Skip to main content

Singapura

Pemerintah sudah atur pelbagai benteng pertahanan lindungi keselamatan tenaga SG: Tan See Leng

Singapura mempunyai pelbagai benteng pertahanan untuk melindungi keselamatan tenaga negara ini daripada konflik Timur Tengah, tetapi orang ramai harus menjangkakan harga elektrik akan meningkat pada bulan akan datang, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains & Teknologi Tan See Leng pada Khamis (12 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 12 Mar 2026 11:02AM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 10:54PM
SINGAPURA: Singapura mempunyai pelbagai benteng pertahanan untuk melindungi keselamatan tenaga negara ini daripada konflik Timur Tengah, tetapi orang ramai harus menjangkakan harga elektrik akan meningkat pada bulan akan datang, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains & Teknologi Tan See Leng pada Khamis (12 Mac).

Dr Tan turut menarik perhatian bahawa penutupan Selat Hormuz menjejas import minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global dari Timur Tengah, yang berkemungkinan menyebabkan harga bahan api global meningkat dalam tempoh terdekat.

“Dengan persekitaran global yang semakin tidak menentu dan kurang stabil, gangguan terhadap bekalan bahan api serta turun naik harga berlaku dengan lebih kerap,” menurut beliau dalam catatannya di Facebook.

“Kesan ini dirasai di Singapura, di mana kami mengimport semua gas asli yang diperlukan untuk menjana sekitar 95 peratus daripada bekalan elektrik kita.”

Namun Dr Tan berkata Singapura mempunyai langkah-langkah bagi memastikan negara ini mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk memenuhi keperluannya.

Sekitar separuh daripada gas negara disalurkan melalui paip-paip dari rantau ini dan tidak terjejas, kata beliau, sambil menambah bahawa negara ini juga mempelbagaikan sumber import LNG dan tidak terlalu bergantung kepada Timur Tengah.

“Pengimport LNG kami mempunyai portfolio sumber global, seperti Amerika Syarikat dan Australia, yang boleh dimanfaatkan untuk menggantikan kargo yang pada asalnya dari Timur Tengah. Bagi kargo LNG dari Timur Tengah, usaha sedang dijalankan bersama dengan pengimport untuk mencari penggantinya,” kata Dr Tan.

Singapura juga mempunyai stok simpanan bahan api yang terdiri daripada campuran gas dan diesel, yang boleh digunakan oleh syarikat-syarikat penjanaan tenaga sekiranya berlaku gangguan serius terhadap bekalan gas, kata beliau.

Turbin penjana elektrik di Singapura juga boleh beroperasi menggunakan kedua-dua gas dan diesel, kata Dr Tan.

“EMA juga menjalankan ujian berkala ke atas semua loji janakuasa bagi memastikan ia mampu beralih kepada penjanaan menggunakan diesel jika perlu,” tambah beliau.

Namun dengan harga gas global yang semakin meningkat akibat konflik tersebut, harga elektrik dijangka meningkat dalam masa beberapa bulan akan datang.

“Pemerintah juga bersedia untuk menyokong isi rumah dan perniagaan jika perlu,” kata Dr Tan.

Isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan menerima 1.5 kali ganda jumlah rebat U-Save biasa, atau sehingga S$570 pada tahun kewangan ini, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Isi rumah dan syarikat perniagaan juga berperanan untuk membantu mengurangkan kesan tersebut dengan menjimatkan penggunaan elektrik serta menggunakan peralatan yang lebih cekap tenaga, tambah beliau.

“Sedang keadaan di Timur Tengah terus berubah-ubah, kami sedang memantau dengan teliti, khususnya kesan sampingan daripada gangguan yang berlaku,” kata Dr Tan.

“Konflik ini mengingatkan kita bahawa kita hidup dalam dunia yang tidak menentu, dan kita tidak boleh memandang ringan terhadap keselamatan tenaga kita. Oleh itu kita perlu melakukan apa yang terdaya untuk menjimatkan penggunaan tenaga, dan setiap orang mempunyai peranan dalam perkara ini.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita