Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemilik kenderaan guna diesel S'pura tidak risau peraturan tiga suku tangki

Para pemilik kenderaan berdaftar di Singapura yang menggunakan diesel tidak terlalu bimbang mengenai peraturan mengisi sekurang-kurangnya tiga suku tangki apabila meninggalkan Singapura melalui pusat-pusat pemeriksaan darat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik kenderaan guna diesel S'pura tidak risau peraturan tiga suku tangki

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Jan 2019 09:34PM Dikemas Kini : 04 Jan 2019 09:38PM

SINGAPURA: Para pemilik kenderaan berdaftar di Singapura yang menggunakan diesel tidak terlalu bimbang mengenai peraturan mengisi sekurang-kurangnya tiga suku tangki apabila meninggalkan Singapura melalui pusat-pusat pemeriksaan darat.

Syarat minimum itu yang sering dirujuk sebagai "peraturan tiga suku tangki" akan berkuat kuasa pada 1 April bagi kenderaan-kenderaan yang menggunakan diesel. Buat masa ini, ia hanya dikenakan ke atas kenderaan-kenderaan Singapura yang menggunakan petrol atau gas asli mampat.

"Ini sejajar dengan pengenalan cukai diesel berdasarkan penggunaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2017 untuk mengurangkan penggunaan diesel dan pencemaran udara," menurut kenyataan media Kastam Singapura pada Rabu (2 Jan).

Hani Lim, seorang ejen hartanah, yang menyeberangi Koswe ke Malaysia purata dua bulan sekali memberitahu Mediacorp bahawa perbezaan kos mengisi tangki diesel hingga penuh di Singapura berbanding Malaysia tidak terlalu besar.

Sehingga Disember 2018, kos satu liter diesel Euro5 di Malaysia adalah sekitar RM2.28 (S$0.75), iaitu kira-kira S$0.90 lebih rendah berbanding harga satu liter di Singapura.

Para pemandu lain yang juga menggunakan diesel untuk kenderaan mereka berkata tempoh perjalanan ulang alik dari Singapura ke Malaysia tidak mewajarkan penjimatan mereka apabila mengisi tangki di sana, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai kad korporat dan diskaun di stesen-stesen minyak di Singapura.

Syarikat-syarikat korporat juga tidak banyak terjejas akibat peraturan baru tersebut, menurut jurucakap Persatuan Pengangkutan Singapura yang para anggotanya terdiri daripada syarikat-syarikat logistik dan pengangkutan.

Kebanyakan syarikat itu memiliki kenderaan menggunakan diesel yang berdaftar di Malaysia dan melakukan perjalanan dari Malaysia ke Singapura dan bukan sebaliknya, kata jurucakap itu.

Para anggotanya juga biasanya memiliki bekalan tangki dan diesel sendiri, dan ini bermakna mereka tidak perlu mengisi tangki dengan minyak diesel di stesen-stese petrol di seberang tambak, tambahnya.

Para pemandu yang tidak mematuhi peraturan itu boleh didenda sehingga S$500 atau didakwa di mahkamah. Mereka juga dikehendaki membuat pusingan U di pusat-pusat pemeriksaan darat. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan