Skip to main content

Singapura

Pemerintah sokong secara prinsip langkah jadikan peranan Ketua Pembangkang termaktub dalam struktur parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah sokong secara prinsip langkah jadikan peranan Ketua Pembangkang termaktub dalam struktur parlimen
Pemandangan Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Diterbitkan : 03 Feb 2026 11:47PM Dikemas Kini : 03 Feb 2026 11:48PM
SINGAPURA: Pemerintah menyokong, secara prinsip, langkah-langkah selanjutnya untuk menginstitusikan jawatan Ketua Pembangkang, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (3 Feb).

“Walau bagaimanapun, sebagai sebuah institusi yang agak baharu, peranan, tanggungjawab dan aturan operasinya terus dibentuk oleh amalan parlimen, pengalaman dan tingkah laku mereka yang memegang jawatan tersebut,” kata Encik Chan dalam jawapan bertulis, bagi pihak perdana menteri.

Perbincangan tentang sama ada peranan Ketua Pembangkang harus diinstitusikan muncul selepas ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh dilucutkan daripada jawatan tersebut menyusuli sabitannya kerana berbohong kepada parlimen.

Penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa mereka percaya bahawa merasmikan peranan itu dalam undang-undang akan menentukan sewajarnya keistimewaan jawatan tersebut.

Jawatan Ketua Pembangkang pertama kali dirasmikan oleh pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 2020, selepas WP memenangi GRC kedua dalam Pilihan Raya Umum.

Sebagai Ketua Pembangkang pertama di Singapura selepas kemerdekaan, Encik Singh menerima taklimat sulit pemerintah mengenai perkara-perkara tertentu berkaitan keselamatan negara dan hubungan luar, dan sekiranya berlaku krisis atau darurat.

Beliau juga menerima elaun seganda lebih tinggi berbanding AP dipilih yang lain, hak untuk memberi respons pertama dalam kalangan AP di parlimen dan lebih banyak masa untuk berhujah, bersamaan dengan yang diberikan kepada pemegang jawatan politik.

Tugas dan keistimewaan itu termaktub dalam rekod parlimen, kata Encik Chan.

Selepas Encik Singh dilucutkan sebagai Ketua Pembangkang, WP memutuskan untuk tidak menerima pelawaan perdana menteri untuk mencalonkan AP lain bagi peranan tersebut.

Parti itu menyatakan pada 21 Januari bahawa jawatan itu adalah pelantikan budi bicara yang dibuat oleh perdana menteri, tanpa kriteria kelayakan perlembagaan atau undang-undang.

WP berpendapat bahawa ketua parti pembangkang terbesar di parlimen adalah ketua pembangkang.

Sebagai memberi respons kepada soalan daripada AP Dilantik (NMP) Neo Kok Beng mengenai kriteria untuk seorang AP layak sebagai Ketua Pembangkang, Encik Chan merujuk kepada beberapa pertimbangan.

“LO (Ketua Pembangkang) mesti menegakkan piawaian kejujuran dan integriti yang tinggi, dan raih keyakinan serta rasa hormat daripada parlimen yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab jawatan tersebut,” kata Encik Chan.

“Jika atas sebab tertentu, ketua parti pembangkang utama tidak memenuhi kriteria, maka AP pembangkang yang lain boleh dipertimbangkan.”

Sebahagian daripada keperluan itu mungkin dinyatakan secara jelas sekiranya jawatan tersebut diinstitusikan pada masa akan datang, kata Encik Chan.

Encik Chan berkata ada peraturan untuk memastikan terdapat 12 AP daripada parti bukan pemerintah di Dewan.

Perlembagaan membenarkan sehingga 12 AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) diisytiharkan sebagai dipilih.

Di bawah skim NCMP, yang diperkenalkan pada 1984, calon pembangkang yang kalah dengan peratusan undi tertinggi yang diperoleh semasa pilihan raya umum boleh ditawarkan kerusi di parlimen jika bilangan calon pembangkang yang dipilih kurang daripada bilangan minimum.

“Oleh itu, saya tidak ragu-ragu bahawa akan sentiasa ada suara pembangkang di Dewan ini, dan antara mereka, juga ada anggota yang mempunyai kedudukan baik untuk memenuhi keperluan jawatan dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan kewibawaan dan tanggungjawab,” kata Encik Chan.

 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita