Pemilik perniagaan kecil jadi sasaran muslihat penipu ambil alih akaun Instagram
SINGAPURA: Seorang pemilik perniagaan kecil, Dayana Rizal, 27 tahun, tidak canggung berurusan dengan para pembeli secara online. Namun, pelanggan yang ditangani beliau pada 3 Oktober lalu disifatkannya sebagai kelihatan seolah-olah "tidak mengundang kesangsian".
Cik Dayana, yang meniaga cawan tembikar di akaun Instagramnya, potekceramics - kini sudah tidak lagi berfungsi, memberi gambaran pembeli tersebut seorang yang manis berbicara dan sepertinya kurang pasti mengenai cara untuk membeli produk jualannya secara online.
Pembeli itu, yang menggunakan akaun Instagram peribadi dengan hanya beberapa ratus pengikut, menghantar mesej secara langsung kepada Cik Dayana berserta tangkapan skrin produknya dan berkata: "Saya mahu membeli ini."
"Saya hanya mengandaikan bahawa dia seperti makcik yang kurang faham dan tidak tahu-menahu tentang bagaimana untuk membuat pesanan melalui Instagram. Saya rasa saya kurang berjaga-jaga juga kerana individu di sebalik akaun tersebut memanggil saya 'dear' dan sebagainya."
Cik Dayana, yang bertugas di sebuah studio membuat tembikar dan mengendalikan bengkel, kemudian merujuk pembeli tersebut ke lamannya dan memberitahu pembeli itu untuk menyemak produk-produk yang ada dan membuat pembelian di laman berkenaan. Namun, pembeli itu masih berkeras untuk membuat pembelian menerusi Instagram.
Cik Dayana pun memenuhi permintaan pembeli itu lalu menyuruhnya untuk memindahkan wang kepada akaun di bawah nombor telefon bimbitnya.
Pembeli itu kemudian menanyakan soalan yang mencurigakan kepada Cik Dayana tentang sama ada beliau merupakan pemilik atau petugas yang mengendalikan halaman Instagram potekceramics, kononnya untuk mengesahkan bahawa dia sedang berurusan dengan pemilik perniagaan. Cik Dayana mengesahkan bahawa beliau adalah pemilik perniagaan itu.
Pembeli itu kemudian berkata dia akan membuat perminataan kepada Instagram untuk menghantar mesej kepada Cik Dayana sekadar untuk memeriksa sama ada beliau adalah pemilik sebenar perniagaan tersebut.
"Sebaik sahaja anda terima mesej itu, boleh anda ambil petikan skrin dan hantarkannya kepada saya? Kemudian saya akan membuat pembayaran PayNow ke nombor telefon bimbit anda," kata pembeli berkenaan.
Malangnya, Cik Dayana gagal menyedari bahawa pembeli tersebut sebenarnya sedang menggunakan fungsi penetapan semula kata laluan di Instagram dalam usaha untuk mengambil alih akaun Instagram perniagaannya.
Cik Dayana kemudian menerima kiriman mesej daripada Facebook dengan pautan untuk menetapkan semula kata laluan bagi akaun Instagramnya. Tanpa "berfikir" lanjut atau meneliti mesej tersebut, beliau mengambil tangkapan skrin mesej tersebut dan menghantarkannya kepada pembeli itu.
"Saya tidak meneliti (mesej itu) dengan betul-betul. Saya sangkakan ia hanya mesej daripada Facebook untuk mengesahkan bahawa saya adalah pemilik sebenar (akaun)," ujar Cik Dayana.
Akur mesej itu mengelirukan, beliau berkata ia begitu mudah dan pantas untuk mengambil tangkapan skrin sebuah mesej lalu menghantarkannya kepada orang lain.
"Namun, akhirnya, saya juga ditipu."
Para pemilik perniagaan kecil lain juga dikatakan pernah berdepan dengan pembeli yang menggunakan kaedah mudah sedemikian untuk mengambil alih akaun Instagram mereka.
Sementara itu, rakan-rakan Cik Dayana memberinya kemas kini mengenai halaman akaun Instagram beliau, mengatakan bahawa pemilik baru itu memuat naik catatan mengenai penipuan berkaitan dengan pelaburan. Malah, pemilik baru itu turut menghantar mesej secara langsung kepada para pengikut akaun tersebut mengenai pelaburan penipuan itu.
Rakan-rakan Cik Dayana cuba melaporkan akaun berkenaan kepada Instagram dan menyekat akaun tersebut dengan harapan Instagram dapat mengenal pasti akaun tersebut sebagai akaun yang sudahpun digodam.
Cik Dayana berkongsi beliau sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan polis tetapi mengakui bahawa beliau sudah dapat mengatasi kekecewaannya kerana kehilangan akaun Instagram itu. Perkongsiannya ini, kata beliau, agar orang lain tidak terpedaya dengan tipu muslihat seperti yang dialaminya.
Beliau juga menasihatkan para pemilik perniagaan kecil yang berurusan menerusi Instagram supaya memeriksa akaun para pembeli mereka dan sentiasa berwaspada terhadap permintaan yang dikemukakan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.