Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah tubuhkan entiti korporat baru bagi urus dormitori pekerja hijrahan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah akan menubuhkan sebuah entiti korporat baru untuk menguruskan dormitori-dormitori pekerja hijrahan yang dibina khas, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Sabtu (1 Okt). 

Sebelum ini, ia diumumkan bahawa kementerian itu akan membina dan menjadi pemilik bagi dormitori-dormitori tersebut sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keadaan kehidupan pekerja hijrahan selain menghulurkan sokongan kepada mereka.

Entiti korporat baru itu, dipanggil NEST Singapore Limited, akan menguruskan dormitori-dormitori yang dibina khas, bermula dengan dua dormitori pertama yang akan dibangunkan di Tukang Innovation Lane di Jurong dan Sengkang West. 

Sebuah upacara pecah tanah diadakan pada Sabtu bagi dormitori Tukang, yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2025 dengan menampung sebanyak 2,400 katil. 

Dormitori Sengkang West pula disasarkan siap menjelang 2028 dan menyediakan 7,200 katil. 

NEST Singapore Limited akan ditubuhkan pada suku keempat 2022 sebagai sebuah Syarikat Berhad dengan Jaminan di bawah MOM, dengan lembaganya yang tersendiri. 

Dengan kerjasama sektor privet, NEST akan menampilkan barisan pakar serta pandangan dari dalam dan luar industri dormitori, termasuk daripada para pengendali "bukan tradisional" seperti dalam bidang hospitaliti dan teknologi, kata seorang jurucakap kementerian itu di acara tersebut. 

Pelibatan langsung NETS dalam mengendalikan dormitori-dormitori baru yang dibina khas itu akan menyokong "usaha memacu inovasi dan menetapkan piawaian" dalam perumahan pekerja hijrahan, selain membolehkan MOM untuk mengembangkan keupayaannya menguruskan dormitori, tambah kementerian tersebut dalam kenyataan medianya. 

Ia juga akan membantu kementerian itu melakarkan dasar, peraturan dan inisiatif yang lebih baik bagi perumahan pekerja hijrahan, menurut MOM. 

Menyentuh tentang keprihatinan berhubung potensi tercetusnya konflik kepentingan, jurucakap MOM berkata peraturan sedia ada yang dikenakan ke atas semua dormitori dibina khas juga akan dikenakan kepada dormitori berkenaan yang dikendalikan oleh NEST. 

"NEST juga belum dan tidak akan menerima sebarang maklumat istimewa mengenai peraturan dan piawaian dormitori-dormitori dibina khas (PBD) yang seolah-olah akan memberikan mereka kelebihan dalam mengendalikan PBD. Sepanjang tempoh operasi PBD, NEST juga dikehendaki mengendalikannya secara mampan dari segi kewangan," tambah jurucakap berkenaan. 

KEADAAN KEHIDUPAN LEBIH BAIK DI DALAM DAN LUAR DORMITORI

Pada September 2021, MOM mengumumkan semua dormitori pekerja hijrahan yang baru perlu menepati piawaian yang dipertingkat. 

Usaha-usaha untuk menambah baik keadaan kehidupan, mengurangkan jumlah penghuni di dormitori dan meningkatkan daya tahan terhadap pandemik pada masa akan datang dilakukan setelah COVID-19 menjangkiti puluhan ribu pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori. 

"Visi kami adalah agar PBD ini menjadi persekitaran hidup yang kondusif bagi kesihatan dan kesejahteraan para pekerja hijrahan kita," kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Sabtu.

Dormitori-dormitori dikehendaki mempunyai bilik yang lebih luas dengan had pada jumlah penghuni dan tandas yang tersedia di dalam bilik, pengalihan udara yang  lebih baik serta kemudahan bersama yang "berkonsep modular dan dibahagikan kepada segmen", jelas MOM dalam kenyataan medianya. 

Di dormitori dibina khas di Tukang, pekerja hijrahan boleh menantikan ruang-ruang hijau dan pelbagai ruang rekreasi terbuka seperti gelanggang serbaguna untuk bersukan. 

Ruang-ruang terbuka ini akan "diubah semula untuk menjadi kemudahan perubatan sewaktu penularan penyakit pada masa akan datang", terang MOM.

Penggemar sukan kriket akan mempunyai dua lorong latihan di mana mereka boleh mengasah kemahiran mereka.

Bagi ruang rekreasi tertutup pula, pekerja hijrahan di dormitori Tukang akan mempunyai akses kepada kawasan kolong blok terbuka, di mana mereka boleh mengadakan aktiviti dan acara, bilik-bilik serbaguna dan gim tertutup. 

Gim itu adalah lebih besar daripada yang ditetapkan di bawah piawaian dormitori yang dipertingkat, memandangkan ia adalah "kemudahan yang popular" dalam kalangan penghuni, menurut MOM. 

Di pekarangan dormitori pula, kemudahan komersil seperti kedai runcit, kantin, kedai gunting rambut, ATM dan kawasan beristirahat terbuka juga akan disediakan bagi memenuhi keperluan harian penghuni. 

Kemudahan-kemudahan ini juga boleh diakses oleh para pekerja hijrahan di tinggal di kawasan berdekatan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan