Skip to main content

Singapura

Pemilik kondo Dairy Farm Residences kecewa yuran penyenggaraan dua kali ganda yang dipasarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik kondo Dairy Farm Residences kecewa yuran penyenggaraan dua kali ganda yang dipasarkan

(Gambar: Penduduk Dairy Farm Residences)

SINGAPURA: Mereka belum lagi mendapat kunci, namun pemilik kondo Dairy Farm Residences sudahpun dikenakan kenaikan mengejut yuran penyenggaraan.

Pada 9 Oktober lalu, seorang penduduk berkongsi surat Permit Pendudukan Sementara (TOP) yang beliau terima daripada peguam pemaju bangunan itu - United Engineers - di dalam sebuah kumpulan sembang Telegram. Surat itu meminta bayaran yuran penyenggaraan selama enam bulan.

Ini adalah tambahan kepada bayaran sekali sahaja yuran pemeriksaan - kos mengupah juruukur untuk memeriksa keadaan dan nilai flat.

Para penduduk kemudian sedar bahawa yuran penyenggaraan di luar jangkaan, malah ia dua kali ganda jumlah yang mereka sangkakan.

Seorang penduduk berumur 30-an menunjuk risalah pemasaran kondominium itu kepada Mediacorp, yang menyatakan kos penyenggaraan buat unit tiga biliknya dijangkakan antara S$260 hingga S$280.

Bagaimanapun, penduduk itu - yang tidak mahu dinamakan - akhirnya membayar hampir S$4,300 untuk menampung kos penyenggaraan selama enam bulan, iaitu lebih S$700 sebulan.

Ini juga yang dialami lima penduduk lain yang ditemui Mediacorp.

Dairy Farm Residences dikatakan sebagai pembangunan bersepadu pertama di kawasan Dairy Farm. Kondominium ini terletak di persimpangan Petir Road dengan Dairy Farm Road, dan boleh diakses melalui Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Laluan Kedua MRT Downtown.

Peningkatan yuran penyenggaraan membawa kepada beberapa tindakan termasuk petisyen di Change.org, yang kini memperolehi hampir 600 tandatangan sejak ia dimulakan pada 10 Oktober.

Sekumpulan kira-kira 20 penduduk turut bersama bertanya kepada United Engineers apakah punca kenaikan itu dan jika bayaran boleh diturunkan.

Salah seorang daripada mereka, yang enggan namanya didedahkan, memberitahu Mediacorp pada awal November lalu bahawa 20 penduduk itu secara kolektif menghubungi pihak pengurusan kondo di platform berbeza, termasuk melalui panggilan telefon dan e-mel.

Penduduk itu menyatakan bahawa pemaju menjawab dalam masa seminggu dan para penduduk telah membincangkan kos yang lebih tinggi itu dengan United Engineers melalui ejen pengurusan mereka.

Mediacorp difahamkan bahawa pihak pemaju sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan telah menyerahkan satu set bayaran penyenggaraan yang disemak semula sementara menunggu semakan dan kelulusan mereka.

"TIADA PILIHAN LAIN" SELAIN MEMBAYAR

Kebanyakan penduduk yang bercakap dengan Mediacorp telah membayar jumlah yang diminta untuk mendapatkan kunci rumah mereka.

Seorang penduduk berusia dalam lingkungan 40-an berkata dia merasakan dia "tiada pilihan lain" kerana apa yang diterimanya adalah surat guaman yang sah dan dia akan dikenakan bayaran atas sebarang kelewatan pembayaran.

Kebanyakan penduduk yang bercakap dengan Mediacorp bukan sebahagian daripada 20 penduduk yang telah berhubung dengan pemaju. Penduduk ini menegaskan bahawa "tiada komunikasi" dengan seluruh pemilik rumah selain daripada 20 orang dalam kumpulan itu.

“Pemaju sedang bercakap dengan beberapa penduduk. Tetapi ia bukan mewakili keseluruhan penduduk,” kata penduduk berusia 30-an itu.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang komunikasi rasmi daripada pemaju berkenaan tentang keseluruhan isu penyenggaraan yang kini semakin diheboh-hebohkan,” tambahnya.

“Mereka harus menghubungi semua penduduk … Buat penerangan secara rasmi sama ada melalui e-mel, melalui Zoom (sesi), pemberitahuan beramai-ramai atau sekurang-kurangnya menulis surat kepada penduduk untuk memberitahu mereka apakah pendapat mereka mengenai perkara ini dan sama ada pihak pemaju sedang menelitinya. "

Menulis di forum online HardwareZone, Cik Soon berkata: “Sebagai pemilik rumah bagi projek ini, kebimbangan saya bukan tentang mengambil kira kos penyelenggaraan. Saya hanya mahu memahami mengapa ia adalah jumlah ini.”

Mediacorp juga telah menghubungi United Engineers mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh para penduduk.

YURAN DIBERIKAN SEBAGAI ANGGARAN

Bagaimanapun "adalah satu tanggungjawab untuk menekankan pihak pemaju sengaja memberikan anggaran yuran yang lebih rendah apabila unit-unit kondominium itu dipasarkan, jika ada bukti," kata Dr Edward Ti, Profesor Undang-undang Universiti Pengurusan Singapura.

Beliau menambah ada kemungkinan kos menyenggarakan bangunan sekarang mengatasi anggaran pihak pemaju.

Menurut pengarah kanan untuk analisis data Huttons Asia Lee Sze Teck, yuran penyenggaraan kondominium sentiasa diberikan sebagai anggaran semasa fasa pemasaran.

Beliau menambah ada kemungkinan kos penyenggaraan bangunan
"meningkat dengan mendadak" selepas pandemik COVID-19, dengan tenaga kerja, bahan, penghantaran dan kos faedah telah meningkat.

"Ini sudah pasti telah menaikkan kos keseluruhan menguruskan kondo."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita