Skip to main content

Singapura

Pemimpin masyarakat, AP Melayu bersuara terhadap aktivis yang ganggu Sesi Bertemu Rakyat

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin masyarakat, AP Melayu bersuara terhadap aktivis yang ganggu Sesi Bertemu Rakyat

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam bercakap dengan dua aktivis di luar Sesi Bertemu Rakyat di Chong Pang pada 12 Mac 2025. (Gambar: Facebook/K Shanmugam Sc)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 09:19PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 09:23PM
SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) serta para pemimpin masyarakat Melayu sudahpun bersuara terhadap aktivis yang menggangu Sesi Bertemu Rakyat (MPS) dalam beberapa bulan lalu.

Pada Khamis (13 Mac), Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam memuat naik video yang menunjukkan dirinya bersama dua orang aktivis wanita yang memakai pelitup muka dan kemeja-T yang tertulis 'press'.

Mereka sebahagian daripada kumpulan yang datang ke Sesi Bertemu Rakyat Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk "sengaja mencabar, mencetus insiden, cuba menghasut", menurut beliau dalam catatannya.

Walaupun Encik Shanmugam tidak mengenal pasti kumpulan itu di catatannya di Facebook, seorang jurucakap PAP berkata sebagai tindak balas kepada persoalan Mediacorp bahawa kumpulan itu menggelar dirinya sebagai Monday of Palestine Solidarity.

Encik Sharael Taha (PAP Pasir Ris-Punggol) mengesahkan bahawa kumpulan itu juga datang ke Sesi Bertemu Rakyat di Pasir Ris East.
 
"Bagaimanapun, tindakan mereka - yang termasuk bersikap biadab dan membuat kenyataan menyakitkan hati terhadap keluarga - menunjukkan bahawa mereka tidak berminat dengan dialog yang bermakna dan konstruktif yang benar-benar boleh membantu," menurutnya di Instagram.

Tindakan kumpulan tersebut, termasuk isyarat biadab mereka, tidak mewakili nilai-nilai masyarakat Islam, kata Encik Sharael, sambil menambah bahawa fokus tetap pada menyediakan "sokongan sebenar dan nyata" kepada rakyat di Gaza.

Sejak bermulanya Ramadan, usaha mengumpul dana M3 Aid for Gaza sudah memperoleh lebih S$300,000 (US$224,570), katanya. Ramadan Ride in Aid of Gaza juga akan diadakan pada 21 Mac pada pukul 10.00 malam.

Usaha-usaha tersebut menambah kepada bantuan S$17 juta ke rantau tersebut yang dihantar dalam tujuh bahagian, kata Encik Sharael.

"Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud, tetapi kita mesti menanganinya dengan hormat, kesabaran, dan komited untuk sama-sama membawa perubahan positif," tulisnya.

"Jika kita benar-benar mahu membawa perubahan, jalan terbaik adalah dengan bersatu dan menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting - iaitu membantu mereka yang memerlukan."

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-GRC Chua Chu Kang) berkata beliau terkejut mengetahui tentang gangguan baru-baru ini di Sesi Bertemu Rakyat Encik K Shanmugam pada Khamis (13 Mac).

Gangguan sedemikian mencuri "masa yang berharga" daripada penduduk yang mendaftar dan menunggu untuk mendapatkan bantuan di sesi tersebut, tulisnya di Instagram.

"Dalam bulan suci Ramadan ini, kita sepatutnya bersabar, mencerminkan keperibadian yang baik dan berbuat baik kepada orang lain," tulisnya.

"Terdapat cara dan saluran yang betul untuk memperjuangkan sebarang isu dan memberi maklum balas tentang pelbagai perkara, tetapi menjerit dan mengganggu MPS dengan menjejas rakyat Singapura lain yang juga memerlukan, bukanlah cara yang betul."

Penggiat dialog antara agama dan pengarah Pusat Dialog Mohamed Imran Mohamed Taib melalui catatan Facebooknya mengkritik kumpulan tersebut atas "aktivisme bersikap kebudak-budakan", sambil menambah bahawa tindakan mereka menarik perhatian kepada tingkah laku mereka yang "bising dan biadab" dan bukannya isu-isu yang mereka pertahankan.

Merujuk kepada tindakan kumpulan tersebut yang cuba membincangkan isu Palestin di Sesi Bertemu Rakyat lain, Encik Imran menekankan bahawa aktivisme bukan tentang menjadi "wira".

"Dasar-dasar tidak diubah - sekurang-kurangnya di Singapura - dengan menjerit, berarak dan melanggar undang-undang," tulisnya.

Walaupun seseorang boleh mempunyai pendirian yang bersemangat terhadap dasar-dasar tertentu, usaha untuk memastikan perubahan "bukan tentang bersikap kasar dan panas baran", kata Encik Imran.

"Ia adalah tentang menggunakan pengaruh. Ia adalah tentang kesediaan untuk berdialog dan mendengar dengan teliti apa yang disampaikan pihak lawan kita. Kadangkala, ia memerlukan kompromi. Malah pertimbangan semula," tulisnya.

Apa yang dilakukan oleh individu-individu ini di Sesi Bertemu Rakyat tidak akan membantu perjuangan mereka, malah memberi kesan yang sebaliknya, kata Encik Imran.

Tindakan mereka mungkin meyakinkan sesetengah orang bahawa aktivis semuanya sama, "antisosial dan hampir anarki", tulisnya.

Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), Mizi Wahid, menerusi Facebook berkata ketika bulan Ramadan ini, penting untuk umat Islam berhati-hati dengan tingkah laku mereka dan cuba menjadi versi diri mereka yang terbaik.

"Menghina, mengejek, menghamburkan kata-kata kesat, membuat kekecohan di tempat awam, mengganggu jiran kita adalah tindakan yang dibenci oleh agama kita," tulis Ustaz Mizi, yang juga pengasas pertubuhan belia Islam Safinah Institute.

"Dalam membincangkan tentang perkara-perkara yang kita perjuangkan dan ingin pertahankan, penting untuk mengingati bahawa cara kita menyampaikan dan meluahkan emosi kita mestilah dengan cara yang terbaik mungkin."

Mediacorp sudah menghubungi Monday of Palestine Solidarity untuk mendapatkan komen.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita