Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik, penyewa flat dipertanggungjawab atas kesalahan buang sampah dari tempat tinggi di bawah undang-undang baru

Menjadi tanggungjawab pemilik dan penyewa flat perumahan awam untuk memastikan perbuatan membuang sampah dari flat mereka tidak berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjadi tanggungjawab pemilik dan penyewa flat perumahan awam untuk memastikan perbuatan membuang sampah dari flat mereka tidak berlaku.

Ia membentuk sebahagian pindaan kepada Rang Undang-Undang Kesihatan Awam Persekitaran (Pindaan) yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin (9 Jan).

Di bawah "klausa anggapan berkanun", pemilik berdaftar atau penyewa flat itu dianggap  melakukan kesalahan itu jika perbuatan membuang sampah terbukti berlaku dari unit mereka. 

Buat masa ini, jika kamera pengawasan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dapat mengesan seseorang membuang sampah dari tingkap di tingkat tinggi,  pegawainya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pesalah itu.

NEA menyatakan dalam satu kenyataan media pada Isnin bahawa buat masa ini, pemilik flat hanya perlu memberi maklumat mengenai setiap penghuni flat pada waktu kejadian itu berlaku.

"Pindaan itu akan mengukuhkan undang-undang sedia ada dengan meletakkan lebih tanggungjawab pada pemilik dan penyewa untuk mencegah perbuatan sedemikian," menurutnya.

Secara purata, NEA  menyiasat 29,700 kes pembuangan sampah dari tempat tinggi setiap tahun antara 2019 dengan 2021 iaitu kenaikan 77 peratus berbanding purata 16,800 kes setiap tahun antara 2016 dengan 2018.

Dari segi purata jumlah tindakan penguatkuasaan yang diambil setiap tahun antara 2017 dengan 2021, NEA menyatakan ia mengeluarkan sekitar 1,500 tiket - dengan jumlah tertinggi tiket diberikan pada kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020, sebanyak sekitar 2,000 tiket.

Pemilik atau penyewa boleh membantah tanggapan sedemikian dalam tempoh 14 hari setelah dimaklumkan oleh NEA tentang kesalahan yang dilakukan.

Selain itu, anggapan itu juga boleh disangkal jika pemilik atau penyewa flat dapat menyerahkan identiti individu "dipercayai sebagai pesalahnya".

NEA menyatakan ia akan "memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil dan dengan langkah berjaga-jaga", seperti apabila menyiasat kes yang melibatkan kanak-kanak, warga emas dan golongan mudah terjejas.

Misalnya, tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap kanak-kanak bawah usia 12 tahun. Sebaliknya, surat makluman akan dihantar kepada ibu bapa untuk mendidik mereka tentang cara bagaimana untuk membuang sampah dengan betul.

Bagi golongan warga emas dan mudah terjejas, seperti golongan  kurang upaya mental atau fizikal, NEA akan "menyemak dan mempertimbangkan keadaan bagi setiap kes sebelum mengambil tindakan sewajarnya" terhadap pemilik atau penyewa, termasuk memberi amaran.

Jika Rang Undang-Undang itu diluluskan, tarikh pelaksanaan yang dicadangkan ialah 1 Julai tahun ini.

Di bawah Akta  Kesihatan Awam Persekitaran, sesiapa yang didapati membuang sampah sembarangan boleh didenda sehingga S$2,000 bagi kesalahan pertama, S$4,000 bagi kesalahan kedua dan S$10,000 bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Mahkamah juga boleh mengenakan perintah kerja pemulihan (CWO) yang mana pesalah perlu membersihkan kawasan awam selama tempoh sehingga 12 jam.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan