Pemerintah terima saranan bonus wajib pekerja pembersihan
Pemerintah menerima saranan-saranan oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Kelompok Pekerja Pembersihan (TCC), yang membentangkan ketentuan bonus wajib yang perlu dibayar oleh syarikat-syarikat pembersihan kepada para pekerja mereka, mulai 2020.
SINGAPURA: Pemerintah menerima saranan-saranan oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Kelompok Pekerja Pembersihan (TCC), yang membentangkan ketentuan bonus wajib yang perlu dibayar oleh syarikat-syarikat pembersihan kepada para pekerja mereka, mulai 2020.
Bonus tahunan bagi para pekerja pembersihan, yang disarankan buat pertama kali pada 2016, diluluskan di Parlimen pada bulan Oktober.
Diberi nama Model Gaji Progresif (PWM), ia mesti dibayar tanpa mengira prestasi seseorang pekerja pembersihan. Ia juga satu cara untuk menarik dan menggalak para pekerja supaya terus berkhidmat dengan majikan mereka selama sekurang-kurangnya 12 bulan, menurut TCC.
Satu laporan tambahan yang dikeluarkan pada Khamis (15 Nov) memberi butiran mengenai Bonus PWM yang perlu dibayar kepada semua pekerja pembersihan, termasuk mereka yang bekerja secara sepenuh masa, sambilan atau tidak tetap.
Bonus itu wajib dibayar kepada semua pekerja pembersihan rakyat Singapura dan penduduk tetap yang sudah berkhidmat di syarikat pembersihan yang sama selama sekurang-kurangnya 12 bulan. Bagaimanapun, keperluan tempoh khidmat boleh dikecualikan bagi keadaan-keadaan di luar kawalan seseorang pekerja, seperti apabila terdapat perubahan pada penyedia khidmat.
Bonus yang dibayar mesti tidak kurang daripada dua minggu gaji bulanan asas pekerja pembersihan, dan ia mesti dibayar sekurang-kurangnya sekali namun tidak melebihi dua kali setahun.
Syarikat-syarikat yang sudah menyediakan bonus berubah-ubah dalam sesuatu bentuk seperti bonus bulan ke-13 atau bonus musiman, dianggap sudah mematuhi syarat-syarat Bonus PMW sekiranya jumlah yang diberikan tidak kurang daripada tempoh dua minggu yang ditetapkan.
TCC menyatakan bahawa bayaran itu mesti dimasukkan dalam penyata gaji pekerja dan tertakluk kepada sumbangan CPF oleh kedua-dua majikan dan pekerja.
Bagi para pekerja sambilan, bonus itu akan diberikan sekiranya mereka sudah memenuhi tempoh perkhidmatan selama 12 bulan, pada kadar pro rata berdasarkan tempoh jam perkhidmatan di bawah kontrak.
TCC juga menggalak syarikat-syarikat untuk membayar bonus PWM pada kadar pro rata kepada para pekerja tidak tetap bagi mengiktiraf kerja-kerja mereka, sekiranya mereka memenuhi tempoh perkhidmatan minimum yang diperlukan.
Perubahan itu akan dikuatkuasakan pada 2020.
KENAIKAN GAJI 3% SETIAP TAHUN
Selain Bonus PWM, kenaikan gaji yang sedang dilaksanakan bagi sektor pembersihan akan diteruskan. TCC menyatakan bahawa tiga peratus kenaikan gaji tahunan akan dilaksanakan dari 1 Julai 2020 hingga 2022.
Ini adalah kenaikan gaji yang ketiga sejak PWM pertama kali dilaksanakan bagi sektor pembersihan pada 2012.
Saranan-saranan itu akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 pekerja pembersihan yang digajikan oleh sekitar 1,300 syarikat.
Penolong Setiausaha-Agung NTUC Zainal Sapari, yang juga Pengerusi TCC, berkata usaha untuk membantu para pekerja yang memerlukan dalam industri pembersihan masih 'diteruskan', namun beliau menyifatkan Bonus PWM sebagai satu 'peningkatan penting' bagi kebajikan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.