Skip to main content

Singapura

Pemerintah sokong hingga S$8,000 sebulan untuk majikan hantar pekerja ke luar negara bagi pembangunan kerjaya

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2024 05:31PM Dikemas Kini : 15 Nov 2024 10:35PM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang ingin menghantar pekerja mereka ke luar negara untuk menimba pengalaman akan dapat memanfaatkan pembiayaan pemerintah melalui program yang baru dilancarkan di bawah Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng mengumumkan pelancaran Program Penyerapan Pasaran Luar Negara pada Jumaat (15 Nov).

Program itu pertama kali diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Mac, walaupun ia menyatakan bahawa butiran lanjut akan diumumkan pada lewat tahun ini.

Melalui program itu, firma-firma boleh menerima sokongan untuk 70 peratus daripada gaji pekerja yang ditempatkan dalam program tersebut dan 70 peratus daripada elaun luar negara mereka sehingga sembilan bulan. Ini akan dihadkan kepada S$5,000 (AS$3,700) dan S$3,000.

“Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat boleh menerima sehingga S$72,000 untuk setiap individu yang layak untuk mereka hantar ke luar negara,” menurut WSG dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dalam kenyataan medianya pada Jumaat.

Syarikat-syarikat mesti berdaftar atau ditubuhkan di Singapura untuk layak menyertai program itu.

Para majikan juga mesti memberikan gaji bulanan tetap sekurang-kurangnya S$4,000 untuk individu yang mereka hantar ke luar negara.

Pelan pembangunan kerjaya terperinci yang menggariskan perkembangan dalam tempoh 24 bulan, bersama-sama dengan penunjuk prestasi utama jangka pendek yang boleh diukur untuk dicapai selepas menjalani latihan, juga mesti disediakan.

SBF, yang dilantik sebagai rakan kongsi pertama program, akan bekerjasama dengan firma-firma yang mengambil bahagian untuk membangunkan pelan latihan itu.

Menurut kenyataan itu, sebagai permulaan WSG telah memperuntukkan S$16 juta untuk program tersebut.

“Ini akan membolehkan syarikat-syarikat tempatan menghantar sehingga 250 pekerja tempatan untuk menyertai (program) dalam tempoh dua tahun, di mana mereka akan bekerja di luar negara sekurang-kurangnya selama enam bulan,” kata WSG dan SBF.

Melalui program itu, "syarikat-syarikat akan menerima sokongan untuk menghantar pekerja warga Singapura mereka yang mempunyai sedikit atau tiada pengalaman pasaran luar negara ke luar negara untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman sedemikian", kata Dr Tan.

Sebanyak 17 persatuan dan dewan perdagangan, seperti Persekutuan Pengilangan Singapura, menandatangani perjanjian untuk menyokong program itu pada Jumaat, dedah WSG dan SBF.

“Dengan sokongan rakan kongsi ini, lebih 100 syarikat dengan rancangan pengantarabangsaan, dan pekerja tempatan mereka, akan mendapat manfaat daripada (Program Penyerapan Pasaran Luar Negara).”
 
Sumber : CNA/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita