Pemilik Zam Zam didapati bersalah upah samseng kelar pekerja Victory
Pemilik restoran murtabak terkenal Zam Zam didapati bersalah pada Jumaat (6 Mac), bersama seorang rakan perniagaannya,kerana mengupah seorang tukang pukul dari kumpulan samseng untuk mengelar muka lelaki dari restoran saingannya.
Zackeer Abbass Khan meninggalkan Mahkamah Negara pada 6 Mac 2020. (Gambar: TODAY/Yong Jun Yuan)
SINGAPURA: Pemilik restoran murtabak terkenal Zam Zam didapati bersalah pada Jumaat (6 Mac), bersama seorang rakan perniagaannya,kerana mengupah seorang tukang pukul dari kumpulan samseng untuk mengelar muka lelaki dari restoran saingannya.
Hakim berkata kes itu adalah berkaitan persaingan perniagaan, dalam satu pertikaian antara restoran Zam Zam dan Victory di North Bridge Road, yang berlarutan selama hampir 100 tahun.
Pemilik Zam Zam, Zackeer Abbass Khan, 49 tahun, berkomplot dengan beberapa orang lain untuk mengelar dan mencederakan penyelia restoran Victory, Liakath Ali Mohamed Ibrahim.
Dia mengarahkan rakan perniagaannya yang juga rakan lamanya Anwer Ambiya Kadir Maideen, 50 tahun, untuk mengupah orang mencederakan mangsa, menawarkan wang untuk melaksanakan tindakan itu.
Anwer kemudian mengupah seorang anggota kumpulan samseng Joshua Navindran Surainthiran untuk mengelar muka mangsa dengan pisau pada 26 Ogos 2015.
Akibat serangan itu, mangsa kini ada parut di wajahnya dan Joshua dijatuhi hukuman penjara enam setengah tahun dan enam sebatan pada 2016 atas beberapa pertuduhan berkaitan dengan kes itu.
Setelah perbicaraan yang berlarutan panjang, Hakim Daerah Mathew Joseph mendapati kedua-dua Zackeer dan Anwer bersalah bersekongkol untuk sengaja menyebabkan kecederaan parah. Hakim memutuskan pihak pendakwaan sudah membuktikan kes mereka.
Zackeer disabitkan dengan pertuduhan tambahan melakukan ugutan jenayah, sementara Anwer menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan samseng.
Hakim Joseph berkata kes itu adalah berhubung persaingan perniagaan.
PERTIKAIAN AKIBAT USAHA SAMA GAGAL 2005
Hakim mengatakan bahawa adalah malang persengketaan itu tercetus akibat usaha sama perniagaan yang gagal sebelum ini, dan kedua restoran itu "secara kerap menarik pelanggan satu sama lain" dengan agresif.
Ini mengeruhkan lagi ketegangan antara pihak pengurusan dan kakitangan di kedua-dua restoran.
Pihak pendakwa berkata permusuhan antara Zackeer dan mangsa sudah lama terpahat dan mengatasi persaingan perniagaan antara kedua-dua restoran tersebut.
Ia bermula pada 2005, apabila kedua-dua lelaki itu adalah rakan kongsi perniagaan. Perniagaan itu gagal dan Zackeer menyalahkan mangsa kerana disaman dan "ditipu" sebanyak S$80,000.
Apabila mangsa mula bekerja di Victory, restoran saingannya, dia mula menimbulkan masalah untuk perniagaan baru Zackeer, menarik pelanggannya dan melaporkan kakitangan kepada pihak berkuasa.
Hakim menolak hujah-hujah pembelaan bahawa tertuduh hanya ingin memberi amaran lisan kepada mangsa dan bahawa Joshua sendiri yang memberi idea mencederakan mangsa.
Kedua-dua Zackeer dan Anwer akan dihadapkan lagi ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman pada 13 Apr.
Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah secara sengaja menggunakan alat pemotong adalah penjara seumur hidup, atau sehingga 15 tahun, dengan kemungkinan dirotan dan denda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.