Skip to main content

Singapura

Pemilik kenderaan boleh pasang OBU ERP 2.0 di bengkel diluluskan LTA

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik kenderaan boleh pasang OBU ERP 2.0 di bengkel diluluskan LTA

(Gambar: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 29 Oct 2024 08:01PM Dikemas Kini : 29 Oct 2024 08:26PM
SINGAPURA: Para pemandu kini boleh menempah pemasangan alat dalam kenderaan baharu yang dinamakan 'on-board unit' (OBU) langsung dengan bengkel-bengkel yang diluluskan, dan bukannya melalui portal tempahan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Mereka juga tidak perlu menunggu pemberitahuan rasmi LTA sebelum membuat tempahan, menurut penguasa itu dalam satu kenyataan media pada Selasa (29 Okt).

Ia adalah sebahagian daripada proses tempahan LTA yang dikemas ini. Portal asal bagi tempahan ERP 2.0 telah "direka bentuk semula" sebagai halaman maklumat untuk pemandu mencari bengkel-bengkel yang sesuai untuk kenderaan mereka.

Pemilik kenderaan boleh memilih bengkel daripada senarai pendek yang sudah diluluskan dan dikenal pasti. Mereka juga boleh mencari nama bengkel atau lokasi pilihan, dengan menggunakan poskod atau nama lokasi.

Pemandu kemudian boleh menempah janji temu dengan menghubungi bengkel secara langsung melalui panggilan telefon atau melalui kiriman mesej WhatsApp.

Mereka juga boleh berurusan dengan bengkel tersebut secara langsung untuk sebarang perubahan pada janji temu.

Pemandu harus mengambil perhatian bahawa hanya kenderaan perlu dibawa ke bengkel untuk pemasangan OBU, dan tiada dokumen diperlukan.

Proses pemasangan OBU akan mengambil masa kira-kira dua hingga empat jam, dan pihak bengkel akan menasihati masa untuk mengambil kenderaan mereka yang sudah dipasang dengan OBU.

Menurut LTA, bengkel-bengkel yang diluluskan telah meningkatkan kapasiti pemasangan masing-masing dan sudah memperhalusi proses untuk menguruskan lebih banyak kenderaan.

Sejak November 2023, sekitar 150,000 kenderaan baharu dan sedia ada telah dipasang dengan OBU, iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah kenderaan di sini.

Di samping itu, sekitar 90,000 pemilik kenderaan sedia ada sudah "menghubungi secara proaktif" bengkel-bengkel untuk memasang OBU tanpa menunggu pemberitahuan rasmi.

“Ini serupa dengan amalan untuk servis dan pembaikan kenderaan, dan menawarkan kemudahan untuk menggabungkan pemasangan OBU dengan perkhidmatan lain, seperti servis kenderaan, untuk mengurangkan lagi masa menunggu pemandu,” kata LTA.

Pemasangan OBU ERP 2.0 bermula pada Ogos 2023 dengan sekumpulan pengguna awal.

Sistem baharu itu akan berasaskan satelit dan boleh mengesan jika kenderaan berada di kawasan sesak. Ini juga akan menghapuskan keperluan untuk gantri besar di jalan raya, dengan "gantrI maya" akan dipasang sebaik sahaja pemasangan OBU selesai untuk semua kenderaan yang didaftarkan di Singapura.

Mulai 1 Mei, semua kenderaan yang baru didaftarkan akan disertakan dengan unit tersebut, manakala semua pemilik kenderaan lain akan dimaklumkan secara hujung 2024.

Kereta dan kenderaan lain akan dipasang dengan reka bentuk tiga keping, yang terdiri daripada antena, unit pemprosesan dan pilihan paparan skrin sentuh.

Menurut LTA, ia akan terus mendapatkan maklum balas daripada para pemandu dan pemain industri tentang cara-cara untuk mempertingkatkan lagi proses dan ciri-ciri ERP 2.0.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita