Pemerintah tidak bantah cukai harta tapi dasar perlu praktikal dan berkesan, tegas Indranee Rajah
Pemerintah tidak menentang cukai harta, tetapi dasar sedemikian perlu bersifat praktikal dan berkesan dengan cara yang golongan mewah tidak boleh mengelakkannya dengan mudah, tegas Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah di Parlimen pada Isnin (1 Nov).
SINGAPURA: Pemerintah tidak menentang cukai harta, tetapi dasar sedemikian perlu bersifat praktikal dan berkesan dengan cara yang golongan mewah tidak boleh mengelakkannya dengan mudah, tegas Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah di Parlimen pada Isnin (1 Nov).
Cik Indranee berkata demikian semasa menjawab usul penangguhan yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Jamus Lim (WP-Sengkang) mengenai mengapa Singapura perlu menimbangkan lebih banyak jenis cukai harta.
"Persoalannya bukan mengenai sama ada kita mahu mengenakan cukai harta, tetapi persoalan yang praktikal mengenai bagaimana untuk melakukannya dengan berkesan supaya ia tidak dapat dielakkan dengan mudah," katanya.
“Maka itu, natijahnya, saya fikir kita tidak mempunyai sebarang isu berhubung cukai harta. Kita hanya mahu memastikan bahawa apa sahaja yang kita laksanakan benar-benar berkesan.”
Menteri Kewangan Lawrence Wong mengatakan pada 15 Oktober bahawa Singapura akan terus mengkaji bagaimana ia boleh mengembangkan sistem cukai harta dalam menghadapi cabaran-cabaran utama seperti ketidaksamarataan dan perubahan iklim.
Singapura buat masa ini mengenakan cukai hartanah tetapi bukan jenis lain seperti cukai keuntungan harta benda atau warisan. Ini berbeza daripada cukai harta secara amnya, yang melibatkan percubaan untuk menilai aset yang berbeza-beza.
PELBAGAIKAN PENDAPATAN, BASMI KETIDAKSAMARATAAN
Dalam usul penangguhannya, Profesor Madya Lim berkata cukai harta boleh meningkatkan kepelbagaian sumber pendapatan Pemerintah dan membantu menangani masalah masyarakat yang berpunca daripada ketidaksamarataan yang kian meningkat.
Beliau menyifatkan ketidaksamarataan pendapatan di Singapura sebagai satu "masalah" dan menarik perhatian bagaimana koefisien Gini negara - yang mengukur pengagihan pendapatan atau kekayaan yang tidak sama rata - selepas pengagihan semula meletakkannya di tangga atas skala ketidaksamarataan, setanding dengan United Kingdom dan Amerika Syarikat.
CUKAI BERDAYA SAING
Dalam jawapannya, Cik Indranee tidak bersetuju dengan cadangan Prof Madya Lim yang membayangkan seolah-olah syarikat-syarikat mungkin tidak lagi melihat kadar cukai dan Cik Indranee menegaskan ia tidak boleh ditolak begitu saja.
“Dan harus diingatkan bahawa kekayaan boleh bergerak. Bakat, baik rakyat Singapura mahupun warga asing, boleh bergerak. Begitu juga dengan syarikat-syarikat,” katanya.
"Jadi kita perlu mengenakan cukai dengan cara yang kompetitif, dan membolehkan orang ramai dan syarikat menjana pendapatan untuk menggalak mereka supaya tinggal di sini, dan hasil itu kemudiannya boleh digunakan dan diagihkan semula."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.