Pemilik pusat karaoke berdepan industri 'diabaikan' sedang ekonomi dibuka semula
Rangkaian pusat karaoke Teo Heng akan membayar 120 kakitangannya hanya separuh daripada gaji mereka mulai bulan ini, setelah bertahan sejak lewat Mac tanpa sebarang pendapatan.
(Gambar: Chew Hui Min)
SINGAPURA: Rangkaian pusat karaoke Teo Heng akan membayar 120 kakitangannya hanya separuh daripada gaji mereka mulai bulan ini, setelah bertahan sejak lewat Mac tanpa sebarang pendapatan.
Bagaimanapun Cik Jean Teo, salah seorang pengarahnya, berharap bahawa potongan gaji itu adalah buat sementara waktu sahaja: "Apabila kami boleh buka semula, kami akan membayar mereka baki 50 peratus itu, sebanyak yang kami mampu ... jika kami dapat bertahan, saya mungkin boleh memberikan mereka bonus."
Rangkaian yang dikenali untuk harganya yang berpatutan itu sudah menutup dua daripada 14 cawangannya, termasuk cawangan pertamanya di Katong, yang dibuka pada 1989. Awal daripada ini, laporan media menyatakan bahawa Teo Heng mungkin menutup sehingga tujuh cawangan.
"Lagi lama keadaan tidak menentu ... lebih banyak cawangan akan ditutup," kata Cik Teo.
Meskipun beberapa tempat hiburan malam berupaya menukar perniagaan mereka dan membuka semula perniagaan sebagai cawangan makanan dan minuman, perniagaan karaoke belum menemui jalan keluar. Mereka memberitahu Mediacorp bahawa atas sebab pelesenan, peruntukan zon dan pengawal seliaan, tidak semua tempat boleh melakukan demikian.
Seorang anggota jawatankuasa Persatuan Hiburan Singapura Simon Sim, berkata mereka berasa "ditinggalkan di belakang" sedang sektor-sektor ekonomi lain dibuka semula. Beliau terpaksa menutup cawangan KTVnya, Karaoke Times di City Square Mall dan tiga pub.
"Industri hiburan sudah rasa diabaikan, kami lebih teruk daripda pekerja asing," katanya.
Pada Selasa malam (20 Okt), Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata bahawa industri hiburan malam tidak mungkin akan disambung semula meskipun selepas Singapura memasuki Fasa 3 pembukaan semula, yang mungkin berlaku sebelum hujung tahun ini.
Kegiatan-kegiatan seperti menyanyi dan menari di dalam bilik dengan muzik dimainkan dengan kuat "diketahui lebih berisiko tinggi", kata Encik Wong, yang merupakan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian bagi membendung COVID-19.
Beliau menambah bahawa Pemerintah mungkin mempertimbangkan untuk membuka semula beberapa kegiatan perniagaan hiburan malam dalam satu percubaan, dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang "lebih ketat".
"Kami akan berbincang dengan industri hiburan malam bagaimana projek perintis ini boleh dilaksanakan," katanya.
Cik Teo berharap rangkaian karaoke mesra keluarga seperti Teo Heng akan dipertimbangkan bagi uji cuba tersebut. Beliau menyarankan menyanyi sambil memakai pelitup, menggunakan sarung tangan dan menghadkan masa bagi pelanggan serta langkah-langkah keselamatan lain.
Encik Jonathan Zhang, yang mengendalikan HaveFun Karoke, berkata bahawa syarikat itu sudah mengemukakan beberapa idea kepada pihak berkuasa dan menantikan kelulusan untuk meneruskannya.
Ini termasuk menggunakan bilik-bilik karaoke untuk tayangan filem privet, bermain permainan papan atau kegiatan lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.