Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik Sinar Bahru Seafood & anaknya kekal tabah meski kehilangan 3 ahli keluarga secara tragis

"Sehingga ke hari ini, saya masih bermimpi anak lelaki saya memanggil saya, dia lemas dan meminta saya menolongnya," kata Encik Syed Peeir Hameed, 69 tahun, kepada The Pride pada 19 Nov.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik Sinar Bahru Seafood & anaknya kekal tabah meski kehilangan 3 ahli keluarga secara tragis

Encik Syed Peeir Hameed bersama satu-satu anak perempuannya yang tinggal. (Gambar: The Pride)

SINGAPURA: "Sehingga ke hari ini, saya masih bermimpi anak lelaki saya memanggil saya, dia lemas dan meminta saya menolongnya," kata Encik Syed Peeir Hameed, 69 tahun, kepada The Pride pada 19 Nov.

"Ya, saya juga begitu," dedah anak perempuannya, Nur Hidah Begum, 38 tahun, dengan nada yang sebak. Beliau menanggalkan tudungnya buat seketika untuk menunjukkan parut pada bahagian kepalanya disebabkan oleh enam pembedahan yang dijalankan pada bahagian tempurung kepalanya sejak ditimpa kemalangan motosikal pada 2002. 18 tahun kemudian, beliau berjalan tempang dan sering kali mengalami kesakitan.

Kakak Hidah, Norshilah, meninggal dunia pada 2013.

Pada 2015, anak lelaki Encik Syed yang berusia 28 tahun ketika itu, mati lemas dalam satu kemalangan semasa memancing. Di tengah-tengah kedua-dua tragedi itu, isterinya pula, Mariam, meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit barah.

Selepas berdepan dengan tiga kematian dalam masa dua tahun, keluarga lima beranak itu kini cuma tinggal Encik Syed dan Hidah saja. Sungguhpun demikian, pasangan ayah dan anak itu terus menempuhi hidup hari demi hari, sambil menaruh harapan agar keadaan akan bertambah baik pada masa akan datang.

Pada awal November, dengan bantuan Charu, seorang sukarelawan daripada KampungKakis, mereka membuka semula khidmat makanan laut Sinar Bahru Seafood -
yang dimiliki Encik Syed selama 25 tahun - sebagai sebuah perniagaan dari flat empat bilik mereka.

IMPIAN MENJADI CEF

(Gambar-gambar daripada Nur Hidah Begum)

Encik Syed adalah seorang tukang masak berpengalaman yang gemar memasak. Perjalanan beliau dalam bidang kulinari bermula pada 1972 semasa beliau bekerja sebagai seorang cef di Hotel Marco Polo selama 13 tahun.

Pada 1995, beliau membuka kedai makan dan menawarkan khidmat katering melalui Restoran Makanan Laut Sinar Bahru di Bedok North dan berniaga di sana selama 18 tahun.

Encik Syed memberitahu The Pride: "Kami adalah sebuah keluarga yang bahagia. Ketika itu, perniagaan saya laris. Saya juga menawarkan khidmat katering bagi majlis persandingan orang Melayu."

Beliau turut berkongsi bahawa dengan pasukan pekerjanya ketika itu, beliau berupaya menampung seramai 1,000 tetamu pada satu-satu masa, yang mampu menjana keuntungan sehingga S$25,000 bagi sesebuah majlis persandingan.

Hidangan yang mengangkat namanya adalah kerapu masam manis, ketam cili, ketam lada hitam dan sup tulang. Nasi beriani kambing beliau juga merupakan antara hidangan yang menjadi kegemaran para pelanggannya.

(Gambar: Facebook / Sinar Bahru Seafood)

Dengan sikapnya yang murah hati, beliau kerap membantu sanak saudaranya dan berkongsi resipinya dengan orang lain.

TRAGEDI MELANDA

Malangnya, hidupnya tidak selalu indah. Semasa Encik Syed menguruskan restorannya, isterinya menjaga Norshila di rumah, yang lumpuh dan terlantar di katil sejak berusia tujuh tahun selepas prosedur perubatan yang dijalaninya tidak berjalan lancar.

Sejak 2002 pula, beberapa tragedi menimpa keluarga itu.

Gambar kenangan Encik Syed bersama keluarga.

Isteri Encik Syed, Mariam didiagnosis dengan barah payudara pada 2002. Tiga bulan kemudian, Hidah mengalami kemalangan motosikal yang menyebabkan kecederaan yang parah pada tempurung kepala dan bahagian otaknya.

Pada 2013, keadaan Norshilah bertambah buruk dan beliau meninggal dunia pada tahun yang sama. Allahyarhamha berusia 34 tahun. Disebabkan patah hati, Encik Syed memutuskan untuk berehat daripada perniagaannya.

Encik Syed berkata: "Apabila anak perempuan saya meninggal dunia, saya hilang semangat untuk meneruskan perniagaan saya. Saya sangat sedih. Isteri saya juga sudah mula putus harapan. Beliau hilang selera makan, tidak boleh tidur. Setiap malam beliau akan menangis... beliau sangat menyayangi anaknya dan sudah menjaganya selama 34 tahun! Jadi saya tinggalkan kedai saya untuk menjaga isteri saya."

Bagaimanapun selang setahun kemudian, pada 2014, penyakit barah Mariam muncul kembali. Sebelum itu, beliau berjaya mengatasi ketumbuhan yang dialami tetapi penyakit itu muncul kembali dan ia semakin bertambah buruk. Allahyarhamha meninggal dunia akibat barah otak tahap empat dalam masa setahun.

Keluarganya - Encik Syed, Hidah dan Shafiq - begitu terpukul dengan pemergiannya.

Pada 2015, mereka ditimpa satu lagi musibah apabila Shafiq, yang berusia 28 tahun ketika itu, mati lemas dalam satu kemalangan semasa memancing.

Mengimbas kembali kejadian itu, Encik Syed berkata ia berlaku selepas hujan lebat. Beliau, Shafiq, Hidah (yang duduk di kerusi roda) dan pembantu mereka pergi memancing di terusan Sungei Api Api dekat Pasir Ris. Encik Syed berkata Shafiq masuk ke dalam air untuk melepaskan tali kail yang tersangkut. Kakinya terjerat dengan tali dan tidak dapat membebaskan dirinya.

Dengan nada sedih, Encik Syed berkata: "Ada ramai orang di jambatan itu. Tapi mereka sekadar melihat sahaja dan tidak menghulurkan bantuan. Anak lelaki saya berulang kali mengangkat tangan untuk meminta pertolongan. Saya nampak anak saya. Dengan matanya terbuka, dia meminta saya untuk menolongnya. Malangnya saya sendiri tidak tahu berenang dan jika saya terjun untuk membantunya, mungkin saya juga akan mati."

Menurut Encik Syed, Shafiq pernah bertugas sebagai seorang pramugara sebelum dia mula membantu Encik Syed di restorannya. Dia seorang tukang masak yang cekap dan rajin, tambahnya.

Encik Syed bersama anak lelakinya, Shafiq. 

Buat masa ini, Hidah amat bergantung kepada sokongan dan sumber pendapatan ayahnya kerana dia tidak mampu bekerja disebabkan oleh keadaan fizikalnya.

Hidah berkata, "Semua harapan saya musnah... Namun kita hanya boleh reda.

Menangis darah dan air mata tidak akan membawa ahli keluarga kita kembali. Dalam masa tiga tahun, tiga nyawa melayang begitu saja. Kami belum sempat menitiskan air mata atas pemergian kakak saya apabila ibu saya pula meninggalkan kami. Kemudian abang saya. Ayahlah satu-satunya tunggak kekuatan saya."

Encik Syed berkata: "Yang sudah tu sudah. Kita mesti tabah mengharunginya. Para pekerja sosial menanyakan kami, "bagaimana kami boleh bertahan dalam keadaan sebegini, (jika kami berada di tempat anda) kami tidak mampu menempuhinya." Saya menjawab, "Saya perlu kuat. Jika saya tidak kuat, siapa yang akan jaga anak perempuan saya?"

"Saya fikirkan Hidah. Kerana ibunya pernah memberitahu saya sebelum beliau pergi, 'anda perlu jaga dia'. Jadi saya ingat akan perkara itu."

Sudah enam tahun sejak pemergian Cik Mariam tetapi belum pernah terlintas dalam benak fikiran Encik Syed untuk berkahwin lagi kerana Hidah adalah segala-galanya buatnya. 

Sumber : Agensi berita/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan