Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin dunia ucap tahniah kepada PM Lawrence Wong; mahu kukuhkan hubungan dengan SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 May 2024 07:14AM Dikemas Kini : 16 May 2024 09:26PM
AGENSI: Para pemimpin dari seluruh dunia telah mengutuskan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Lawrence Wong.

Antara yang pertama untuk berbuat demikian ialah Perdana Menteri China Li Qiang. Menurut agensi berita Xinhua, Encik Li mengalu-alukan usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan China-Singapura.

Perdana Menteri India Narendra Modi memuatnaikkan catatan di aplikasi X yang mengatakan bahawa beliau berharap dapat bekerja rapat dengan PM Wong untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida turut menzahirkan sentimen serupa.

Kementerian Ehwal Luar Jepun menyatakan bahawa Encik Kishida merancang untuk bekerjasama dengan Singapura bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Dalam kenyataan medianya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken berkata bahawa beliau berharap dapat bekerjasama dengan Singapura untuk menegakkan norma-norma antarabangsa di rantau Indo-Pasifik dan dunia.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin Singapura akan terus berkembang maju di bawah PM Wong dan beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam bidang-bidang seperti ekonomi dan pendidikan.

Presiden Amiriah Arab Bersatu UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan turut meluahkan hasrat beliau bekerjasama dengan PM Wong untuk menjana pertumbuhan yang mampan dan berkongsi visi yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak juga telah mengutuskan ucapan tahniah kepada PM Wong sambil berkata bahawa Singapura adalah salah satu rakan kongsi terpenting Britain di Asia Tenggara.

Beliau menambah, kedua-dua negara menikmati hubungan yang kukuh dan beliau berharap kedua-dua negara akan mencapai lebih banyak lagi secara bersama sambil memanfaatkan kekuatan dan kelebihan satu sama lain.
Sumber : CNA/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan