Pemimpin kesatuan mahu main peranan lebih besar tangani isu pekerja bebas & PME
SINGAPURA: Pemimpin kesatuan sekerja Melayu/Islam mengalu-alukan dan akur akan peranan lebih besar yang mereka boleh mainkan untuk sokong pekerja bebas (gig) dan golongan Profesional, Pengurus dan Eksekutif (PME).
Dalam ucapan Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng dalam Rapat Hari Buruh 2024 yang diadakan di Marina Bay Sands siang tadi (1 Mei), beliau mengatakan bahawa lebih banyak lagi yang boleh dilakukan kesatuan sekerja itu untuk menyokong golong PME.
Beliau menambah bahawa NTUC melindungi hak mereka sebagai pekerja dengan lebih baik lagi.
Golongan PME malah membentuk sekitar 45 peratus ahli NTUC.
"Perlunya NTUC memberikan tumpuan kepada kumpulan ini sebab lebih ramai rakyat Singapura yang mempunyai kelulusan dari segi diploma ataupun ijazah. Jadi sebagai kesatuan atau gerakkan buruh, kita harus mengorak langkah untuk memastikan kumpulan ini lebih dijaga dan dikawal oleh golongan kesatuan dan itulah sebabnya para kesatuan dan gerakan buruh harus mencari idea-idea yang baharu, bagaimana untuk mendekati golongan PME dan sedemikian," kongsi Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab.
Langkah tersebut dialu-alukan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia (MOM), Zaqy Mohamad, lebih-lebih lagi dengan cabaran yang dihadapi golongan itu hari ini.
"Hari ini, kita melihat juga PME terjejas oleh kerana kita mempunyai Kecerdesan Buatan (AI) dan automasi dan sebagainya yang menjejas akan peluang dan pekerjaan mereka dan oleh itu, peningkatan kemahiran dan sebagainya harus dilakukan dan diberikan kepada semua segmen oleh kerana perlindungan pekerjaan dan peluang boleh menentukan trend yang terkini," kongsi Encik Zaqy kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
PERANAN KESATUAN SEKERJA LEBIH GENTING KINI
Selain memberi sokongan yang lebih padu bagi golongan PME, peranan kesatuan sekerja kini lebih genting lagi sedang pasaran buruh menangani ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi
Perdana Menteri Lee Hsien Loong menekankan hal demikian dalam amanat terakhir beliau selaku perdana menteri.
PM Lee juga gembira melihat transformasi yang dilakukan NTUC untuk kekal relevan dengan mendekati pelbagai jenis pekerja.
Selain golongan PME, NTUC juga akan mendampingi pekerja 'gig' dan memberi mereka sokongan yang lebih baik lagi.
"Kita akan menitikberatkan pekerja-pekerja 'freelance' (bebas) seperti penunggang Grab atau penghantar makanan yang mana mereka pada ketika ini tidak ada CPF. Itu menjadi sesuatu yang kita menitikberatkan untuk masa hadapan mereka dan juga untuk masa hadapan kesemua seisi keluarga mereka dan warga Singapura. Kalau mereka tidak ada CPF, apa-apa yang terjadi kepada mereka, rakyat Singapura akan menanggung beban bersama," menurut anggota Jawatankuasa Pusat NTUC, Sazali Zainal.
Dalam separuh kedua tahun ini, pekerja bebas di bawah 30 tahun akan diwajibkan untuk mencarum CPF.
PERPADUAN SOSIAL PENTING DI TEMPAT KERJA
Selain perlunya menyokong keperluan berbeza pelbagai golongan pekerja, PM Lee turut mengingatkan tentang pentingnya untuk mengekalkan perpaduan sosial di Singapura.
"Kita perlu terus bekerja keras untuk mengatasi ketegangan dan tekanan sosial, untuk memperluaskan lagi ruang yang dikongsi dan memperkukuhkan lagi identiti Singapura yang dikongsi. Ia bukan identiti yang statik. Ia berkembang dan berubah sepanjang masa," ujarnya lagi.
Demikian juga penting untuk mewujudkan suasana tempat kerja yang inklusif serta selamat untuk semua.
Ini turut diakui Encik Zaqy akan kepentingan perpaduan sosial dan tempat kerja yang lebih inklusif, baik untuk pekerja tempatan mahupun bakat asing serta pekerja hijrahan untuk memajukan ekonomi Singapura.
Ia lebih-lebih lagi dengan status Singapura sebagai hab antarabangsa.
"Kita melihat bagaimana Singapura telah menangani ataupun memperkembangkan lagi suasana pekerjaan kita di pejabat dalam isu-isu seperti isu tudung dan sebagainya. Ini sesuatu perkembangan yang baik di mana kita terus meluaskan lagi tahap inklusif dalam tempat kerja kita oleh kerana kita mahu ini sebagai satu negara yang terbuka, yang inklusif bukan sahaja bagi masyarakat Melayu malah juga untuk semua seperti wanita dan mereka yang kurang berupaya dan sebagainya," ujar Encik Zaqy.
"Pada akhir tahun ini, kita akan mengetengahkan lagi dasar baharu mengenai Perundangan Keadilan di Tempat Kerja di mana kita mahu teruskan dan mengetengahkan lagi usaha kita untuk menangani diskriminasi di tempat kerja," menurutnya lagi.
Tambah Encik Zaqy, adalah penting untuk isu-isu diskriminasi di tempat kerja diatasi dan keadilan di tempat kerja diutamakan supaya peluang yang saksama dapat diberikan untuk semua.
Bagi NTUC, ia juga merupakan satu usaha berterusan dan tidak boleh diabaikan.
"Keadaan di tempat kerja melambangkan bagaimana situasi sosial. Sekiranya tempat kerja itu merupakan satu tempat yang mempunyai banyak masalah, tidak dapat berintegrasi di antara pekerja yang berlainan bangsa dan kenegaraan mereka, saya rasa itu akan menjadi punca sekiranya ada perpecahan. Jadi pentingnya keadaan di tempat kerja itu satu keadaan yang harmoni, tidak kira bangsa, agama dan sebagainya," menurut Encik Samad.
PENGHARGAAN BUAT PM LEE
Di acara itu juga, NTUC memberi penghargaannya buat PM Lee atas sumbangannya kepada negara, terutama sekali golongan pekerja.
"Kalau kita lihat dari dahulu jauh perbezaannya kalau kita lihat sejarah sebagai kesatuan. Dahulu, kita mempunyai satu keadaan yang konfrontasi tetapi sekarang kita dapat berbincang dan dengan cara itulah, kita dapat membawa Pelaburan Langsung Asing ke Singapura sebab dengan mereka datang ke Singapura, rakyat Singapura dapat pekerjaan dan itu saya rasa salah satu pergerakan yang besar yang mana pihak persatuan dan gerakan buruh berterima kasih kepada PM Lee sepanjang kerjaya beliau bekerja dengan kesatuan dan juga gerakan buruh," luah Encik Samad.
"PM Lee selalu bekerja rapat dengan NTUC dan apabila terdapat masalah seperti pada waktu COVID, setiap enam bulan saya dipanggil untuk memberi kemas kini kepadanya tentang pemeriksaan sektor penerbangan, aeroangkasa, sektor yang saya ketuai untuk mendapat tahu bagaimana keadaan dan situasi di lapangan terbang, pekerjaan dan syarikat untuk membantu pekerja dan juga majikan," kongsi Encik Sazali pula.
PM LEE AMBIL BERAT TERHADAP ISU-ISU BERKAITAN PEKERJA MELAYU
Dalam pada itu, Encik Zaqy juga berkongsi pemerhatiannya tentang PM Lee yang menurutnya amat mengambil berat tentang isu-isu berkaitan pekerja Melayu.
"Saya juga melihat bagaimana Perdana Menteri begitu sensitif dan mengambil berat mengenai hal-hal dan isu untuk bukan sahaja pekerja-pekerja bergaji rendah tetapi juga pekerja-pekerja Melayu kita yang mungkin terjejas dan terkesan oleh trend terkini dalam persekitaran dan perkembangan ekonomi Singapura," dedah Encik Zaqy.
Perdana menteri juga telah memberi sokongan kepada MENDAKI dan M³ terutama sekali untuk membantu pekerja kita dan juga pendidikan anak-anak Melayu kita di Singapura kerana kita juga dapat lihat bagaimana pendidikan membawa peluang bagi anak-anak kita dan peningkatan kemahiran juga. Di sini sokongan dan sumbangan yang diberikan melalui dasar-dasar kita, skim dan juga dana yang diberikan amat penting supaya kita dapat teruskan usaha kita untuk membantu pekerja Melayu kita walaupun mereka bergaji rendah atau dari segmen PME," tambahnya.
Beliau juga berharap NTUC dapat terus bekerjasama dengan para majikan untuk mendekati golongan belia Melayu menerusi M³ agar mereka dapat sama-sama raih peluang dan manfaat daripada ekonomi Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.