Pemilik flat BTO buat aduan polis, dakwa unit dipecah masuk semasa kerja ubah suai dijalankan
Apabila Encik Nevin Hernandez dan isterinya menjemput rakan-rakan mereka ke rumah baharu mereka untuk melihat kemajuan kerja-kerja ubah suai, mereka menyedari beberapa barangan peribadi mereka hilang.
(Kiri) Kunci basikal yang diusik di sebuah flat di estet ParkView @ Bidadari. (Kanan) Nota yang diletakkan oleh seorang penduduk Hougang Citrine, memberi amaran bahawa penceroboh akan dirujuk kepada pihak polis. (Gambar: CNA)
Pasangan itu baru sahaja berada di flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tersebut sehari sebelumnya dan meninggalkan sebuah pengecas mudah alih, beberapa kabel serta minuman di sana.
“Kami menghubungi pereka dalaman (ID) kami untuk bertanya sama ada terdapat sebarang kerja yang dijalankan pada pagi Ahad, atau pada Sabtu malam selepas kami pulang. Tetapi setakat pengetahuan beliau, tiada kontraktor yang masuk ke rumah,” kata Encik Hernandez kepada Mediacorp.
“Sehingga kini, kami tidak pasti siapa yang masuk ke rumah – dan sebenarnya, apa yang diambil dari rumah kami.”
Sejak itu, mereka berhenti meninggalkan barangan berharga di unit tersebut dan menggantikan kunci basikal yang digunakan di pintu depan rumah mereka dengan kunci digital.
Pereka dalaman mereka kemudian menghubungi kontraktor lain, yang menyatakan bahawa pemilik rumah lain di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang sama – ParkView @ Bidadari – turut melaporkan barangan yang hilang atau dicuri.
Di satu lagi estet berdekatan di Hougang, para penduduk dari enam blok HDB juga melaporkan bahawa kunci mereka diusik. Barangan seperti jubin, baldi dan peranti digital turut dilaporkan hilang.
Pasukan Polis Singapura mengesahkan kepada Mediacorp bahawa dua laporan sudah dibuat oleh pemilik rumah ParkView @ Bidadari, manakala satu laporan dibuat oleh seorang penduduk di estet Hougang Citrine.
Ahli Parlimen kawasan-kawasan berkenaan menasihatkan penduduk agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi harta benda mereka.
BIDADARI
Mediacorp sudah beberapa kali melawat estet Bidadari pada Julai dan bercakap dengan pemilik rumah di Blok 233B dan 233C, yang kebanyakannya sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian. Blok-blok tersebut terletak jauh dari jalan utama.
Sumber memberitahu Mediacorp bahawa sekurang-kurangnya lima unit di estet itu dipercayai mengalami kejadian di mana kunci yang digunakan diusik dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Kunci basikal biasanya digunakan untuk mengunci flat semasa kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan kerana ia lebih murah dan memudahkan akses untuk kontraktor. Rantai logam juga turut digunakan.
Hampir semua unit yang sedang diubah suai menggunakan kunci basikal untuk mengunci pintu pagar mereka secara sementara, manakala beberapa pemilik rumah memasang kamera litar tertutup (CCTV) sementara di luar rumah untuk memantau siapa yang keluar masuk.
Seorang pemilik rumah, yang enggan dikenal pasti, berkata beliau sudah membuat laporan polis selepas mendapati meja dapur rumahnya dirosakkan.
Kontraktor yang mengubah suai rumah beliau menafikan menyebabkan kerosakan itu. Kepala pancuran di bilik airnya juga hilang.
Kata beliau, kunci basikal di pintu depan rumahnya diusik.
Seorang lagi pemilik rumah, yang juga tidak mahu dikenal pasti, menunjukkan kepada Meciacorp gambar-gambar di mana kuncinya kelihatan seperti ia dipotong. Beliau turut membuat laporan polis.
Beliau berkata dua minggu selepas kerja pengubahsuaian bermula pada Jun, pereka dalamannya menasihatkan supaya tidak meninggalkan barang berharga di unit tersebut. Seorang pekerja memberitahu mereka bahawa seseorang dipercayai mengusik kunci-kunci rumah.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Anggota Parlimen Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Potong Pasir, Encik Alex Yeo berkata beliau “sedar akan laporan berasingan berhubung perbuatan nakal”.
“Kami menggesa penduduk supaya berwaspada dan peka semasa tempoh peralihan ini serta memaklumkan pihak berkuasa jika ada sebarang perkara yang mencurigakan,” tambah beliau.
Encik Yeo turut berkata majlis bandaran sedang membantu para penduduk baharu dalam pelbagai aspek termasuk kemudahan, kebersihan dan keselamatan.
HOUGANG
Sementara itu, Cik Diana Pang, yang mewakili Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights di mana terletaknya estet Hougang Citrine, berkata bahawa seorang penduduk sudah menulis kepada beliau untuk menyuarakan kebimbangan mengenai barangan yang hilang di flat-flat BTO yang sedang diubah suai.
Ini mendorong Anggota Parlimen itu untuk memuat naik nasihat di Facebook pada Jun, mengingatkan para penduduknya agar sentiasa berwaspada.
Semasa lawatan rumahnya baru-baru ini, beliau menasihatkan para penduduk yang menggunakan kunci basikal untuk mengunci unit mereka supaya mempertimbangkan pilihan yang lebih selamat.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Goh memberitahu Mediacorp bahawa kunci basikal di pintu pagar rumahnya dipotong pada 11 Jun ketika beliau berada di luar negara.
Selepas ia diganti keesokan harinya, ia dipotong sekali lagi. Pada waktu itu, kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di flat BTO tersebut.
Perkara itu dimaklumkan kepada Cik Goh oleh kakitangan pejabat HDB yang berada di lapangan, yang turut menggesa beliau untuk membuat aduan polis. Kakitangan itu juga berkata bahawa mereka akan membantu beliau untuk memasang kunci rantai baharu buat sementara waktu.
Satu notis polis kepada penduduk di estet itu menyatakan bahawa kamera polis akan dipasang di kawasan kejiranan itu dari pertengahan Jun hingga pertengahan Oktober. Mediacorp melihat dua kamera dipasang di setiap lif blok-blok tersebut, namun tiada kamera polis yang dipasangkan di kawasan lobi umum.
Pemilik rumah baru lain turut memasang CCTV di unit masing-masing selepas dimaklumkan mengenai kes-kes kecurian dan kunci yang diusik.
“Ini agak membimbangkan, dan sebab itulah ramai antara kami memasang kunci pintu automatik,” kata Encik Cheng Soo Fong.
Pasangannya Cik Ashley Lee berkata mereka meletakkan sebuah kamera di dalam rumah yang menghala ke arah pintu depan, yang dikunci menggunakan kunci basikal.
“Kami dapati ada orang yang cuba menolak pintu utama kami, kemudian sebelah pintu terbuka sedikit … Mereka mungkin nampak kamera CCTV di situ, jadi mereka berhenti. Saya tak pasti apa yang mereka cuba lakukan.”
CARA MENAMBAH BAIK KESELAMATAN FLAT
Pereka dalaman Encik Andre Pang berkata meskipun tiada kaedah keselamatan yang boleh memberi jaminan sepenuhnya, pemilik rumah masih boleh mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan keselamatan flat mereka, seperti menukar kod pin selepas setiap fasa penting pengubahsuaian selesai.
Encik Pang berkata barangan yang lazim ditemukan dalam flat yang sedang diubah suai, seperti kelengkapan bilik air, berkemungkinan dijual semula di pasaran online seperti Carousell.
Beliau turut menekankan bahawa estet baharu lebih terdedah kepada kes pecah masuk.
“Anda ada satu blok, satu pembangunan yang penuh dengan unit yang sedang diubah suai dan ia mudah diakses. Penduduk di sini tidak saling mengenali, jadi mereka tidak dapat saling memerhati atau mengesan individu yang mencurigakan,” kata pengasas bersama H Design itu.
Beliau membandingkannya dengan estet matang di mana kerja-kerja pengubahsuaian lebih jarang dijalankan, meskipun kes sedemikian pernah berlaku sebelum ini.
Pada 2016, seorang lelaki ditangkap kerana disyaki melakukan beberapa kes pecah rumah selepas dilaporkan menyasarkan flat HDB yang sedang diubah suai. Menurut pihak polis, alat gerudi tukul milik seorang pekerja hilang dari sebuah flat di Choa Chu Kang Avenue 7, manakala peralatan serupa juga hilang dari flat-flat lain.
“Bagi flat jual semula … anda mungkin tidak tahu bahawa flat itu sedang diubah suai, dan ini mengurangkan kemungkinan cubaan pecah masuk,” jelas Encik Pang.
Beliau berkata pemilik rumah juga boleh memastikan pereka dalaman dan kontraktor melawat flat secara berkala bagi tujuan pemeriksaan.
“Penyelia perdagangan, contohnya, boleh memupuk budaya kesedaran di mana mereka memantau perkara-perkara tertentu dalam rumah, dan tidak meninggalkan rumah tanpa pengawasan semasa rehat,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.