Pemimpin 10 agama berdoa beramai-ramai peringati kejadian di RVHS
Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura pada Jumaat (23 Jul)menganjurkan doa demi memperingati peristiwa malang di Sekolah Tinggi River Valley.
SINGAPURA: Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura pada Jumaat (23 Jul)menganjurkan doa demi memperingati peristiwa malang di Sekolah Tinggi River Valley.
Upacara di Raffles Town Club itu dihadiri wakil-wakil agama dan juga Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman.
Imam Masjid Ba'alwie Habib Hassan Alatas memimpin upacara doa beramai-ramai memohon kesejahteraan semua pihak yang terjejas oleh insiden itu.
Para hadirin turut bertafakur selama seminit.
Habib Hassan berkata semua di IRO bersatu hati untuk mendoakan peristiwa yang berlaku baru-baru ini kerana ia menyedihkan bukan sahaja satu kaum.
Ramai pelajar dan guru kata beliau merasa bimbang dan tertanya-tanya mengapa ia terjadi.
"Sebab itu IRO berkumpul untuk mendoakan agar keselamatan anak-anak kita di sekolah, guru-gurunya dan begitu juga rakyat supaya tenang kerana sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya insya Allah," kata Habib Hassan.
Dalam ucapan ringkasnya pula, Dr Maliki menggesa masyarakat agar bersatu padu dan menghulurkan sokongan kepada semua pihak yang terjejas dalam kejadian malang itu.
"Sememangnya tidak mudah kehilangan orang tersayang. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan penderitaan yang dialami. Marilah kita menghargai anak-anak kita sebagai ibu bapa dan sebagai sebuah masyarakat.
"Tunjukkan kepada mereka rasa sayang kita yang tidak berbelah bagi dan dengarkan kebimbangan mereka. Marilah kita sebagai satu masyarakat, teguh bersatu dan tunjukkan belas kasihan," kata Dr Maliki.
Kementerian Pendidikan, tambah beliau, akan terus memberikan sokongan yang diperlukan dalam masa-masa sukar ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.