Skip to main content

Singapura

Pemilik harus kendalikan sendiri operasi gerai mereka: Dr Koh Poh Koon

Singapura terus menguatkuasakan peraturan untuk memastikan pemilik gerai penjaja mengendalikan kedai mereka sendiri bagi mencegah amalan penyewaan semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik harus kendalikan sendiri operasi gerai mereka: Dr Koh Poh Koon

Pekerja pejabat di Pusat Penjaja Lau Pa Sat semasa waktu makan tengah hari pada 6 Januari 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 10 Mar 2025 08:58PM Dikemas Kini : 10 Mar 2025 08:59PM
SINGAPURA: Singapura terus menguatkuasakan peraturan untuk memastikan pemilik gerai penjaja mengendalikan kedai mereka sendiri bagi mencegah amalan penyewaan semula.

Menteri Negara Kanan Tenaga Kerja merangkap Kemampanan dan Sekitaran Koh Poh Koon berkata pada Isnin (10 Mac) dasar itu membantu mengekalkan persaingan yang adil, serta menghalang amalan melakukan bidaan hanya untuk menyewakannya semula pada harga lebih tinggi selepas itu.

Dr Koh menyarankan kepada para penjaja yang mengembangkan perniagaan di luar pusat penjaja dan meluangkan lebih banyak waktu menguruskan operasi niaga daripada memasak di gerai mereka, supaya menimbangkan sama ada mereka ingin meneruskan dengan perniagaan sebagai seorang penjaja.

Fokus mereka pula seharusnya kekal pada peranan utama untuk memasak di gerai.

Dr Koh menambah, matlamat Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai yang ingin menceburi perniagaan penjaja, bukannya perniagaan berangkai kerana pusat penjaja bukan sekadar ruang komersial, tetapi ia juga ruang makan masyarakat dengan peranan sosial.

Dr Koh berkata demikian dalam jawapan kepada soalan di Parlimen mengenai keperluan pemilik gerai mengendalikan gerai mereka sendiri.

Ini berikutan aduan yang tular di media sosial pada Februari lalu selepas seorang lelaki mendakwa beliau 'terpaksa' menyuruh isterinya yang sarat hamil supaya bekerja di gerai mereka di Pusat Penjaja Yishun Park.

Penjaja tersebut, Encik Noorman Mubarak dan isterinya mengendalikan gerai Nasi Lemak Ayam Taliwang sejak 2017.

Dalam catatan Facebook pada 18 Februari lalu, Encik Noorman berkata NEA telah memberi amaran kepada isterinya kerana melanggar perjanjian penyewaan kerana tidak hadir di gerainya secara fizikal.

Menurut peraturan NEA, para pemilik gerai perlu mengendalikan gerai mereka sendiri bagi mengelakkan gerai itu daripada disewakan semula.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita