Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah tidak 'teragak-agak' perkenal langkah sokongan lanjut sedang harga elektrik naik

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Mar 2022 04:51PM Dikemas Kini : 04 Mar 2022 11:33PM

SINGAPURA: Dengan harga tenaga sejagat "berkemungkinan kekal meningkat" disebabkan krisis Ukraine, Pemerintah "tidak akan teragak-agak" untuk memperkenalkan langkah-langkah lanjut jika perlu untuk menyokong para pelanggan yang mudah terjejas.

Demikian menurut Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng hari ini (4 Mac).

Bercakap di Parlimen semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Dr Tan menjawab soalan mengenai kesan pencerobohan Rusia di Ukraine kepada bekalan tenaga di Singapura.

"Meskipun sumber bahan api Singapura pelbagai, dan konflik di Ukraine sudah menimbulkan risiko kepada bekalan tenaga kita, Singapura akan terjejas dengan kenaikan tinggi atau ketidaktentuan harga gas global," tambah beliau.

Pemerintah akan "berusaha sedaya upaya" untuk memastikan bahawa bekalan tenaga Singapura kekal dan terjamin, kata Dr Tan.

"Saya faham tekanan kos yang dialami keluarga-keluarga dan perniagaan. Kami akan terus memantau perkembangan pasaran dan tidak akan teragak-agak untuk memperkenalkan langkah-langkah lanjut jika perlu, untuk menyokong pelanggan yang mudah terjejas," kata beliau.

Keluarga yang layak akan menerima rebat U-Save bagi bil api air dan perniagaan boleh memanfaatkan pinjaman yang ditawarkan oleh Enterprise Singapore, kata Dr Tan.

MTI dan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sudah mewujudkan kemudahan tambahan bahan api untuk memastikan syarikat penjanaan mempunyai simpanan bahan api yang mencukupi, tambah beliau.

Syarikat penjanaan boleh memanfaatkan kemudahan itu untuk menghasilkan tenaga elektrik, kata Dr Tan.

Pihak berkuasa juga akan bekerjasama dengan syarikat penjanaan dan peruncit elektrik untuk menawarkan kontrak harga tetap di bawah Skim Sokongan Kontrak Elektrik Runcit Sementara, tambah beliau.

Skim itu sudah dilanjutkan daripada Mac hingga Mei 2022 dan MTI akan melanjutkan tarikhnya jika perlu, kata menteri itu.

Singapura juga boleh meningkatkan kecekapan tenaga elektrik dan mengurangkan penggunaan tenaga, tambah Dr Tan.

"Kami menggesa rakyat untuk menggunakan tenaga elektrik dengan berhemah dan mengamalkan penjimatan tenaga sebagai gaya hidup."
 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan