Pemerintah tentera Myanmar bantah penggunaan istilah 'Rohingya' dalam dokumentari CNA
Pemerintah tentera Myanmar membantah penggunaan istilah 'Rohingya' dalam sebuah dokumentari ehwal semasa CNA yang meneliti nasib masyarakat tersebut di Malaysia. Dalam kenyataan bertarikh 22 Oktober yang disiarkan di laman web Kementerian Luar Myanmar, Kedutaan Myanmar di Singapura mendakwa istilah 'Rohingya' tidak pernah wujud sebagai identiti etnik di negara itu.
Petikan gambar daripada dokumentari CNA Insight 2026/2027 bertajuk 'Malaysia’s Rohingya Riddle', yang meneliti keadaan masyarakat Rohingya di Malaysia. (Gambar: CNA)
- Myanmar’s army Government objected to CNA documentary “Insight: Malaysia’s Rohingya Riddle”, which aired on Oct 15 and examined the situation of the community in Malaysia.
- In a statement on Oct 22, the Myanmar Embassy in Singapore rejected the term “Rohingya”, preferred “Bengali” and cited old census records, while also claiming that the documentary damaged the country’s image.
- CNA executive producer Daniel Heng defended the term because it is used by international bodies, the media and Malaysian parties; he said the programme also explained Myanmar’s position.
- Myanmar reported that 8,041 people were repatriated by air and 1,476 by navy vessels, while CNA clarified that about 1,500 people who had recently been repatriated were not Rohingya and defended its reporting on the possible repatriation of 5,000 people.
- Pemerintah tentera Myanmar membantah dokumentari CNA “Insight: Malaysia’s Rohingya Riddle”, yang disiarkan pada 15 Oktober dan meneliti keadaan masyarakat tersebut di Malaysia.
- Dalam kenyataan 22 Oktober, Kedutaan Myanmar di Singapura menolak istilah “Rohingya”, mengutamakan “Bengali” dan merujuk rekod banci lama, selain mendakwa dokumentari menjejaskan imej negara.
- Penerbit eksekutif CNA Daniel Heng mempertahankan istilah itu kerana digunakan badan antarabangsa, media dan pihak Malaysia; beliau berkata program tersebut turut menjelaskan pendirian Myanmar.
- Myanmar melaporkan penghantaran pulang 8,041 orang melalui penerbangan dan 1,476 dengan kapal tentera laut, manakala CNA menjelaskan kira-kira 1,500 yang baru dipulangkan bukan Rohingya serta mempertahankan laporan tentang kemungkinan pemulangan 5,000 orang.
SINGAPURA: Pemerintah tentera Myanmar membantah penggunaan istilah 'Rohingya' dalam sebuah dokumentari ehwal semasa CNA yang meneliti nasib masyarakat tersebut di Malaysia.
Dalam kenyataan bertarikh 22 Oktober yang disiarkan di laman web Kementerian Luar Myanmar, Kedutaan Myanmar di Singapura mendakwa istilah 'Rohingya' tidak pernah wujud sebagai identiti etnik di negara itu.
Pihak kedutaan turut mendakwa sebahagian maklumat dalam dokumentari tersebut tidak disokong bukti sejarah dan boleh menjejas imej Myanmar.
Menurut kenyataan itu, istilah 'Bengali' sebaliknya digunakan dalam rekod rasmi Myanmar, termasuk laporan banci penduduk semasa pentadbiran penjajah British.
Pemerintah tentera Myanmar turut mengemukakan salinan laporan banci dari tahun 1881, 1921 dan 1931 bagi menyokong pendiriannya.
Bagaimanapun, penerbit eksekutif CNA, Daniel Heng, mempertahankan penggunaan istilah 'Rohingya', yang menurutnya selaras dengan penggunaan antarabangsa dan amalan kewartawanan yang diterima secara meluas.
CNA PERTAHAN PENGGUNAAN ISTILAH 'ROHINGYA'
Encik Heng berkata istilah 'Rohingya' digunakan secara meluas oleh pertubuhan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Pertubuhan kemanusiaan seperti Doktor Tanpa Sempadan dan Oxfam turut menggunakan istilah tersebut.
Begitu juga dengan pertubuhan berita antarabangsa seperti BBC, CNN, Associated Press, Reuters dan Agence France-Presse (AFP).
Encik Heng berkata penggunaan istilah itu juga relevan kerana dokumentari berkenaan meneliti keadaan masyarakat Rohingya di Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa istilah 'Rohingya' turut digunakan oleh kerajaan Malaysia dalam perbahasan Parlimen dan wacana awam, selain media tempatan seperti New Straits Times (NST).
Dokumentari bertajuk 'Insight: Malaysia’s Rohingya Riddle' disiarkan pada 15 Oktober lalu dan dimuat naik ke saluran YouTube CNA Insider pada keesokan harinya.
Program itu meneliti bagaimana Malaysia mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan kepentingan negara, ketika pelarian Rohingya yang sebelum ini mendapat perlindungan berdepan peningkatan sentimen negatif dan tekanan politik.
MYANMAR HANTAR SURAT BANTAHAN KEPADA CNA
Dalam kenyataan tersebut, pemerintah tentera Myanmar turut menolak dakwaan yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik dan bertujuan meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap negara itu.
Pihaknya mendakwa dokumentari berkenaan mengaitkan penghantaran pulang rakyat Myanmar dari Malaysia dengan isu masyarakat Rohingya, yang dianggapnya sebagai perkara berasingan.
Kuasa Usaha Kedutaan Myanmar di Singapura, Zaw Minn Aung, turut menghantar surat bantahan kepada Ketua Pengarang CNA.
Surat itu menyuarakan bantahan keras terhadap maklumat yang didakwa tidak disahkan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar di Myanmar.
Bagaimanapun, Encik Heng menegaskan bahawa dokumentari tersebut tidak mengabaikan atau memberikan gambaran salah mengenai pendirian pemerintah Myanmar.
Sebaliknya, program itu secara jelas menjelaskan bahawa pihak berkuasa Myanmar dan kumpulan nasionalis sering menolak istilah 'Rohingya' serta menggunakan istilah 'Bengali' bagi merujuk kepada masyarakat berkenaan.
ISU PENGHANTARAN PULANG PELARIAN DARI MALAYSIA
Pemerintah tentera Myanmar turut menyatakan bahawa pihaknya sudah menghantar pulang 8,041 rakyat Myanmar melalui penerbangan selepas proses pengesahan identiti.
Selain itu, 1,476 rakyat Myanmar yang tidak mampu membayar tambang penerbangan dihantar pulang menggunakan kapal tentera laut Myanmar.
Berhubung laporan bahawa Myanmar bersetuju menerima pulang 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia, Encik Heng berkata dokumentari CNA merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang dilaporkan NST pada Julai 2026.
Dalam laporan itu, Encik Anwar berkata hubungan baik antara Malaysia dengan Myanmar membolehkan persetujuan dicapai bagi penghantaran pulang 5,000 orang dari Malaysia.
NST turut melaporkan bahawa kerajaan Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pelarian Rohingya yang mengganggu ketenteraman di kawasan awam dan lalu lintas.
Encik Heng menjelaskan bahawa dokumentari CNA juga secara khusus menyebut bahawa sekitar 1,500 rakyat Myanmar yang baru-baru ini dihantar pulang dari Malaysia tidak termasuk masyarakat Rohingya.
Beliau menegaskan CNA mempertahankan laporannya, yang berasaskan sumber yang boleh dikenal pasti dan disampaikan dengan konteks sewajarnya, termasuk pendirian pemerintah Myanmar.
CNA turut menegaskan komitmennya terhadap kewartawanan yang tepat, seimbang dan mengambil kira konteks.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.