Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik rumah privet yang sewakannya lebih terbeban dengan kenaikan cukai hartanah

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik rumah privet yang sewakannya lebih terbeban dengan kenaikan cukai hartanah

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Encik Alfian Raman, 42 tahun memiliki dua hartanah privet, sebuah kondominium dua bilik di EU Habibat yang terletak di kawasan Eunos ini dan sebuah lagi unit satu bilik di Telok Kurau.

Beliau memilih untuk menetap di unit di Eunos itu manakala kondominium di Telok Kurau itu disewakan

Namun apakah kesan kesan kenaikan kadar cukai hartanah yang akan dinaikkan secara progresif mulai 1 Januari tahun depan kepada pemilik rumah seperti beliau?

Kadar cukai hartanah untuk rumah yang tidak didiami pemilik - termasuk hartanah pelaburan - akan dinaikkan secara menyeluruh: daripada 10 hingga 20 peratus pada masa ini, kepada 11 hingga 27 peratus dari 1 Januari 2023 dan 12 hingga 36 peratus dari 1 Jan 2024.

Cukai hartanah yang perlu dibayar itu ditentukan mengikut nilai tahunan sesebuah rumah itu. 

Buat masa ini nilai hartanah Encik Alfian di EU Habitat adalah sekitar S$1.3 juta dengan nilai tahunan sebanyak S$22,000.

Oleh kerana beliau tinggal di unit di EU Habitat itu, beliau tidak perlu membayar cukai hartanah untuk S$8,000 pertama nilai tahunan itu.

Beliau hanya membayar cukai hartanah sebanyak 4 peratus untuk baki S$14,000 atau hampir S$600 sebulan.

Meskipun kadar cukai hartanah beliau dinaikkan kepada 11 peratus mulai 1 Januari depan, jumlah cukai hartanah yang perlu beliau bayar tidak akan naik dengan mendadak asalkan nilai tahunnya kekal di bawah S$30,000.
 
Encik Alfian juga berkata beliau mungkin tidak begitu terkesan dengan nilai cukai hartanah bagi kondominiumnya di Telok Kurau yang disewakan.

Untuk unit yang tidak dihuni pemilik, Encik Alfian perlu membayar cukai lebih tinggi bagi hartanah yang dianggarkan bernilai S$1 juta sekarang.

"Nilai tahunan bagi unit tersebut adalah S$15,600 dan ia lebih rendah dalam lingkungan nilai tahunan S$30,000 pertama. Cukai hartanah yang saya bayar sekarang adalah 10% atau sekitar S$500 setahun.

Jadi saya tidak terjejas teruk meskipun kadar cukai hartanah dinaikkan daripada 10 peratus kepada 11 peratus pada tahun 2023," jelas beliau kepada BERITAmediacorp.

Namun beliau akur kos memiliki hartanah pelaburan itu akan meningkat meskipun menikmati kadar pasaran sewa yang lebih tinggi.

Beliau sudah merasakan tekanan ekoran kenaikan kadar faedah pinjaman rumah, sejak bank di Singapura meningkatkan kadar pinjaman rumah tetap sehingga 4.5 peratus, iaitu yang tertinggi sejak hampir dua dekad lalu.

Sejak awal tahun ini, pasaran sewa naik dengan harga sewa meningkat sehingga 40 peratus.

Walaupun dapat menyewakan rumah atau bilik dengan harga yang lebih tinggi sekarang, kadar pinjaman rumah yang perlu dibayar pemilik juga bertambah. 

"Kontrak unit yang saya sewakan tamat pada 2024 jadi tengok macam mana pasaran sewa pada macam mana. Kalau kadar pinjaman bank masih tinggi, saya akan salurkan kos kepada penyewa. 

"Kita harus fikirkan sama ada bayaran (cukai hartanah dan pinjaman bank) untuk kita simpan kita punya hartanah itu. Kalau jumlah yang dibelanjakan lebih tinggi daripada yang diraih, mungkin saya terpaksa menjualnya," kata Encik Alfian.

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Menurut pemerhatian ejen hartanah, kesan kenaikan cukai hartanah tidak begitu menjejas sentimen pemilik flat HDB sekarang yang berhasrat untuk membeli rumah privet. 

"Bagi mereka  yang ingin membeli apartmen privet seperti kondominium untuk mereka diami, kenaikan kadar cukai hartanah tidak seberat mana. Jumlahnya tidak jauh berbeza daripada jumlah yang mereka bayar sekarang.

"Kesan kenaikan cukai hartanah ini tidak akan mengubah niat seseorang untuk membeli sebuah kondominium tetapi yang lebih membimbangkan pemilik HDB yang ingin naik taraf, apa yang membimbangkan mereka adalah kadar pinjaman bank yang akan terus naik untuk tahun depan," kata ejen hartanah PropNex Pte Ltd, Encik Elfi Abdullah. 

Tambahnya, para pembeli yang membeli kediaman privet untuk disewakan mungkin merasakan lebih perit.

Ini kerana selain kadar faedah pinjaman bank yang lebih tinggi, mereka juga harus membayar cukai hartanah kediaman lebih tinggi bagi hartanah kediaman bernilai lebih tinggi yang tidak dihuni pemilik.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan