Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemimpin agama sifatkan perkembangan isu pemakaian tudung sebagai positif

Para pemimpin agama Islam menyifatkan perkembangan berhubung isu pemakaian tudung bagi para jururawat sebagai positif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin agama Islam menyifatkan perkembangan berhubung isu pemakaian tudung bagi para jururawat sebagai positif.

Ketika ditemui selepas sesi dialog bersama Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam,
Presiden Pergas Ustaz Mohamad Hasbi Hassan mendedahkan bahawa perbincangan tentang isu berkenaan telah berlangsung secara tertutup termasuk di kalangan anggota PERGAS sendiri.

"Sebenarnya ada perbincangan di kalangan para asatizah senior dan junior di peringkat badan seperti PERGAS. Tetapi kita tidak memaklumkannya kepada masyarakat umum kerana ia masih tertutup lagi dan kita tidak tahu apa pendirian pemerintah. Jadi kita tidak mahu mengongsikan berita yang belum konkrit lagi," jelas beliau.

"Kalau kita berbincang secara terbuka kepada masyarakat, mungkin ada yang tidak dapat memahami keadaan yang berlaku sekarang ini. Pesanan kami kepada masyarakat supaya masyarakat bersabar. Hendak menunggu hasil baik harus bersabar."

Ustaz Pasuni Maulan yang merupakan Naib Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah turut melahirkan keprihatinan yang serupa.

"Saya merasa agak kecewa kerana ada sebahagian kita yang menulis di Facebook, menggunakan kata-kata yang kesat walaupun mereka bertujuan untuk mempertahankan atau mereka berjuang untuk mendapatkan hak yang sepatutnya diberikan. Tetapi ini tidak menghalalkan kata-kata kesat dilemparkan, ditujukan kepada pihak-pihak yang tertentu. Dalam apa perjuangan kita pun, kita mesti menjaga adab kita sebagai seorang Islam," tegas beliau.

Beliau turut menekankan perlunya bagi semua pihak untuk berbincang dengan secara berhemah.

"Kita mesti cuba melihat sesuatu itu dengan kaca mata yang jelas. Kita hendak mencapai matlamat hendaklah dengan cara yang baik, berbudi bahasa. Kita tidak menyuarakan dengan cara yang boleh merugikan kita. Setiap perjuangan ada strategi. Jadi jika kita menggunakan strategi yang salah, kita tidak akan berjaya," nasihat Ustaz Pasuni.

Pengerusi Masjid Khadijah Ustaz Ali Haji Mohamed pula berharap perbincangan seterusnya akan dapat merapatkan jurang persefahaman antara rakyat dalam konteks sebuah negara majmuk.

"Saya rasa masyarakat kita bukan sahaja masyarakat Melayu bererti rakyat Singapura, saya kira perlu untuk mempunyai pemikiran berdisiplin. Perlu mempunyai pemikiran jauh atau boleh dinamakan minda beretika, kata beliau.

"Kalau kita dapat memahami satu sama lain dan dapat bekerja dengan satu sama lain, kita akan dapat mengurangkan jarak persefahaman antara satu bangsa dengan satu bangsa lain, satu agama dengan satu agama lain." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan