Skip to main content

Singapura

Pemerintah tidak tolak kemungkinan pemaju privet ada peranan dalam VERS, kata Lawrence Wong

Pemerintah tidak menolak kemungkinan memberikan para pemaju hartanah privet peranan dalam Skim Pembangunan Awal Secara Sukarela (VERS), kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di Parlimen hari ini (10 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Sep 2018 03:23PM Dikemas Kini : 10 Sep 2018 10:15PM

SINGAPURA: Pemerintah tidak menolak kemungkinan memberikan para pemaju hartanah privet peranan dalam Skim Pembangunan Awal Secara Sukarela (VERS), kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong di Parlimen hari ini (10 Sep).

Semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Cheryl Chan, Encik Wong berkata Pemerintah sudahpun "melibatkan sebilangan bangunan privet" dalam proses pembangunan semula bagi Skim Pembangunan Semula Berkelompok Terpilih (SERS).

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa matlamat Pemerintah adalah untuk membangunkan semula estet-estet perumahan awam. "Kami akan terus memastikan agar kerja-kerja pembangunan semula dapat dilakukan dengan cara yang memulihara dan mengekalkan ciri-ciri bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta menyokong misi HDB dalam usahanya untuk menyediakan flat-flat yang bermutu dan dimampui bagi rakyat Singapura," kata Encik Wong.

Cik Chan sebelum ini menyarankan dalam satu laporan media bahawa HDB boleh menimbangkan beberapa daerah untuk menjalani VERS, dibangunkan semula oleh para pemaju hartanah privet. Beliau menarik perhatian bahawa dengan melakukan demikian, ia boleh menjadikan VERS satu pilihan menarik bagi para pemilik rumah, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Beberapa AP juga membangkitkan soalan-soalan tambahan berhubung VERS, yang akan membolehkan para pemilik flat HDB memilih untuk Pemerintah membeli semula apartmen-apartmen mereka bagi kerja-kerja pembangunan semula apabila tempoh sewa mencecah tempoh 70 tahun.

Ini termasuk pertanyaan mengenai garis panduan tentang daerah-daerah mana yang dipilih untuk menjalani VERS, jumlah peratusan undi yang diperlukan untuk skim tersebut serta tempoh notis yang diberikan HDB kepada para penduduk jika daerah perumahan mereka dipilih untuk menjalani VERS.

Encik Wong berkata meskipun beliau memahami keprihatinan para AP dan penduduk, adalah terlalu awal untuk membincangkan butiran tersebut buat masa ini kerana Pemerintah sedang "mengkaji dengan menyeluruh" bagaimana untuk melaksanakan skim itu. Isu-isu sedemikian, menurut beliau, akan diterapkan dalam kajian Pemerintah.

"Ini adalah isu-isu yang akan dikaji dan kami akan menimbangkan garis waktu serta memastikan jika dan apabila kami sudah bersedia untuk melaksanakan VERS, kami akan memperuntukkan cukup masa bagi memaklumkan para penduduk yang terjejas," kata beliau.

Encik Wong juga menambah bahawa program SERS tidak akan disekat atau ditangguhkan semata-semata kerana pengumuman VERS.

"Kami sudahpun memilih banyak tapak yang berpotensi tinggi dibangunkan semula," kata beliau. "Saya rasa terdapat beberapa lagi tapak dan kami akan terus melaksanakan SERS dalam beberapa tahun akan datang."

Memberi respons kepada soalan AP Denise Phua mengenai kemungkinan terdapat rasa kurang senang dalam kalangan jiran tetangga akibat VERS, Encik Wong berkata beliau mengambil berat tentang keprihatinan itu, namun proses bagi mendapatkan sokongan untuk kerja-kerja peningkatan bukanlah sesuatu yang baru bagi HDB.

"Kami mempunyai cara untuk mendapatkan para penduduk untuk menyokong kerja-kerja peningkatan," kata beliau. "Kami ada pengalaman dalam hal ini dan kami akan menggunakan pengalaman itu dan meneliti apa yang sudahpun dilakukan sebelum ini dalam sektor privet, dan mencari cara yang terbaik bagi VERS." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita