Pemilik kedai, gerai penjaja di majlis bandaran PAP akan terima rebat 15% yuran S&CC
Lebih 26,000 kedai, gerai di pasar dan pusat penjaja di bawah majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menerima rebat 15 peratus bayaran khidmat dan penyenggaraan selama empat bulan.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Lebih 26,000 kedai, gerai di pasar dan pusat penjaja di bawah majlis bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menerima rebat 15 peratus bayaran khidmat dan penyenggaraan selama empat bulan.
Rebat itu adalah untuk Julai hingga Oktober tahun ini dan berjumlah hampir S$3 juta, menurut pengerusi penyelaras bagi majlis-majlis bandaran PAP Dr Teo Ho Pin dalam satu kenyataan pada Isnin (1 Jun).
Dr Teo yang merupakan Anggota Parlimen bagi Bukit Panjang berkata disebabkan oleh pandemik COVID-19, mata pencarian para pengendali dan pekerja, ramai daripada mereka adalah penduduk HDB terjejas teruk.
"Kami berharap ini dapat memberikan kelegaan kepada pengendali kedai dan penjaja supaya mereka dapat mengharungi cabaran-cabaran yang timbul akibat COVID-19 dan meneruskan perniagaan dan pekerjaan mereka bagi memanfaatkan penduduk di kawasan kejiranan kita," katanya.
Rebat itu secara automatik akan dimasukkan dalam akaun yuran perkhidmatan dan penyenggaraan pemilik gerai di majlis-majlis bandaran PAP.
Sehingga Mei tahun ini, terdapat 16,008 kedai dan 10,074 gerai di pasar dan pusat penjaja yang diuruskan oleh 15 majlis-majlis bandaran PAP.
Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) yang merupakan satu-satunya majlis bandaran tidak di bawah PAP, mengecualikan yuran bagi pembayaran lewat S & CC bagi kedua-dua unit komersil dan kediaman dari April hingga September tahun ini, menurutnya dalam balasan e-mel kepada Mediacorp.
AHTC juga mengenepikan bayaran sewa bagi penggunaan ruang paparan luar bagi kedai-kedai yang perlu ditutup semasa tempoh pemutus jangkitan tanpa perlu membuat permohonan.
Menurut majlis bandaran itu, hasil dapatan daripada yuran perkhidmatan dan penyenggaraan adalah "penting bagi operasi berterusan AHTC".
"AHTC meneruskan operasi pentingnya dalam penyenggaraan estet, dan lebih-lebih lagi semasa tempoh ini apabila kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di tempat-tempat awam dipertingkat disebabkan oleh keprihatinan COVID-19.
"Namun demikian, ketika Pemerintah mengumumkan baru-baru ini sekatan pemutus jangkitan terhadap perniagaan yang akan ditarik barik secara berperingkat, kami sedar bahawa para penyewa komersil mungkin terus terjejas," katanya
Menurut AHTC, ia sedang meneroka bagaimana untuk menyediakan bantuan selanjutnya kepada penyewa komersil.
Ia sedang berunding dengan para kaunselor berhubung hal itu dan akan memberi kemas kini kepada penyewa tentang butirannya.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.