Pemerintah terima saranan model gaji progresif, buka laluan kakitangan industri panjat tangga kerjaya
Teknisyen lif di Singapura boleh menjangkakan gaji lebih tinggi selepas Pemerintah menerima saranan-saranan Jawatankuasa Tiga Pihak Sektor Lif dan Eskalator pada Rabu (19 Sep).
SINGAPURA: Teknisyen lif di Singapura boleh menjangkakan gaji lebih tinggi selepas Pemerintah menerima saranan-saranan Jawatankuasa Tiga Pihak Sektor Lif dan Eskalator pada Rabu (19 Sep).
Antara saranan yang dikemukakan termasuk melaksanakan model gaji progresif (PWM), di mana gaji pekerja akan dibantu meningkat selaras dengan kemahiran dan produktiviti mereka.
PWM sudah dilaksanakan bagi para pekerja dalam sektor pembersihan, keselamatan dan landskap. Para teknisyen lif merupakan kumpulan pekerja yang keempat tertakluk di bawah model tersebut.
Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad mengatakan bahawa saranan-saranan itu membantu melakarkan satu peta hala tuju bagi menarik, mengasah dan memastikan pekerja tempatan kekal dalam industri tersebut.
"Jika kita dapat melakukannya dengan berkesan, semua penduduk Singapura dapat menikmati kemudahan lif yang lebih selamat," kata Encik Zaqy.
"Sebagai permulaan, Pemerintah akan menyokong langkah menetapkan Model Gaji Progesif dalam industri lif," tambah beliau.
Di samping PWM, jawatankuasa itu turut mengusulkan gaji asas lebih tinggi bagi semua kakitangan penyenggaraan lif untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja rakyat tempatan dalam industri itu.
Misalnya, gaji asas bulanan bagi seorang mekanik lif yang baru disarankan dinaikkan kepada antara S$1,850 dengan S$2,500, berbanding S$1,300 hingga S$1,600 sekarang ini.
"Salah satu kebimbangan kami terhadap syarikat-syarikat dalam industri adalah sama ada para pelanggan sanggup membayar jumlah lebih tinggi bagi kontrak penyenggaraan lif. Maka itu, STC menyarankan agar PWM diwajibkan dalam industri tersebut... supaya semua syarikat mampu kekal berdaya saing di Singapura," kata Penolong Setiausaha Agung NTUC Melvin Wong, yang juga Pengerusi Bersama STC.
Sekarang ini terdapat sekitar 2,100 teknisyen lif yang bertugas untuk menyenggara 67,000 lif di serata pulau.
42 peratus daripada mereka adalah rakyat tempatan. Sekitar separuh daripanya pula berusia lebih 50 tahun dan dijangka bersara dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.
Menurut jawatankuasa itu, bagi menangani masalah pekerja yang semakin menua dan perusahaan yang mengecut, pihaknya mahu menetapkan laluan kerjaya yang lebih jelas bagi menarik lebih ramai penduduk tempatan untuk menyertai sektor tersebut.
Encik Yong berkata menjelang tiga tahun akan datang, jawatankuasa itu menganggarkan akan memerlukan sekitar 3,000 teknisyen lif.
Pelaksanaan model gaji progresif itu akan dilakukan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh tiga tahun bagi membolehkan perusahaan tersebut membuat penyesuaian sewajarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.