Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik restoran Mala didenda; benarkan kumpulan besar duduk makan, minum arak

Pemilik sebuah restoran Mala didenda S$9,000 pada Khamis (15 Jul) kerana membenarkan kumpulan-kumpulan pelanggan yang besar duduk makan dan minum arak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik restoran Mala didenda; benarkan kumpulan besar duduk makan, minum arak

Pemilik restoran Mala didenda kerana melanggar peraturan COVID-19 dan membekalkan minuman keras tanpa lesen. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 15 Jul 2021 12:20PM Dikemas Kini : 15 Jul 2021 12:23PM

SINGAPURA: Pemilik sebuah restoran Mala didenda S$9,000 pada Khamis (15 Jul) kerana membenarkan kumpulan-kumpulan pelanggan yang besar duduk makan dan minum arak.

Penduduk Tetap Singapura (PR) Sun Wenqian, 39 tahun, mengaku bersalah membekalkan minuman keras tanpa lesen dan gagal memastikan restorannya mematuhi had maksimum pelanggan yang dibenarkan iaitu hanya lima orang ketika kesalahan dilakukan.

Mahkamah diberitahu bahawa Sun adalah pemilik restoran Mala Jiang Hu di 136 Sims Avenue yang terletak dalam zon pengawalan minuman keras di Geylang.

Sekitar 11.44 malam pada 19 September tahun lalu, seorang lelaki telah menghubungi polis untuk membuat aduan yang mengatakan bahawa meskipun restoran berkenaan sudah menutup pintunya, masih ramai di dalamnya yang tidak menjaga jarak selamat.

Tiga pegawai polis dikerahkan ke premis itu sekitar dua jam kemudian dan mendapati pintu restoran sudah ditutup tetapi memasuki premis berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.

Para pegawai polis menemui dua bilik di dalam restoran tersebut dengan para pelanggan sedang makan dan minum. Terdapat sekurang-kurangnya enam orang sedang duduk makan di sebuah meja dalam bilik pertama dan lagi 10 orang sedang duduk makan dan minum bir dalam bilik kedua.

Sun tidak mempunyai lesen yang diperlukan untuk membekalkan minuman keras di restorannya tetapi tetapi mengarahkan pekerjanya untuk menjual minuman keras itu kepada para pelanggan.

Had yang ditetapkan bagi pertemuan secara berkumpulan pada ketika itu hanya lima orang saja tetapi Sun tidak mengambil langkah-langkah untuk memastikan ia dipatuhi.

Sun yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah.

Hakim mengarahkan Sun membayar dendanya secara ansurans sebanyak S$1,500 sebulan memandangkan dia adalah satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga lima beranak termasuk dua anak kecil berusia 21 bulan dan perlu membayar gadai janji.

Bagi kesalahan membekalkan minuman keras di restorannya tanpa lesen, Sun boleh didenda sehingga S$20,000. Dia juga boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali kerana melanggar peraturan COVID-19. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan