Pemimpin agama harus lengkapkan kegiatan online dengan interaksi bersemuka, kata Menteri Negara MCCY
Demi memelihara keutuhan kumpulan-kumpulan agama di sini, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia(MCCY) Alvin Tan menekankan bahawa penting bagi pemimpin-pemimpin agama melengkapi segala usaha yang dijalankan secara online dengan interaksi secara bersemuka.
Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Alvin Tan bersama Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood melancarkan buku AASML 2019. (Gambar: Alvin Tan 陈圣辉/Facebook)
SINGAPURA: Demi memelihara keutuhan kumpulan-kumpulan agama di sini, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Alvin Tan menekankan bahawa penting bagi pemimpin-pemimpin agama melengkapi segala usaha yang dijalankan secara online dengan interaksi secara bersemuka.
Encik Tan berkata demikian dalam satu dialog anjuran Pusat Harmoni bertajuk "Mengukuhkan Ikatan Silang Agama Menerusi Perbincangan Online dan Hubungan Nyata" pada Rabu (2 Dis).
Sesi tersebut dihadiri Encik Tan dan para wakil kumpulan-kumpulan agama di Singapura.
Beliau menarik perhatian kepada usaha pembimbing agama dalam menggunakan platform-platform online seperti Muslim.SG untuk menyampaikan kandungan digital, serta Qing Ming diraikan secara maya. Encik Tan berkata: "Wadah digital boleh membantu sebagai satu saluran. Anda boleh melakukannya (tentang mempelajari kepercayaan agama masing-masing) sedikit demi sedikit secara online, tetapi interaksi dan khidmat itu tidak boleh dilakukan (sekadar) di wadah online."
Encik Tan, yang juga merupakan Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, turut menegaskan bahawa golongan belia boleh memainkan peranan besar di wadah-wadah online, untuk terus menjaga keharmonian sosial pada masa kini.
"Jika anda melihat ada kandungan dengan unsur-unsur yang menghasut kebencian, anda boleh melakukan dua perkara. Pertama, anda boleh melaporkannya dan memastikan kandungan seperti itu diturunkan. Jika tidak, anda boleh cuba menjawab dakwaan (mereka) dengan kata-kata halus dan bukan saling bertelingkah."
Encik Tan turut menyuarakan pandangan tentang bagaimana para pemimpin agama muda harus terus menentukan ciri-ciri Singapura yang diinginkan, selain mengajak orang ramai untuk mempelajari tentang agama-agama lain.
LANCAR BUKU BARU
Di acara yang sama, Encik Tan melancarkan sebuah buku bertajuk "Online Faith in an Online World" (Kepercayaan agama Dalam Dunia Online). Terbitan itu merangkumkan intipati Ceramah Memperingati Abdul Aleem Siddique (AASML) yang berlangsung pada tahun lalu.
Semasa menjadi speaker undangan ceramah tersebut, Encik Tan yang ketika itu masih lagi Pengerusi IRCC Kreta Ayer-Kim Seng, menekankan tentang pentingnya mencari keseimbangan dalam mencari maklumat secara online dan di luar talian.
Encik Tan turut menyentuh tentang bagaimana dunia online boleh memecahbelahkan masyarakat sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik.
Program AASML diperkenalkan pada 2011 sebagai sebahagian sambutan ulang tahun kelima Pusat Harmoni. Ia menjadi platform bagi para belia untuk mendengar dan bertukar-tukar pandangan dengan para pemimpin agama.
Setiap ceramah kemudian dibukukan dan diagih-agihkan kepada pelbagai pertubuhan agama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.