Skip to main content

Singapura

Pemimpin agama, masyarakat main peranan penting pupuk keharmonian SG dalam era digital: Shanmugam

Pemimpin agama dan masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam membantu menetapkan keharmonian di Singapura terutamanya dalam era digital sekarang.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemimpin agama dan masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam membantu menetapkan keharmonian di Singapura terutamanya dalam era digital sekarang.

Demikian ditekankan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K Shanmugam dalam ucapannya di Majlis Berbuka Puasa oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) di Masjid Khadijah pada Isnin (23 Feb).

Pemimpin agama dan masyarakat, kata Encik Shanmugam, turut mainkan peranan penting juga dalam memupuk keharmonian dengan merentasi batas agama, memperjuangkan perpaduan dan belas ihsan, serta berkhidmat tanpa mengira latar belakang.

"Kepimpinan anda amat penting dalam era digital masa kini. Ramai golongan muda mendapatkan berita daripada ruang dalam talian. Mereka sedang mencari identiti, mencari komuniti dan mencari rasa kebersamaan," kata Encik Shanmugam.

"Mereka terdedah dan memerlukan orang dewasa serta mentor yang dipercayai untuk membimbing mereka. Dalam konteks yang lebih luas, itulah peranan yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh pemimpin agama dan masyarakat kita," tambahnya lagi.

Di tengah-tengah pergolakan dunia yang dicetuskan tekanan politik dan ekonomi, Singapura kekal aman damai.
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
Ini menurut Encik Shanmugam kerana Singapura menumpukan pada beberapa asas penting termasuk keharmonian kaum dan agama.

"Keharmonian Kaum dan Agama merupakan salah satu asas yang utama. Ia amat penting bagi kita. Ia mengekalkan keamanan di Singapura. Oleh itu, apa sahaja yang berlaku di luar negara atau di peringkat global, kita berusaha untuk tidak membawa masalah tersebut ke dalam negara. Jika sesuai, kita boleh menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di tempat lain," kata Encik Shanmugam.

"Pada masa yang sama, undang-undang kita tidak membenarkan rakyat kita pergi berjuang di luar negara bagi tujuan atau perjuangan asing. Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang berbuat demikian," tambahnya lagi.

Bertemakan "Keharmonian Antara Agama – Kemanusiaan dalam Agama", Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali mengatakan ia bukan sekadar berbicara tentang kewujudan bersama, tetapi tentang hubungan yang terjalin.

"Keharmonian perlu wujud untuk kita mencapai kemanusiaan bersama. Pada terasnya, semua agama menyeru kita kembali kepada nilai kemanusiaan," kata Ustaz Dr Mohamed dalam ucapannya.

"Merentasi tradisi, kita melihat nilai-nilai yang sama: belas kasihan, keadilan, rahmat, kerendahan hati dan khidmat kepada sesama insan. Sama ada seseorang memasuki masjid, gereja, kuil, sinagog atau mana-mana ruang suci, mesej asas yang ditemui tetap sama — bahawa kita bertanggungjawab terhadap cara kita melayani antara satu sama lain," tambahnya lagi.

Menurut beliau, keharmonian antara agama perlu diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit, bukan sekadar dialog simbolik.

"Toleransi membawa maksud sekadar bertahan antara satu sama lain. Di Singapura, kita telah melangkaui toleransi. Apa yang kita miliki dalam ruang ini ialah penghargaan. Ia adalah pengiktirafan bahawa pengalaman keagamaan kita diperkaya oleh kehadiran antara satu sama lain," kata Dr Mohamed.

Para pemimpin agama yang hadir turut berkongsi dengan sekitar 80 hadirin, beberapa usaha menjaga keharmonian agama di negara ini termasuk usaha RRG.

Acara tahunan ini juga telah dihadiri oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Mufti Negars, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Sumber : BERITA Mediacorp/HD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita