Pemilik lori gagal pasang pengehad kelajuan boleh dikenakan denda maksimum S$10,000
Para pemilik lori yang gagal memasang alat pengehad kelajuan pada kenderaan mereka mengikut tarikh akhir masing-masing, atau yang mengubah suai alat tersebut, boleh dikenakan denda maksimum sebanyak S$10,000.
Anggota polis trafik menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas lori di seluruh Singapura pada 9 Jun 2025. (Gambar: CNA/Faith Ho)
Jumlah itu adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada denda maksimum semasa sebanyak S$1,000, sedang Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berusaha menggalakkan lebih ramai pemilik lori untuk mengambil tindakan.
“MHA akan membentangkan pindaan undang-undang pada 2026 untuk menaikkan denda maksimum daripada S$1,000 kepada S$10,000 sekiranya gagal mematuhi tarikh akhir perundangan untuk memasang alat pengehad kelajuan, atau jika didapati mengubah suai alat tersebut,” menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (24 Okt).
Lori dengan berat maksimum antara 3,500 kilogram (kg) dan 12,000 kg mesti dipasangkan dengan alat pengehad kelajuan yang memastikan kenderaan tidak boleh dipandu melebihi 60 kilometer sejam.
Bagi lori yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2018, lori yang lebih berat perlu mematuhi peraturan tersebut menjelang 1 Januari 2026, manakala lori yang lebih ringan perlu berbuat demikian menjelang 1 Julai 2026.
Daripada mereka yang perlu mematuhi peraturan tersebut menjelang 1 Januari, hanya empat daripada 10 lori sudah berbuat demikian, kira-kira 1,100 daripada 2,655 lori, menurut SPF.
Lori yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 2018 akan diberikan tempoh tambahan selama setahun untuk mematuhi peraturan itu.
Rancangan untuk menaikkan denda maksimum itu merupakan sebahagian daripada beberapa langkah baharu bagi menggalakkan para pemilik lori untuk memasang alat pengehad kelajuan seperti yang diperlukan.
Langkah-langkah tersebut termasuk:
- Geran Meningkatkan Daya Penghasilan yang disediakan oleh Enterprise Singapore: Perusahaan kecil dan sederhana tempatan boleh memohon geran ini untuk menerima pembiayaan sehingga 50 peratus daripada kos yang layak, tertakluk kepada had geran tahunan sebanyak S$30,000 setiap tahun kewangan. Ini bagi tempoh terhad dari 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2027, bagi lori-lori yang tarikh akhirnya belum berlalu.
- Kriteria baharu untuk permohonan bizSAFE: Mulai 1 Januari tahun depan, keperluan alat pengehad kelajuan akan dimasukkan dalam audit pengurusan risiko Majlis Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja sebagai sebahagian daripada proses pensijilan dan pembaharuan bizSAFE. Syarikat yang didapati mengendalikan lori tanpa alat pengehad kelajuan akan dikenal pasti semasa audit, dan mungkin tidak dapat memperoleh atau memperbaharui sijil bizSAFE mereka.
- Perintah pemulihan bagi lori yang ditangkap memandu dengan laju: Syarikat yang pemandunya ditangkap memandu lori dengan laju akan dikenakan perintah pemulihan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja kerana melakukan perbuatan yang tidak selamat di tempat kerja. Ini akan mewajibkan syarikat berkenaan untuk memasang alat pengehad kelajuan pada semua lori lain miliknya sebelum tarikh akhir perundangan atau berdepan denda sehingga S$50,000.
Polis trafik sebelum ini mengumumkan bahawa mulai 14 September, para pekerja daripada syarikat yang sudah memasang alat pengehad kelajuan pada lori mereka akan diberi keutamaan untuk pendaftaran kelas memandu bagi Kelas 4.
Hukuman bagi kesalahan memandu dengan laju juga akan diperketat mulai tahun depan.
Menurut SPF, sejak Januari 2024, polis trafik sudah menjalankan usaha untuk mengingatkan para pemilik lori mengenai keperluan tersebut melalui operasi penguatkuasaan, sesi libat urus industri dan kempen kesedaran awam.
“TP juga telah bekerjasama dengan industri untuk meningkatkan dengan ketara bilangan ejen yang diberi kuasa untuk memasang alat pengehad kelajuan. Terdapat 61 ejen yang diberi kuasa setakat 1 Oktober 2025,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.