Skip to main content

Singapura

Pemilik, industri kuda lumba akan kemuka rayuan terhadap penutupan Singapore Turf Club

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik, industri kuda lumba akan kemuka rayuan terhadap penutupan Singapore Turf Club

Perlumbaan di Singapore Turf Club pada 11 Jun 2023. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Sekumpulan pemilik kuda akan menyerahkan satu usulan kepada pemerintah supaya perlumbaan kuda dibenarkan diteruskan di Singapura.

Ini diputuskan menyusuli satu mesyuarat dihadiri para pemilik dan jurulatih kuda dari Persatuan Jurulatih Kuda Lumba (ART) pada lewat Rabu (14 Jun).

Sekitar 30 pemilik kuda lumba hadir, di samping kira-kira 20 jurulatih kuda, menurut mereka yang menghadiri mesyuarat itu kepada media.

Ini kali pertama rayuan terhadap keputusan pemerintah dibincangkan secara terbuka sejak pengumuman pada 5 Jun yang menyatakan Singapore Turf Club akan ditutup menjelang Oktober 2024 bagi memberi laluan kepada tapak itu dibangunkan semula.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat itu, Presiden ART Michael Clements berkata sebahagian besar pemilik kuda di pertemuan berkenaan "mahukan perlumbaan dapat terus diadakan".

Para pemilik sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lapan anggota yang akan mewakili para pemilik kuda di Singapura, ujar Encik Clements. Jumlah pemilik kuda adalah sekitar 500 orang.

"Jawatankuasa ini akan bekerja rapat dengan persatuan jurulatih untuk mengemukakan rayuan tentang apa yang boleh dilakukan dengan kelab, kepada pelbagai jabatan pemerintah," tambah beliau.
 
Presiden Persatuan Jurulatih Kuda Lumba bercakap kepada media pada 14 Jun 2023. (Gambar: Chew Hui Min/CNA)

Apabila ditanya bilakah usulan itu akan dibentangkan, Encik Clements berkata ia akan dilakukan "secepat mungkin" tetapi mereka juga mahu mendapatkan maklum balas para pemilik dan joki yang tidak menghadiri mesyuarat hari ini (14 Jun).

Encik Clements memberitahu para wartawan bahawa suasana "hiba" menyelubungi mesyuarat berkenaan dan ramai pemilik menyuarakan pandangan mereka mengenai perkembangan terbaru ini.

Beliau juga menegaskan rancangan menutup Turf Club sejauh ini tidak mengambil kira keprihatinan para pemain industri dan pekerja yang tidak digajikan secara langsung oleh Singapore Turf Club.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita