Pemilik D'Authentic Nasi Lemak, ButterNut antara yang diiktiraf dalam Anugerah Penjaja SG 2023
SINGAPURA: Menggiling sendiri cili untuk sambal dan gunakan perahan kelapa segar untuk sediakan nasi lemak.
Inilah antara cara lama yang masih lagi diamalkan gerai D'Authentic Nasi Lemak hingga ke hari ini untuk mengekalkan 'keaslian' resipi nasi lemak turun-temurun mereka.
Pemiliknya, Encik Sulaiman Abu belajar cara menyediakan nasi lemak itu daripada ibu dan nenek beliau dan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan rasa nasi lemak itu.
Hasil dedikasinya mengekalkan warisan itu, Encik Sulaiman berjaya terpilih sebagai antara penerima Anugerah Warisan Penjaja tahun ini.
Ia juga bagi mengiktiraf sumbangannya yang luar biasa dalam warisan kulinari Singapura.
"Kita mahukan nasi lemak yang lebih asli, lebih (kepada) cara lama dan saya menguruskan nasi lemak saya di mana kita adakan sambal sehingga sekarang disediakan menggunakan batu giling yang masih kita keklakan. Dan untuk nasi kita pula, kita gunakan santan perah," kongsi Encik Sulaiman, 61 tahun kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Anugerah itu merupakan salah satu daripada tiga kategori yang diberikan dalam Anugerah Penjaja Singapura 2023 anjuran Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS) dengan sokongan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
"Saya berasa bangga kerana apa ramai orang yang mengiktiraf keaslian kita dari segi nasi lemak yang kita jual," luah Encik Sulaiman.
Gerainya D'Authentic Nasi Lemak kini sudah beroperasi 30 tahun di Pasar dan Pusat Makanan Marine Parade Central.
"Nasi lemak ialah makanan antarabangsa. Semua orang cari nasi lemak jadi saya rasa kalau saya dapat mengekalkan cara kita memasak, kita dapat mengenalkannya pada semua orang di Singapura ini dan saya rasa ia lebih baik," tambahnya.
Malah, Encik Sulaiman komited untuk mengekalkan warisan itu dengan menurunkannya kepada anak-anaknya.
"Saya ingin nasi lemak saya ini dapat diperkenalkan kepada semua orang di Singapura dan di seberang tambak. Itu yang saya inginkan supaya generasi seterusnya dapat mengenal apa itu nasi lemak dan apa rasa nasi lemak," ujar Encik Sulaiman yang mempunyai empat orang anak.
Buat masa ini, anak lelaki dan menantunya sering membantu beliau di gerai tersebut.
PENERIMA ANUGERAH PENJAJA BERDAYA USAHA PERTINGKAT KELENGKAPAN DAPUR BAGI TINGKATKAN DAYA PENGHASILAN
Selain mengekalkan cara masakan asli, Anugerah Penjaja Singapura juga mengiktiraf golongan penjaja yang cuba mempertingkatkan daya penghasilan mereka menerusi inovasi dan teknologi baharu.
Menerusi kategori Anugerah Penjaja Berdaya Usaha, ia mengiktiraf para penjaja yang mencabar garis sempadan untuk masakan tradisional dengan memperkenalkan model perniagaan yang inovatif.
Antara penerima bagi Anugerah Penjaja Berdaya Usaha itu ialah Pemilik Bersama gerai ButterNut, Cik Vivian Liem.
Gerai Halal Fusion Barat yang terletak di Pusat Makanan Taman Jurong itu dibuka oleh Cik Liem dan suaminya Encik Daren Lionel Oliveiro pada 2017 dan terkenal dengan piza jenis doh tipis.
"Anugerah ini datang selepas lima hingga enam tahun jadi ia sebenarnya amat bermakna untuk kami menerima anugerah ini. Ia satu anugerah yang mendorong kami untuk maju ke hadapan," kongsi Cik Liem kepada BERITA Mediacorp.
Istimewanya, beliau dan suami menggabungkan teknologi moden dengan cara-cara masakan tradisional, termasuk mesin membentuk piza dan ketuhar berkelajuan tinggi yang mempercepatkan proses sehingga 4 kali ganda.
"Saya ingat lagi masa kita baru-baru bermula, seluruh ketuhar itu hanya boleh mengisi enam piza. Setiap piza mengambil enam hingga tujuh minit untuk dibakar sepenuhnya. Kini, untuk ketuhar ini, meskipun satu piza sahaja (boleh diisi) pada satu-satu masa tetapi ia ambil kurang satu minit 20 saat (untuk dibakar sepenuhnya)," kongsi Encik Oliveiro.
"Kita penjaja era baru jadi kita perlu lihat apa yang kita ada dan tidak ada serta keadaannya. Kini kita mempunyai penduduk menua dan persekitaran pusat penjaja juga tidak begitu selesa. Jadi sukar juga untuk dapatkan anak-anak muda datang ke sini. Jadi menggabungkan cara tradisional dan moden sangat penting kerana cara moden misalnya, memastikan kecekapan," tambahnya.
GUNAKAN INOVASI UNTUK PERCEPATKAN PROSES
Inovasi seperti itu juga disambut baik para pekerja mereka.
"Untuk Kak Siti, antara kakitangan tertua kita yang sudah bersama dengan kita buat lima tahun, kita dapat lihat sepanjang perjalanan apabila kita memperbaiki diri, ia membuat (kerjanya) lebih senang kerana menyediakan piza lebih cepat," ujar Encik Oliveiro.
"Kadang kala saya tanya beliau 'Ini bagaimanana?' dan beliau menjawab ''bagus, bagus, senang senang' jadi ia membantu untuk membuat hidup lebih senang untuk kita semua," tambahnya.
Malah, gerai itu juga menggunakan mesin layanan pesan mandiri atau 'Self-Ordering Kiosk' yang amat membantu lebih-lebih lagi pada waktu-waktu sibuk.
"Pesanan lebih cepat dan kita boleh menumpukan perhatian kepada makanan. Untuk tenaga manusia, selalunya kita memerlukan tiga hingga empat kakitangan tetapi dengan mesin layanan pesan mandiri, ia membantu untuk mengurangkan perlunya bagi lagi pekerja," menurut Encik Oliveiro.
"Jika diberi peluang, kami ingin meneroka alat-alat memasak lain yang boleh mengautomasikan masakan spageti juga. Jadi kita boleh menghasilkan makanan lebih cepat dengan lebih baik untuk masyarakat," kongsi Cik Liem pula.
Untuk Encik Oliveiro dan isteri, anugerah itu amat bermakna bagi mereka kerana usaha mereka untuk menghidupkan lagi budaya penjaja dengan menggabungkan teknik-teknik baharu dan moden itu mendapat perhatian dan diiktiraf.
Tahun ini juga, Anugerah Penjaja Singapura memperkenalkan satu lagi kategori baharu iaitu Anugerah Mentor Penjaja bagi mengiktiraf sumbangan mereka yang memanfaatkan waktu dan kepakaran mereka untuk menyokong dan membimbing penjaja baharu.
Para pemenang kategori baharu itu ialah Tham For Moy (Hon Ni Kitchen), Kang Kaiming (Ming Yun Famous Fried Hokkien Prawn Noodle) dan Sze Si Wei (Snow Mount).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.