Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah tidak perlu buktikan kenyataan adalah palsu, hujah AG dalam kes rayuan POFMA TOC

Laman sosio politik The Online Citizen (TOC) "tidak ada pembelaan" dalam rayuannya terhadap arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), menurut hujah Peguam Negara (AG) pada Khamis (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah tidak perlu buktikan kenyataan adalah palsu, hujah AG dalam kes rayuan POFMA TOC

Pintu masuk Penjara Changi. (Gambar fail: Jabatan Penjara Singapura)

Diterbitkan : 06 Feb 2020 08:43PM Dikemas Kini : 06 Feb 2020 08:50PM

SINGAPURA: Laman sosio politik The Online Citizen (TOC) "tidak ada pembelaan" dalam rayuannya terhadap arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), menurut hujah Peguam Negara (AG) pada Khamis (6 Feb).

AG yang mewakili Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam rayuannya, juga mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada dikeluarkan pada Rabu berhubung satu kes POFMA berasingan, yang menetapkan bahawa beban bukti terletak pada pihak Pemerintah untuk menunjukkan bahawa kenyataan itu adalah palsu.

Rayuan yang dibentangkan pada Khamis di hadapan Hakim Belinda Ang itu diadakan secara tertutup, dengan anggota awam dan media tidak dibenarkan hadir. Hakim akan memberikan keputusannya pada satu tarikh yang tidak ditetapkan.

AG diwakili Timbalan Ketua Peguam Hui Chooon Kuen dan Peguam Negara Jamie Pang dan Jocelyn Teo. TOC pula diwakili ketua editornya Terry Xu.

TOC pada 16 Jan menerbitkan rencana yang membawa kenyataan kumpulan hak asasi Malaysia Lawyers for Liberty (LFL). Kumpulan tersebut mendakwa bahawa pegawai penjara diarah menjalankan hukuman secara kejam di Penjara Changi.

Pada 22 Jan, MHA menyatakan pihaknya mengarahkan Pejabat POFMA untuk mengeluarkan arahan pembetulan terhadap TOC, LFL, laman berita online Yahoo News Singapore dan wartawan bebas Kirsten Han.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menolak permohonan TOC untuk membatalkan arahan pembetulan itu.

ARAHAN TIDAK MENYEKAT KEBEBASAN BERSUARA, TEGAS AG

Pada Khamis, AG menegaskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Ang Cheng Hock - yang menolak rayuan POFMA Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Rabu - adalah "tidak tepat" dalam memutuskan bahawa Pemerintah harus membuktikan kenyataan itu adalah palsu.

Hakim Ang mendapati bahawa dalam mengeluarkan arahan pembetulan, seorang menteri berusaha untuk mengekang hak perlembagaan seseorang untuk bebas bersuara dan berekspresi.

Tidak bersetuju dengan pendirian ini, AG berhujah bahawa artikel TOC kekal di lamannya "untuk sesiapa sahaja membaca" dan bahawa tiada hukuman atau denda kewangan dikenakan bersama arah pembetulan.

Peguam Negara juga tidak bersetuju dengan dapatan Hakim Ang bahawa Parlimen tidak mungkin berniat untuk meletakkan beban bukti ke atas pihak yang membuat rayuan menarik balik arahan pembetulan.

Sekiranya beban itu jatuh ke atas seorang menteri, sesiapa sahaja boleh "membuat segala macam kepalsuan mengenai perkara-perkara sensitif tanpa sebarang asas dan dengan itu berpotensi memaksa Pemerintah mendedahkan maklumat sensitif sedemikian kerana Pemerintah menggalas beban membuktikan kepalsuan," menurut hujah AG itu.

Merujuk kepada rayuan TOC khususnya, AG berkata bahawa Khidmat Penjara Singapura mungkin terpaksa mendedahkan prosedur keselamatannya yang "sensitif" jika ia perlu menunaikan beban buktinya.

TOC BERHUJAH IA HANYA TERBIT SEMULA KENYATAAN LFL

Beralih kepada rayuan yang dibicarakan, AG berhujah bahawa TOC dikenakan arahan POFMA kerana ia menerbitkan semula sebuah kepalsuan.

TOC tidak mempertikaikan bahawa LFL membuat tuduhan palsu, namun berhujah bahawa ia tidak "mengambil pendirian berhubung kebenaran dan kesahihan kenyataan itu" dalam rencananya. TOC berhujah pihaknya sekadar melaporkan yang LFL membuat kenyataan itu.

Bagaimanapun, AG menegaskan bahawa TOC "mengulangi" kenyataan palsu dan menyebarkannya kepada orang ramai di Singapura dengan "mengulangi seluruh kenyataan tanpa menolak kepalsuan".

Ia akan menjadi "tidak masuk akal" jika hanya LFL dikenakan arahan POFMA namun tidak pula laman web lain yang menerbitkan semula dakwaannya, kerana pembaca laman web lain tidak akan tahu bahawa tuduhan itu palsu, tegas AG.

Behubung hujah TOC bahawa wartawan mahkamah dan wartawan siasatan akan terjejas oleh arahan pembetulan, AG menyatakan bahawa arahan tidak memerlukan rencana itu dipadam, hanya sekadar memerlukan penulis untuk menerbitkan pemberitahuan pembetulan.

"Seorang wartawan yang tidak bersetuju bahawa beliau telah menyampaikan kenyataan fakta palsu dalam rencananya boleh tampil ke mahkamah dan mencabar penilaian menteri bahawa artikel itu telah berbuat demikian," tambah AG.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan