Pemerintah tidak kenakan bayaran ujian swab bagi pekerja binaan hingga Ogos
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) mengumumkan hari ini (27 Mei) bahawa Pemerintah tidak akan mengenakan bayaran bagi ujian swab untuk pekerja binaan sehingga Ogos tahun ini.
Pekerja jagaan kesihatan mengambil sampel ujian hidung bagi COVID-19 daripada seorang pekerja asing di dormitori pekerja asing di Singapura pada 27 Apr 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) mengumumkan hari ini (27 Mei) bahawa Pemerintah tidak akan mengenakan bayaran bagi ujian swab untuk pekerja binaan sehingga Ogos tahun ini.
Ini adalah bagi semua kerja-kerja binaan yang dibenarkan disambung semula sebelum bulan Ogos.
Kerja-kerja ubah elok di rumah dan kerja binaan bagi unit tunggal perumahan privet tunggal merupakan jenis projek pertama yang dibenarkan untuk disambung semula selepas langkah pemutus rantaian jangkitan berakhir pada 1 Jun.
Bagaimanapun, majikan harus terlebih dahulu mendapatkankelulusan BCA untuk memulakan kerja dan kemudian mengatur agar pekerja mereka menjalani ujian COVID-19. Pihak berkuasa akan hanya meluluskan permohonan sekiranya kakitangan tersebut diuji negatif.
BCA akan menghubungi syarikat yang layak untuk mengatur agar pekerjanya diuji, dan kelulusan untuk menyambung semula pekerjaan dapat ditarik balik sekiranya pekerja tidak hadir untuk untuk ujian mereka.
Di samping itu, mereka yang terlibat dalam kerja-kerja binaan di hartanah berlaman harus menjalani ujian swab dua minggu sekali. Pemegang S-Pass dan permit kerja yang terlibat dalam kerja-kerja ubah elok juga perlu menjalani ujian swab dua minggu sekali.
Mediacorp mendapatkan jawapan BCA tentang berapa kos ujian swab. Syarikat binaan yang dihubungi menyatakan harganya sekitar S$200.
Dalam satu kenyataan media BCA berkata ia akan memberi keutamaan kepada kerja-kerja ubah elok yang digantung akibat COVID-19 sebelum 7 April untuk disambung semula.
Ketua eksekutif BCA, Hugh Lim, berkata: "Kami faham bahawa pemilik rumah menantikan kerja ubah elok itu siap, dan juga kerja-kerja binaan bagi rumah mereka untuk dapat pindah ke rumah baru mereka."
Namun, kerja-kerja tersebut perlu dilaksanakan secara bertahap bagi menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja serta pemilik rumah dan masyarakat secara umum, katanya.
Semua kerja ubah elok bagi jenis bangunan lain, kerja ubah elok baru dan kerja binaan baru untuk hartanah privet tertangguh akan disambung atau dimulakan pada fasa kemudian.
Selepas bulan Ogos, Pemerintah akan membuat pengaturan bagaimana kos ujian COVID-19 harus dikongsi antara pelbagai pihak.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.