Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah timbang 'cara terbaik' bagi Seksyen 377A; hormat pandangan berbeza, kata Shanmugam

Pemerintah sedang menimbangkan "cara terbaik" bagi Seksyen 377A, yang menjadikannya satu jenayah di sisi undang-undang untuk mengadakan hubungan seks sesama lelaki

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah timbang 'cara terbaik' bagi Seksyen 377A; hormat pandangan berbeza, kata Shanmugam

Acara Pink Dot pada 2019. (Gambar: Cindy Co)

SINGAPURA: Pemerintah sedang menimbangkan "cara terbaik" bagi Seksyen 377A, yang menjadikannya satu jenayah di sisi undang-undang untuk mengadakan hubungan seks sesama lelaki.

Dengan berbuat demikian, Pemerintah menghormati pandangan-pandangan berbeza dan menimbangkannya dengan teliti, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Khamis (3 Mac).

“Jika dan apabila kita memutuskan untuk mengorak langkah, kami akan melakukannya dengan cara yang terus mengimbangi pandangan-pandangan berbeza ini dan elak daripada menyebabkan perubahan mendadak pada norma-norma sosial serta jangkaan masyarakat," katanya di Parlimen.

“Dasar-dasar perlu berubah sejajar dengan perubahan pada pandangan seumpama itu. Undang-undang perlu berubah untuk menyokong dasar-dasar yang dikemas kini."

Encik Shanmugam berkata demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu untuk menolak cabaran terhadap Seksyen 377A Kanun Jenayah.

Pejabat Peguam Negara (AGC) kini sedang meneliti dengan rapi keputusan Mahkamah Rayuan, kata Encik Shanmugam.

Menurut Seksyen 377A Kanun Jenayah, mana-mana lelaki yang melakukan sebarang tindakan tidak senonoh bersama lelaki lain secara terbuka dan terang-terangan mahupun secara privet boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Ini dilanjutkan kepada mana-mana lelaki yang bersubahat dengan perbuatan seumpama itu atau yang mendapatkan mahupun cuba mendapatkan perbuatan sedemikian.

Cabaran itu dikemukakan oleh pengacara lagu (DJ) Johnson Ong, pengamal perubatan swasta yang sudah bersara, Roy Tan Seng Kee dan Bryan Choong Chee iaitu bekas pengarah eksekutif Oogachaga - sebuah pertubuhan LGBT.

Hakim Mahkamah Tinggi See Kee Oon menolak cabaran mereka pada Mac 2020 dan ketiga-tiga lelaki itu tampil ke Mahkamah Agung untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

KEPUTUSAN MAHKAMAH "KONSISTEN" DENGAN PENDIRIAN LALU BERHUBUNG 377A

Encik Shanmugam menarik perhatian penghakimah mahkamah sejak sekian lama "secara konsisten" mengambil pendirian bahawa "ini adalah isu sosial yang boleh menimbulkan pertikaian hebat dan dalam bidang kuasa Parlimen".

Dalam penghakimannya, mahkamah menarik perhatian bahawa "kompromi" yang dicapai Singapura berhubung Seksyen 377A adalah unik, kata Encik Shanmugam.

“Pendekatan kita mencapai keseimbangan dalam memelihara status quo sambil menampung keprihatinan mereka yang terjejas secara langsung oleh undang-undang."

Mahkamah sedia maklum bahawa Pemerintah melakukan demikian demi "mengelakkan keretakan dalam masyarakat kita", tambah beliau.

“Ia juga menarik perhatian bahawa pendekatan Singapura bertujuan untuk mengekalkan apa yang perlu dilakukan ke atas Seksyen 377A dalam ruang demokratik. Isu sosial, seperti Seksyen 377A, memerlukan perbincangan berterusan dan huraian terbuka dalam persekitaran politik di mana kita boleh mencapai kata sepakat, dan bukan sekadar menang atau kalah di mahkamah."

Dengan cara ini, kata Encik Shanmugam, "kita dapat menampung kepentingan yang pelbagai, mengelakkan sebarang kerenggangan di samping membolehkan perubahan itu berlaku secara bertahap-tahap", kata Encik Shanmugam.

Selain itu, mahkamah menggariskan kepentingan "membuka ruang bagi kewujudan bersama dalam kalangan kumpulan berbeza", terutamanya memandangkan keseimbangan antara kepentingan berbeza berhubung Seksyen 377A menjadi "bertambah rapuh".

“Pandangan ini seiring dengan pendekatan yang diambil Pemerintah untuk menangani Seksyen 377A dan yang ia berhasrat untuk ambil sedang ia menimbangkan perubahan dalam landskap sosial kita sejak 2007."

Pada 2007, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata di Parlimen, apabila Kanun Jenayah dipinda tetapi Seksyen 377A kekal tidak berubah, bahawa Singapura mahu menjadi "sebuah masyarakat stabil dengan nilai-nilai keluarga heteroseksual tradisional tetapi dengan ruang bagi golongan homoseksual menjalani kehidupan mereka dan menyumbang kepada masyarakat," kata Encik Shanmugam.

“Ini kekal sebagai pendirian kita sehingga ke hari ini," tambah beliau.

"Penekanan kami terhadap perkembangan secara beransur-ansur dan keluarga tradisional kekal sama."

PERUBAHAN SIKAP TERHADAP HOMOSEKSUALITI

Bagaimanapun, Encik Shanmugam memperakui sejak isu itu kali terakhir dibincangkan di Parlimen pada 2007, sikap sosial terhadap homoseksualiti "berubah sedikit demi sedikit".

“Antara perkara yang mengecewakan masyarakat LGBT+ adalah ramai merasakan pengalaman mereka disakiti atau ditolak oleh keluarga, rakan-rakan, sekolah, syarikat - tidak diperakui, bahkan sering kali dinafikan.

Pada masa yang sama, sebahagian besar mahu "memelihara norma-norma masyarakat kita", kata Encik Shanmugam.

“Khususnya, berpegang kepada pandangan tradisional yang menyifatkan perkahwinan sebagai hubungan yang menyatukan seorang lelaki dengan seorang wanita dan bahawa anak-anak seharusnya dibesarkan dalam sebuah struktur keluarga sedemikian.

"Keprihatinan mereka bukan tentang Seksyen 377A, tetapi isu-isu perkahwinan dan keluarga yang lebih meluas. Ramai dalam kalangan mereka daripada kumpulan ini juga menyokong untuk menjadikan hubungan seks homoseksual antara lelaki sebagai satu jenayah di sisi undang-undang"

Kedua-dua pandangan ini adalah "wajar dan penting", tambah Encik Shanmugam.

Menarik perhatian bahawa ini adalah "isu-isu yang boleeh memecahbelahkan", Encik Shanmugam berkata ini sebabnya mengapa Pemerintah mengambil satu pendekatan yang membiarkan golongan ini meneruskan kehidupan mengikut kecenderungan mereka.

“Kami berusaha untuk menjadi sebuah masyarakat yang inklusif, di mana sikap saling menghormati dan bertolak ansur terhadap pandangan serta amalan yang berbeza adalah penting. Lantaran itu, Pemerintah mengambil pendekatan sedang Seksyen 377A kekal dikuatkuasakan, tiada penguatkuasaan proaktif akan diambil. Dan AGC mengambil pendekatan yang serupa.”

Encik Shanmugam menambah bahawa Pemerintah sudah "secara nyata menyertakan" dalam MRHA (Akta Mengekalkan Keharmonian Agama) bahawa sebarang serangan terhadap kumpulan LGBT+, atau terhadap individu kerana mereka LGBT+, akan menjadi satu kesalahan dan tidak akan diterima.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan