Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik kucing, kumpulan kebajikan kucing alu-alukan rangka kerja baharu; lebih banyak boleh dilakukan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah mengembirikan kucing dan memasang mikrocip pada kucing peliharaannya, pelbagai manfaat dirasakan keluarga Encik Nasri Rahmat.

Selain kesihatan dan keselamatan kucing, beliau juga tidak bimbang jika kucingnya terlepas keluar dari rumah kerana boleh menjejaki kucingnya dengan adanya mikrocip.

"Kucing jika dipasang mikrocip boleh dijumpa kembali. Saya (juga) menggalakkan setiap pemilik kucing, agar kucing peliharaan mereka dikembirikan. Bagus untuk kucing dan jika dikembirikan, ia memberikan satu kesihatan untuk kucing dan juga kucing itu akan mendengar kata selalunya dan tidak membiak," kongsi Encik Nasri.

"Dahulu mereka sering terkencing merata tempat dalam rumah jadi selepas itu kita membuat kajian tentang (pengembirian) dan mendapat tahu ia adalah untuk menghindari sebarang penyakit. Kita juga ingin memastikan kita mengekalkan kebersihan di rumah sebab itu kita ingin memastikan kita mengembirikan mereka," tambah anaknya, Nasha Erina, 23 tahun.

Selepas ini, Encik Nasri sekeluarga boleh terus memelihara kucingnya yang sudah dipasang mikrocip dan hanya perlu mendaftarkan lesen bermula 1 September ini.

Ia juga boleh dilakukan secara percuma dalam tempoh peralihan dua tahun hingga 31 Ogos 2026.

Di bawah rangka kerja pengurusan kucing yang baharu itu, sehingga dua ekor kucing dibenarkan dalam flat HDB, dan sehingga tiga ekor kucing bagi kediaman privet.

Rangka kerja ini juga menarik larangan ke atas pemeliharaan kucing di perumahan awam yang dikenakan sejak 34 tahun lalu.

HAD JUMLAH KUCING DITETAPKAN BERDASARKAN MAKLUM BALAS YANG DITERIMA

Rangka kerja pengurusan kucing itu hasil pertimbangan daripada pelbagai maklum balas dan perbincangan awam yang dilakukan AVS bersama pelbagai pihak berkepentingan.

"Daripada maklum balas yang kita dapati, mereka rasa mungkin dua kucing adalah satu bilangan yang padat dan boleh menjaga, memberikan keseimbangan dan kita mempunyai peluang untuk memelihara kucing dan tidak menjejas kehidupan masyarakat yang lain," kongsi Menteri Negara, Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Ramai yang menyokong usulan untuk memberi peluang bagi masyarakat untuk memelihara kucing tetapi ada yang memberi maklum balas bahawa kalau terlampau banyak dan tidak ada rangka kerja yang yang baik, ia akan memberikan kesan-kesan negatif kepada persekitaran dan bagaimana seseorang itu boleh menjaga kemaslahatan kucing," tambahnya.

Pengumuman ini disambut baik para penduduk yang ditemui BERITA Mediacorp di acara Pet's Day Out.

"Saya amat mengalu-alukan rangka kerja ini kerana pemilik kucing kini boleh memiliki kucing dengan aman. Dua tahun itu adalah tempoh yang agak lama dan akan memberi masa kepada pemilik kucing untuk mendapatkan lesen bagi kucing-kucing mereka," kongsi Cik Siti Zawiyah Aboo, kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

HAD KUCING DI HDB DAN KEDIAMAN PRIVET MUNASABAH?
 

Sentimen yang sama turut dikongsikan Encik Muhammad Sufiyan Abdul Samad berkenaan tempoh peralihan yang diberikan.

"Buat masa ini, belum ada lagi pelesenan jadi pencinta kucing masih tetap boleh membuat beberapa penyesuaian beberapa kucing yang mereka inginkan. Pada pendapat saya, ia merupakan inisiatif baharu yang akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan baharu ini," kongsi Encik Sufiyan.

Beliau juga berharap had yang ditetapkan boleh disemak selepas tempoh peralihan bagi memberi kelonggaran buat mereka yang menetap di flat HDB yang lebih besar untuk memelihara lebih banyak kucing.

"Had (jumlah) kucing untuk tempoh ini, iaitu dua di HDB dan tiga di estet perumahan privet adalah amat munasabah buat masa ini. Mungkin selepas sistem ini dilaksanakan, kita boleh melihat bagaimana untuk mempertingkatkan atau memperbaiki sistem ini sebab mungkin orang yang tinggal di rumah estet yang besar sebagai contoh di Maisonette mungkin boleh menampung lebih daripada dua kucing," saran beliau pula.

Dalam pada itu, Encik Sufiyan juga berharap lebih banyak maklumat akan disediakan tentang cara mendapatkan lesen memandangkan ia masih baharu lagi.

Ini agar pencinta kucing sepertinya dapat mengetahui cara-cara dan selok-belok untuk mendapatkan lesen itu.

MASIH ADA JURANG YANG PERLU DIISI UNTUK DEKATI PEMILIK KUCING

Malah, untuk kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan, meski mengalu-alukan rangka kerja ini, mereka juga berpendapat bahawa lebih banyak lagi boleh dilakukan bagi menguar-uarkan dan meningkatkan lagi kesedaran ramai tentangnya.

"Menteri Negara Kanan (Tan Kiat How) menyebut tentang pendidikan dan program pendekatan baharu yang NParks akan lancarkan. Jadi saya harap kita boleh dapat lebih banyak penjelasan dan maklumat tentangnya kerana ini penting. Masih ada jurang di mana ada bilangan pemilik. yang tidak tahu kepentingan pengembirian dan pemilik yang sama ini juga mungkin tidak tahu akan pelesenan kucing mereka - mengapa perlu lakukannya dan tidak memahami kepentingan pelesenan kucing mereka," kongsi Pengasas Bersama kumpulan BFF Rescue Cats, Cik Gene Tan.

"Jadi saya rasa jurang ini perlu diisi dan saya tidak sabar untuk mempelajari lebih lanjut dan melihat bagaimana kita boleh membantu," tambahnya.

Selain itu, antara keprihatinan mereka termasuk isu pengembirian kucing.

Meskipun pemilik kucing digalak mengembirikan kucing-kucing mereka, pengembirian tidak diwajibkan dan bukan syarat untuk pemilik dapatkan lesen.

Namun demikian, harga lesen selepas tempoh peralihan bagi kucing-kucing yang sudah dikembirikan rata-rata lebih rendah berbanding yang belum.

"Kami berharap harga-harga dengan diskaun itu selepas tempoh peralihan serta pelesenan sepanjang hayat untuk kucing-kucing yang dikembirikan itu bermakna lebih ramai akan memilih untuk mengembirikan kucing mereka, dan sekaligus mengawal jumlah kucing peliharaan di rumah. Malangnya, pengembirian yang wajib tidak berkemungkinan akan jadi tetapi kita berharap rakyat Singapura akan terdorong untuk mengembirikan kesemua kucing peliharaan mereka," ujar Pengarah Eksekutif, Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA), Cik Aarthi Sankar.
 

Bagi Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) pula, rangka kerja pengurusan kucing itu menyediakan garis panduan yang jelas untuk semua pemilik kucing yang bertanggungjawab untuk mengikuti.

"Oleh sebab kita ada jangkaan yang jelas tentang (pemilik) bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab, jadi lebih jelas untuk kita mengatasi kes-kes itu dan bagaimana untuk membezakan mereka yang menyebabkan sesuatu yang tidak menyenangkan," kongsi Presiden CWS, Cik Thenuga Vijakumar.

"Satu kunci utama ialah pengembirian iaitu penyebab utama kelebihan (kucing) dalam rumah. Walaupun ia belum diwajibkan, namun kita menghargai usaha AVS dan beberapa pihak berkepentingan untuk memberi insentif kepada kucing peliharaan yang sudah dikembirikan, lebih daripada yang belum dikembirikan," tambahnya.

PERLU ADA BEBERAPA WADAH UNTUK DEKATI PEMILIK KUCING

Di samping itu, Cik Thenuga juga merasakan bahawa pendekatan dan pendidikan perlu terus dilakukan di luar acara.

"Pemilik kucing tidak boleh mematuhi (peraturan) jika mereka tidak mempunyai kesedaran. Jadi perlu ada beberapa wadah yang melebihi acara-acara sahaja. Saya rasa lebih banyak pendekatan pintu ke pintu diperlukan untuk mengenal pasti pemilik kucing, terutama sekali mereka yang tidak mempunyai akses kepada media sosial untuk mendapatkan penyertaan mereka," kata beliau.
 

Buat masa ini, pemilik kucing digesa mendapatkan lesen dalam tempoh peralihan itu supaya dapat terus memelihara kesemua kucing mereka.

"Saya berharap ini adalah peluang yang baik bagi mereka kerana dalam tempoh peralihan ini kalau mereka mendapatkan pelesenan dan juga mikrocip, mereka boleh menjaga semua kucing-kucing yang mereka mempunyai. Justeru, jangan rasa risau kerana mereka masih ada peluang untuk menjaga dan memeliharanya," seru Dr Faishal.

BOLEH DAFTAR UNTUK LESEN BERMULA 1 SEPTEMBER UNTUK KUCING YANG DISELAMATKAN

Dalam pada itu, para penyelamat kucing juga boleh mendaftar untuk lesen bermula 1 September untuk kucing-kucing yang diselamatkan.

AVS akan kerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan untuk melakarkan garis panduan bagi penyelamat kucing dan akan berkongsi butirannya apabila ia sudah siap.

"Mendapat tahu yang kita boleh mendaftar sebagai penyelamat kucing semasa tempoh peralihan itu baik. Kebimbangannya ialah apa yang akan terjadi selepas itu. Ia seperti apa yang kita perlu lakukan untuk membuktikan bahawa kucing-kucing (di rumah) itu adalah kucing-kucing yang diselamatkan dan bukan kucing peliharaan kita," ujar Cik Tan.

Bagi menangani isu sedemikian, pengasas bersama BFF Rescue Cats itu juga terbuka untuk bekerjasama dengan NParks dan rakan kerja lain demi kesejahteraan kucing-kucing.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan