkan daya bingkas tenaga negara kita pada masa akan datang."

Isu-isu lain yang turut disentuh termasuk isu golongan belia dan pekerjaan.

"Ada beberapa cadangan daripada belia untuk belia, bagaimana untuk mempertingkatkan keupayaan mereka dalam industri perusahaan, meningkatkan jumlah golongan belia kita menceburi perniagaan pada masa depan. Ini sesuatu yang akan dipertimbangkan," ujar Encik Saktiandi.

'

Maklum balas yang diterima bagi kedua-dua sesi dialog itu akan dianalisa dan digunakan sekretariat Melakar Hala Tuju SG bagi melakar strategi masa depan negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan