Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah tidak tolak keprihatinan dibangkitkan di Parlimen, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah tidak tolak keprihatinan dibangkitkan di Parlimen, kata Ong Ye Kung

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 20 Apr 2023 11:03PM Dikemas Kini : 20 Apr 2023 11:05PM
SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (20 Apr) menyangkal komen yang dibuat Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP), dengan berkata Pemerintah tidak menolak keprihatinan yang dibangkitkan di Parlimen.

"Ramai AP, termasuk AP WP, mengemukakan banyak idea dalam Dewan ini... Kami mengalu-alukannya, dan sekiranya wajar, kami mengambil idea itu sambil menggubal atau menyemak dasar kami. Dan di mana kami berbeza pendapat, kami akan jelaskan sebabnya," kata Encik Ong.

Beliau berucap pada hari keempat perbahasan Parlimen bagi ucapan Presiden Halimah Yacob, yang menetapkan agenda bagi baki penggal Pemerintah. Dalam ucapannya, Encik Ong juga menggariskan bagaimana Singapura sedang bergelut dengan bilangan penduduk yang kian menua.

Pada Selasa, AP Leon Perera (WP-Aljunied) berkata Singapura tidak melakukan sebaik negara lain dalam "memupuk semangat penglibatan dalam sistem demokrasi negara kami, semangat di mana kami boleh lantang bersuara dan jika perlu membantah naratif lebih menonjol, dengan pandangan kami benar-benar ada peluang untuk membawa perubahan".

Beliau juga berkata: "Dalam perbincangan politik dan juga perbahasan dalam Dewan ini, kita harus cuba memberi layanan adil kepada pandangan parti lain dan menerimanya apabila wujud perbezaan falsafah atau ideologi... berbanding terlalu cepat melabelkan pihak lain sebagai tidak telus."

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) PSP Leong Mun Wai sebelum itu berkata Pemerintah "cuba menggambarkan PSP sebagai parti politik dengan unsur xenofobia, nativis dan perkauman" dalam perbahasan-perbahasan Parlimen sebelum ini.

SANGKAL LEONG MUN WAI

Memberi respons pada Isnin, Encik Ong berkata Encik Leong mendakwa keprihatinan dan soalan yang dibangkitkan PSP seringkali ditolak oleh Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Encik Ong berkata Pemerintah sentiasa mendengar keprihatinan yang dibangkitkan pelbagai AP. Ini termasuk kebimbangan rakyat Singapura mengenai pekerjaan dan persaingan, serta daya mampu milik dan akses kepada perumahan awam.

"Tetapi saya berharap Encik Leong juga akur keprihatinan serius tentang cara beliau membangkitkan dan membahaskan isu," kata Encik Ong.

SANGKAL LEON PERERA

Menyentuh komen Encik Perera pula, Encik Ong berkata AP itu menegaskan Pemerintah cuba mengajukan satu "naratif yang paling menonjol" tanpa mengambil kira alternatif yang dikemukakan WP.

"Saya rasa ia tidak benar. Jika tidak, kami tidak akan mengadakan perbahasan yang begitu meluas bagi pelbagai isu dalam Dewan ini," kata Encik Ong.

"Tambahan lagi, setiap parti politik mempunyai naratif utama masing-masing berdasarkan manifesto, berdasarkan nilainya. PAP memilikinya. WP memilikinya. Ia sebahagian daripada persaingan politik."

Encik Ong berkata banyak idea yang diketengahkan di Parlimen, termasuk yang dibangkitkan WP, secara asas bukannya bertentangan dengan dasar sedia ada tetapi mengukuhkan lagi dasar itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan