Pemilik 'By Marulyana' Nur Liyana Roslan antara 3 pemenang Program myimpact Maybank; terima geran S$5,000
Edisi kedua program perniagaan mikro myimpact Maybank menarik penyertaan 11 usahawan. (Gambar: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Singapura (SMCCI))
Para peserta membentangkan strategi dan pelan perniagaan mereka kepada juri di Menara Maybank pada Sabtu (22 Feb) dengan harapan meraih geran untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Tiga usahawan yang menunjukkan potensi perniagaan kukuh dan semangat keusahawanan menerima dana permulaan sebanyak S$5,000 setiap seorang, manakala peserta lain menerima S$1,000 sebagai galakan untuk terus memperluas perniagaan mereka.
Pelan perniagaan Nur Liyana Roslan, pemilik By Marulyana, berjaya menarik perhatian juri, menjadikannya salah seorang daripada tiga pemenang utama.
"Motivasi saya adalah untuk mempromosikan perniagaan saya kepada orang ramai dan kemahiran yang saya raih daripada program ini adalah sistem perakaunan untuk perniagaan saya," kata Cik Liyana.
Selain geran, semua peserta akan mendapat akses kepada program bimbingan selama tiga bulan serta peluang untuk membina rangkaian bagi memperkukuh keupayaan kewangan mereka.
Dilancarkan pada November 2024, program myimpact Maybank bertujuan melengkapkan usahawan kecil dan mikro daripada keluarga berpendapatan rendah dengan kemahiran, pengetahuan, dan rangkaian penting bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Program itu dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan zakat Perbankan Islam Maybank Singapura dan menyasarkan penerima bantuan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang bersemangat untuk berdikari.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapore, Alvin Lee, menegaskan kepentingan menyokong perniagaan mikro dalam ekosistem keusahawanan tempatan.
"SME adalah segmen yang sangat besar dan penting dalam ekonomi Singapura. Banyak SME dan juga syarikat besar bermula sebagai perniagaan mikro. Jadi kami benar-benar berharap melalui program ini, kami dapat mendekati lebih banyak organisasi bukan untung untuk membantu lebih ramai orang. Kami mahu program ini memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan," kata Encik Lee.
"Saya amat berbesar hati melihat SMCCI dan Maybank memberi perhatian kepada perniagaan mikro dan mereka yang menjalankan perniagaan di rumah. Mereka mendapat dorongan, bimbingan serta kesedaran mengenai skim dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan," katanya.
Beliau juga menekankan pentingnya menyokong keusahawanan dari pelbagai peringkat.
"Dari peringkat nasional, kita mahu menjana ekonomi yang baik dan memastikan suasana yang kondusif untuk syarikat berkembang. Dari segi perniagaan mikro pula, kita mahu melihat syarikat kecil memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan," tambahnya.
Tahun ini, myimpact Maybank turut bekerjasama dengan persatuan akar umbi dan Pertubuhan Melayu Islam (MMO) seperti MUIS dan TAA untuk memperkukuh rangkaian dan menarik lebih ramai usahawan baru.
Namun, menurut Pengarah Eksekutif SMCCI, Cik Nadiah Hassan, salah satu cabaran utama adalah membina kepercayaan di kalangan usahawan kecil untuk menyertai program ini.
"Ramai usahawan mikro di Singapura mungkin beranggapan bahawa SMCCI hanya memberi tumpuan kepada perniagaan besar, tetapi hakikatnya, kami juga menyokong perniagaan kecil. Salah satu cabaran kami ialah membina keyakinan mereka untuk berkongsi pengalaman dan cabaran dalam menjalankan perniagaan," kata Cik Nadiah.
Dengan sokongan berterusan daripada Maybank dan pelbagai pihak berkepentingan, program itu diharap dapat terus membuka peluang kepada lebih ramai usahawan kecil untuk berkembang dan berjaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.