Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin akar umbi Nee Soon serah cek S$25,000 bagi naik taraf Masjid Darul Makmur

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Projek naik tarif Masjid Darul Makmur menerima sumbangan dana S$25,000 pada Ahad (15 Jan).

Cek sumbangan itu disampaikan oleh para pemimpin akar umbi Nee Soon.

Inisiatif itu adalah satu lagi bentuk kerjasama rapat antara pihak masjid dengan rakan-rakan masyarakat di kawasan itu.

Masjid Darul Makmur selama ini memainkan peranan dalam pembangunan kawasan Nee Soon.

Antara lain ia menyediakan sokongan dengan melakukan lawatan ke rumah-rumah dan bekerjasama dengan rakan-rakan akar umbi untuk mengenal pasti para penduduk yang memerlukan bantuan kewangan.

Sejak lima tahun lalu, Masjid Darul Makmur juga mengagihkan makanan siap dimasak kepada para penduduk berbilang kaum di flat-flat sewa pada hari Ahad ketiga setiap bulan.

Ia juga mengadakan ceramah motivasi yang diadakan di kolong-kolong blok bagi seisi keluarga.

Kerjasama rapat ini mendorong para pemimpin akar umbi untuk memikirkan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada usaha peningkatan Masjid Darul Makmur.

"Mereka dapat mengumpul $25,000 jadi ia menunjukkan bahawa Singapura, kita walaupun pelbagai dari segi bangsa, agama tetapi kita tahu setiap institusi, setiap individu memainkan peranan yang penting terutama sekali bagi badan-badan agama," kata Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau, yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Pembangunan Negara menambah, ini adalah kali pertama sumbangan dibuat menerusi inisiatif akar umbi kepada dana peningkatan masjid.

Peningkatan Masjid Darul Makmur akan dapat memuatkan tambahan 1,600 jemaah.

Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah yang terakhir diraikan di sini sebelum kerja naik taraf dimulakan.

Ia dijangka selesai dalam masa dua tahun.

"Harapan kami agar Masjid Darul Makmur dapat sediakan lif untuk warga tua kita kerana sudah hampir 30 tahun mereka terpaksa naik tangga, turun tangga untuk ke masjid dan satu lagi untuk membesarkan ruang solat kerana ruang solat sekarang ini tidak dapat menampung jemaah ketika solat Jumaat dan juga Solat Aidilfitri dan Aidiladha. Mereka terpaksa solat di luar, di bawah sana jadi sangat terhad," harapan yang diluahkan seorang jemaah masjid itu, Encik Sulaiman Adjis.

Para pemimpin akar umbi dan AP GRC Nee Soon yang hadir di majlis penyerahan cek hari ini termasuk Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang K Shanmugam, Encik Louis Ng, Encik Derrick Goh dan Cik Carrie Tan.

Turut hadir ialah para anggota Lembaga Pengurusan Masjid Darul Makmur.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan